Ditubuhkan pada tahun 2000 di Johor Bahru, Lavender Bakery kini sudah menemani selera rakyat Malaysia selama 26 tahun dengan mengendalikan 25 rangkaian cawangan di Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Singapura.
Sebagai jenama tempatan yang dekat di hati pengguna, syarikat ini memegang teguh nilai utamanya dalam mencipta detik bermakna melalui penawaran produk bakeri berkualiti tinggi.
Sama ada untuk sambutan hari lahir, ulang tahun perkahwinan mahupun keraian musim perayaan, setiap hidangan dihasilkan secara eksklusif bagi memastikan pelanggan dapat meraikan detik istimewa mereka.
Dengan pelbagai pilihan produk premium seperti roti, kek, biskut dan manisan, Lavender Bakery sentiasa komited dalam mengekalkan kualiti produk mereka.
Ini dibuktikan melalui pemilihan bahan mentah terbaik termasuk penggunaan 100 peratus mentega tulen, telur segar dari ladang dan bahan-bahan yang dipilih dengan teliti tanpa tambahan pengawet.
Melakar satu lagi kejayaan bermakna dalam sejarah syarikat, dapur berpusat Lavender Bakery Johor Bahru kini telah menerima pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Usaha bagi memperoleh sijil ini memerlukan persediaan yang cukup teliti, penambahbaikan operasi secara berperingkat, serta dedikasi luar biasa daripada seluruh warga kerja bagi memastikan setiap kriteria yang ditetapkan berjaya dipenuhi sepenuhnya.
Pengiktirafan ini membuktikan kesungguhan syarikat dalam menjamin kualiti penghasilan yang terbaik sekali gus memberi jaminan serta keyakinan kepada masyarakat untuk menikmati produk mereka tanpa sebarang keraguan.
Pensijilan berkenaan meliputi pelbagai produk kegemaran ramai termasuk biskut berbotol, kek lapis, kek gulung serta kek berkrim, selain pilihan produk bakeri dan pastri yang lain.
Walau bagaimanapun, buat masa ini pensijilan halal tersebut masih belum merangkumi operasi di dapur berpusat Kuala Lumpur mahupun cawangan-cawangan Lavender Bakery yang lain.
Meskipun begitu, usaha meluaskan pensijilan halal ke seluruh fasiliti serta operasi syarikat sedang giat dilaksanakan secara berperingkat bagi memenuhi permintaan serta kepercayaan pelanggan di seluruh tanah air.
Untuk maklumat lanjut serta semakan status halal, layari Portal Halal Rasmi JAKIM dengan merujuk nombor rujukan: 1 013-10/2025 atau terus ke laman rasmi Lavender Bakery.





















