KUALA LUMPUR: Gergasi hartanah dan pembinaan, Sunway Berhad (Sunway), mengesahkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation Berhad (IJM) telah luput.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas tempoh penerimaan tawaran tersebut ditutup secara rasmi pada jam 5.00 petang, Isnin.
Meskipun tidak diteruskan, Sunway mendedahkan cadangan penggabungan itu mendapat sokongan luar biasa daripada pemegang saham syarikat itu sendiri menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) sebelum ini.
Sebanyak 99.27 peratus pemegang saham Sunway mengundi menyokong cadangan itu, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi terhadap rasional strategik dan komersial tawaran berkenaan.
"Kami menghormati keputusan pemegang saham IJM dan hasil daripada proses ini. Dalam mana-mana transaksi berskala besar, perbezaan perspektif adalah perkara biasa," kata Sunway dalam satu kenyataan.
Sunway menjelaskan, cadangan itu pada mulanya bermatlamat untuk mewujudkan kumpulan yang lebih besar bagi membina nilai jangka panjang yang mampan kepada semua pihak berkepentingan.
Ia dirangka bagi membolehkan pemegang saham mengambil bahagian dalam pertumbuhan masa depan sebuah entiti nasional yang lebih berdaya tahan, berpaksikan fundamental kukuh dan rekod prestasi yang terbukti.
Bergerak ke hadapan, Sunway menegaskan mereka tetap fokus melaksanakan strategi sedia ada untuk terus memberi nilai merentasi perniagaan bersepadu syarikat.
Kumpulan akan terus membina kekuatan, mengejar peluang dengan penuh disiplin, serta komited terhadap pembangunan negara dan komuniti.
Untuk rekod, Sunway Group yang mempunyai 20,000 tenaga kerja kini mengendalikan empat entiti senarai awam dengan nilai permodalan pasaran melebihi RM76 bilion setakat Mac 2026.




















