BH Online
Ringkasan Berita

Bukan sekadar bayar, TNG eWallet kini rakan digital harian

KUALA LUMPUR: Urusan seharian kini menjadi lebih mudah dan pantas, daripada menyemak dividen simpanan dan membayar tambang pengangkutan awam sehingga mencari baucar makanan serta mengumpul mata ganjaran.

KUALA LUMPUR: Urusan seharian kini menjadi lebih mudah dan pantas, daripada menyemak dividen simpanan dan membayar tambang pengangkutan awam sehingga mencari baucar makanan serta mengumpul mata ganjaran.

Segala keperluan rutin ini boleh diselesaikan dengan lebih berkesan melalui satu aplikasi sahaja, sekali gus menyingkirkan keperluan untuk melakukan transaksi secara fizikal.

Evolusi terbaharu Touch 'n Go eWallet (TNG eWallet) ini berteraskan gaya hidup moden, menjadikannya sebuah platform digital harian yang menyeluruh untuk warga Malaysia.

Pengendali aplikasi tersebut, TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital), mendedahkan pencapaian besar apabila segmen bukan pembayaran kini menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan syarikat.

Kejayaan ini melakar sejarah baharu buat organisasi itu kerana ia merupakan kali pertama situasi sedemikian direkodkan sejak syarikat mula beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni, melihat peralihan profil perniagaan ini sebagai petanda jelas berlakunya perubahan signifikan dalam kalangan pengguna tempatan.

"TNG eWallet tidak lagi terhad sebagai aplikasi pembayaran sahaja. Rakyat Malaysia kini menggunakan ekosistem ini untuk menguruskan pelbagai aspek kehidupan, seperti menambah wang simpanan, merancang perjalanan ke luar negara, membayar bil utiliti serta menebus ganjaran harian," kata Ni.

Menurut beliau, hala tuju strategik syarikat kini bukan lagi sekadar menambah fungsi baharu untuk mengejar angka semata-mata.

Sebaliknya, keutamaan diberikan kepada usaha memperkukuh dan meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada yang menjadi keperluan harian pengguna.

Pada masa ini, TNG eWallet kekal sebagai peneraju dalam pasaran perkhidmatan kewangan digital dan gaya hidup di Malaysia.

Platform ini memiliki lebih 26 juta pengguna berdaftar dengan 13.5 juta rakyat Malaysia aktif menggunakannya setiap bulan.

Pengguna aktif ini dianggarkan mengakses aplikasi tersebut secara purata dua kali sehari.

Trend ini turut disokong data Bank Negara Malaysia yang menunjukkan pertumbuhan pesat urus niaga wang elektronik dalam tempoh lima tahun lalu, sehingga melampaui jumlah gabungan transaksi kad debit dan kredit.

Selain menguasai pasaran domestik, usaha pengantarabangsaan TNG Digital juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Segmen transaksi rentas sempadan dan antarabangsa kini memberikan sumbangan sebanyak 10 peratus kepada jumlah pendapatan keseluruhan.

Peningkatan mendadak berbanding sifar sumbangan beberapa tahun lalu, didorong oleh kebolehgunaan e-dompet ini di lebih 50 buah negara.

TNG eWallet turut memperkenalkan antaramuka aplikasi baharu bermula 4 Jun lalu bagi meraikan pencapaian tersebut.

Reka bentuk baharu ini menggunakan konsep 'Utamakan Carian', membolehkan pengguna mencapai ciri-ciri utama dengan pantas tanpa perlu melalui pelbagai menu.

Pengalaman pengguna turut diperkemas melalui pengenalan empat hab ekosistem utama pada halaman utama, iaitu 'GOfinance' untuk kewangan, 'Near Me' untuk tawaran makanan berdekatan, 'Bills' untuk pembayaran utiliti, dan 'Transport' untuk memudahkan urusan mobiliti.

Bar navigasi di bahagian bawah turut diatur semula agar lebih mudah dicapai dengan satu tangan, sesuai dengan tabiat pengguna yang sering mengakses aplikasi semasa bergerak.

TNG Digital juga giat mengembangkan segmen perniagaan-ke-perniagaan bagi melengkapkan penguasaan mereka dalam pasaran pengguna.

Inisiatif komersial seperti pengiklanan pintar, infrastruktur digital, serta Akaun Perniagaan TNG Digital untuk peniaga kecil kini menyumbang enam peratus kepada pendapatan keseluruhan syarikat.

Video Terkini

Berita Berkaitan