BH Online
Ringkasan Berita

Emas ini hadiah buat ayah - Erry

GLASGOW: "Ini untuk ayah saya."
Emas ini hadiah buat ayah - Erry

Atlet angkat berat negara Muhammad Erry Hidayat bersama pingat emas dimenanginya dalam kategori 79kg lelaki pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Scottish Event Campus Armadillo. – Foto BERNAMA

GLASGOW: "Ini untuk ayah saya."

Itulah luahan penuh emosi atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat selepas penantiannya untuk bergelar juara Sukan Komanwel berakhir apabila merangkul pingat emas kategori 79 kilogram lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, di sini.

Atlet berusia 26 tahun itu mengungguli saingan di Scottish Event Campus Armadillo awal pagi tadi dengan jumlah angkatan 331kg menerusi 147kg dalam snatch dan 184kg dalam clean and jerk.

Catatan clean and jerk serta jumlah angkatan keseluruhan 331kg itu turut memecahkan rekod temasya.

"Alhamdulillah, penantian tiga kali menyertai Sukan Komanwel, akhirnya saya dapat pingat emas. Pingat emas ini untuk ayah saya.

erryh28726b_1785203770.jpg
Muhammad Erry Hidayat beraksi dalam kategori 79kg lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026. – Foto BERNAMA

"Sebelum ini beliau hubungi saya dan meminta saya bawa pulang pingat emas sekali lagi untuknya. Saya lakukan semua ini demi ayah," katanya.

Kejayaan itu bagaimanapun hadir selepas Erry melalui detik mencemaskan dalam acara snatch apabila dua percubaannya pada bebanan 147kg dibatalkan juri sebelum berjaya menyempurnakan angkatan ketiga untuk meneruskan cabaran dalam clean and jerk.

"Kejayaan hari ini amat manis dan perjuangannya memang luar biasa. Kalau saya gagal pada angkatan ketiga, mungkin saya tidak dapat meneruskan saingan dalam clean and jerk.

"Jadi saya berjuang habis-habisan dalam clean and jerk untuk jumlah angkatan keseluruhan," katanya.

Erry berkata, dia cuba mengingati semula teknik serta prestasinya ketika latihan bagi bangkit selepas berdepan kesukaran dalam acara snatch.

erryh28726c_1785203773.jpg
Atlet angkat berat negara Muhammad Erry Hidayat bersama pingat emas dimenanginya dalam kategori 79kg lelaki pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026. Pingat perak dimenangi Valluri Ajaya Babu (kiri) dari India dan gangsa Chris Murray dari England. – Foto BERNAMA

"Saya hanya mengingatkan diri bagaimana saya berlatih kerana rekod terbaik snatch saya adalah 153kg, jadi saya tertanya-tanya mengapa 147kg boleh gagal.

"Dalam clean and jerk pun saya tidak sangka angkatan terakhir terasa begitu berat walaupun rekod terbaik saya adalah 187kg. Mungkin saya masih belum biasa dengan cuaca sejuk," katanya.

Pingat perak dimenangi Valluri Ajaya Babu dari India yang mencatat jumlah angkatan 330kg manakala wakil England, Chris Murray meraih gangsa dengan jumlah angkatan 325kg.

Kejayaan Erry lebih bermakna apabila dia mengikut jejak bapanya, Hidayat Hamidon yang memenangi emas angkat berat pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Sebagai rekod, Erry gagal meraih pingat pada penampilan sulungnya di Gold Coast 2018 sebelum memenangi perak kategori 73kg di Birmingham 2022.

Kemenangan Erry menghadiahkan pingat emas ketiga buat kontinjen negara selepas rakan sepasukannya, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin masing-masing menjuarai kategori 60kg dan 65kg lelaki, kelmarin. – BERNAMA

Video Terkini

Berita Berkaitan

Lain-lain (Sukan)

Erry ceria kembali beraya bersama keluarga

Lain-lain (Sukan)

Erry sandaran negara di Sukan SEA Kemboja

Lain-lain (Sukan)

Kejayaan Erry membanggakan negara

Lain-lain (Sukan)

Erry rangkul perak angkat berat

Lain-lain (Sukan)

Erry tidak rasa tertekan