PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bukan hanya menjadi medan menguji kekuatan jentera parti, khususnya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya ia juga menjadi arena mengukur kredibiliti dua tokoh yang pernah menerajui kerajaan negeri itu.
Mereka ialah Menteri Besar ke-10, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengetuai BN negeri dan Menteri Besar ke-11, Datuk Seri Aminuddin Harun, bagi pihak PH.

Mohamad atau lebih dikenali dalam kalangan rakyat Negeri Sembilan sebagai Tok Mat dianggap 'panglima perang' bagi BN dalam PRN itu, manakala Aminuddin yang dikenali Tok Min pula di pihak PH, kedua-duanya mempunyai rekod pentadbiran tersendiri sebagai Menteri Besar yang akan diuji pada hari pengundian Sabtu ini.
Kedua-duanya berwatak lembut tetapi tegas ketika berkempen, berbekalkan pengalaman menerajui kerajaan negeri, menonjolkan rekod pengurusan, pendekatan kepemimpinan, persepsi rakyat dan kedudukan politik sendiri.
Naratif persaingan antara Tok Mat dan Tok Min pada PRN kali ini, turut mewarnai platform media sosial dengan 'cybertrooper' kedua-dua pihak mengetengahkan perbandingan pencapaian mereka ketika mentadbir negeri itu.
Persoalannya, siapakah di antara kedua-dua calon 'heavyweight' ini yang berpotensi memberi nilai tambah kepada parti masing-masing dalam saingan merebut mandat rakyat pada PRN kali ini.
Persaingan pasukan dan rekod kedua-dua pemimpin itu menjadikan banyak pihak masih tidak dapat membuat bacaan siapa yang mampu mendahului pada PRN ini, walaupun tempoh berkempen hanya tinggal empat hari lagi.
Mohamad muncul sebagai aset terbesar BN yang membina reputasi sebagai pentadbir mengutamakan disiplin kewangan, membangunkan ekonomi dan kecekapan birokrasi.
Antara pencapaian ketika era pentadbirannya antara 2004 hingga 2018 ialah mengurangkan jumlah hutang negeri kepada Kerajaan Persekutuan, kira-kira RM700 juta berbanding hampir RM2 bilion.
Beliau juga dikenali dengan keupayaan mengurus krisis apabila berhasil meningkatkan rizab tunai negeri, selain dalam banyak keadaan, sokongan terhadap Tok Mat melangkaui parti diwakilinya. Mohamad juga dikenali kerana hubungan rapat dengan akar umbi, pemimpin masyarakat, penjawat awam dan institusi tradisional negeri, sekali gus mampu menarik sokongan pengundi Melayu dan atas pagar.
Personaliti dan kepemimpinan Timbalan Presiden UMNO itu dilihat memberi kelebihan kepada BN.
Pengalaman beliau sebagai Menteri Luar dan bekas Menteri Pertahanan turut memberi nilai tambah kepada kredibiliti penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu pada peringkat Pusat.
Bagaimanapun, pesona Tok Mat semata-mata mungkin bukan resipi kejayaan BN memecahkan kebuntuan di kawasan bandar dan separa bandar yang sinonim kerusi tradisi PH.
Peranan dan tanggungjawab besar pada peringkat Persekutuan juga mungkin membataskan peluang beliau bertemu rakyat Negeri Sembilan, berbanding ketika menjadi Menteri Besar.
Wajah kestabilan negeri
Sementara itu, Aminuddin pula memiliki kelebihan sebagai penyandang Menteri Besar, membina reputasi melalui pendekatan lebih sederhana dan berorientasikan konsensus.
Kedudukannya meletakkan Naib Presiden PKR itu sebagai wajah kestabilan negeri, yang antara lain memberi kelebihan untuk beliau memanfaatkan rekod pentadbiran sebagai bahan kempen.
Sejak mengambil alih pentadbiran pada 2018, beliau mengekalkan kestabilan kerajaan Negeri Sembilan, walaupun melalui perubahan landskap politik negara, COVID-19 dan pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Namun, cabaran utama Tok Min ialah belum memiliki aura politik individu setanding Tok Mat, walaupun dilantik sebagai Pengerusi PH Negeri Sembilan dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri.
Pemerhati politik berpendapat Aminuddin belum berupaya menandingi personaliti politik Mohamad, tetapi rekod prestasi pentadbirannya tidak boleh dipandang ringan.
Beliau juga meletakkan rekod pentadbiran seperti menambah dana negeri dan program kebajikan rakyat, sebagai taruhan utama dalam berkempen.
Ini menjadikan popularitinya banyak bergantung kepada prestasi kerajaan negeri dan kestabilan gabungan PH-BN, berbanding kekuatan personaliti beliau semata-mata.
Penganalisis politik, Dr Mohamad Tawfik Yaakub, menyifatkan kejayaan Tok Min membawa pelaburan ke Negeri Sembilan sebagai kelebihan bersyarat kerana ia tidak semestinya terus dirasai pada peringkat akar umbi.
Katanya, angka berbilion ringgit mungkin gagal memberi manfaat, jika rakyat terus berdepan peluang pekerjaan terhad, berulang-alik Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur, gaji rendah dan kos sara hidup tinggi.
PH perlu membuktikan peluang pekerjaan yang sudah diwujudkan, peningkatan kadar gaji dan manfaat kepada syarikat tempatan, bukannya sekadar jumlah pelaburan di atas kertas.
Pengundi juga mungkin mengakui faktor pembangunan di Negeri Sembilan, tetapi mereka masih tidak mempunyai keterikatan emosi atau keyakinan peribadi terhadap Tok Min.
Selain itu, BN mungkin mampu menuai hasil yang lebih, sekiranya gabungan itu berjaya menjadikan PRN kali ini sebagai medan perlawanan 'Tok Mat menentang Tok Min'.
Penganalisis dari Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian pula berkata prestasi ekonomi semata-mata jarang menjadi penentu mutlak dalam pilihan raya.
Katanya, dalam pilihan raya, prestasi pentadbiran tidak semestinya menghasilkan populariti politik setara dan PH mungkin berdepan cabaran, jika BN berjaya menjuarai naratif 'Tok Mat menentang Tok Min'.
Hujah BN dalam kempen menyatakan PH hanya meneruskan asas dibina pentadbiran terdahulu juga akan mengukuhkan imej Tok Mat sebagai arkitek pembangunan Negeri Sembilan.
Ini juga membolehkan BN menuntut sebahagian kredit bagi pembangunan Negeri Sembilan, selain mengetengahkan hujah kejayaan semasa adalah kesinambungan asas dibina gabungan itu.
Keadaan itu boleh merencatkan kelebihan dan momentum yang cuba dibina PH melalui rekod pentadbiran Tok Min sepanjang dua penggal menerajui kerajaan negeri.
Prof Dr Wong Chin Huat dari Universiti Sunway, pula berpandangan prestasi pentadbiran Tok Min menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat adalah sebahagian naratif PH yang tidak boleh disangkal BN.
Aspek ini memberi kelebihan kepada PH memandangkan BN sudah lama 'meninggalkan' tampuk pentadbiran kerajaan negeri.
























