Bayangkan sebuah firma guaman yang bukan sahaja menerima manusia sebagai pelanggan, malah roh yang dahagakan keadilan di mahkamah.
Itulah premis unik yang bakal dipersembahkan dalam drama terbaharu berjudul Phantom Lawyer yang mula menemui peminat K-Drama di platform Tonton bermula 13 Mac 2026.
Naskhah arahan Shin Joong-hoon ini menggabungkan elemen guaman, fantasi, aksi dan misteri yang pastinya memberikan kelainan buat penonton di Malaysia.
Diterajui bintang prolifik Yoo Yeon-seok, siri ini disiarkan secara serentak dengan waktu tayangan di Korea Selatan bagi memastikan peminat tempatan tidak ketinggalan mengikuti plot debarannya.
Kisah ini bermula apabila Shin Yi-rang lakonan Yoo Yeon-seok, seorang peguam yang baru sahaja membuka firma di sebuah rumah lama yang dahulunya milik seorang bomoh.
Keadaan menjadi luar biasa apabila Yi-rang mula menyedari keupayaan istimewanya yang mampu melihat roh namun tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia lain.
Tanpa diduga, roh-roh yang mempunyai penyesalan serta urusan belum selesai mula memohon bantuan Yi-rang demi menuntut keadilan yang tidak diperoleh ketika masih hidup.
Kekuatan drama ini turut bertumpu kepada watak Han Na-hyun lakonan Esom, seorang peguam elit daripada firma terkemuka yang dikenali dengan reputasi cemerlang dan rekod kemenangan hampir sempurna.
Namun, segalanya berubah apabila dia tewas dalam satu perbicaraan kepada Yi-rang, yang secara tidak langsung mempertemukan mereka dalam rangkaian kes penuh misteri.
Walaupun pada mulanya Na-hyun sukar mempercayai keupayaan luar biasa Yi-rang, dia akhirnya mula membuka fikiran selepas berdepan sendiri dengan kejadian aneh yang sukar dijelaskan secara logik.
Mereka akhirnya berganding bahu menyelesaikan pelbagai kes rumit melibatkan rahsia antara dunia manusia dan alam ghaib demi menegakkan kebenaran.
Selain gandingan mantap Yoo Yeon-seok dan Esom, drama ini turut diperkuatkan dengan kehadiran barisan pelakon berbakat lain seperti Kim Kyung-nam, Jun Suk-ho serta Kim Mi-kyung.
Bagi pengikut setia drama Korea, Phantom Lawyer menjanjikan penceritaan penuh kejutan dengan tayangan episod baharu pada setiap hari Jumaat dan Sabtu jam 10.30 malam hanya di Tonton.


















