KUCHING: Anugerah muzik paling berprestij negara, Anugerah Industri Muzik (AIM), bakal melakar sejarah baharu apabila memilih ibu negeri Sarawak sebagai hos penganjuran edisi ke-25 pada September depan.
Langkah yang digerakkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) ini menandakan kali pertama acara tersebut diadakan di luar Lembah Klang sejak diperkenalkan pada tahun 1993.
Kehadiran AIM25 di Kuching sekali gus menjadi simbol pengiktirafan besar buat industri kreatif di Bumi Kenyalang.
Kerjasama strategik TVS, sokongan dana RM950,000
Bagi memastikan sambutan jubli perak ini diraikan dengan skala yang besar, stesen TVS dipilih sebagai penyiar rasmi dan penganjur bersama.
Acara penuh gilang-gemilang ini bakal dibawakan secara langsung ke seluruh negara menerusi siaran televisyen, platform digital, serta aplikasi penstriman TVS Inspire.
Penganjuran bertaraf nasional ini turut mendapat sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi melalui Dana Pengiktirafan berjumlah RM950,000 yang disalurkan melalui MyCreative Ventures untuk merentasi 16 kategori.
Acara ini turut mendapat kerjasama erat daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak menerusi Geran Sokongan Acara.
Dua kategori baharu angkat karya Borneo, perayaan
Keunikan edisi ke-25 ini diserikan lagi dengan pengenalan dua kategori baharu yang cukup istimewa, iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik.
Kategori ini diwujudkan khusus untuk mengangkat hasil kreatif penggiat seni dari Sabah dan Sarawak, di samping meraikan kepelbagaian budaya yang menyatukan masyarakat Malaysia.
Ketua Pegawai Media TVS, Mohamad Sardon Zainal menyifatkan pemilihan Kuching sebagai satu penghormatan besar yang membuktikan identiti seni dari Sarawak kini diangkat sebagai suara seluruh negara, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk artis tempatan dikenali di peringkat nasional.
Kemeriahan bermula Julai ini bersama program khas Hits 122
Sebelum malam kemuncak bermula, penonton boleh menyaksikan program khas 13 episod berjudul Hits 122 Edisi AIM25.
Siri mingguan yang dibina atas enam objektif teras termasuk mendidik dan mengangkat prestij video muzik ini akan mula bersiaran pada 25 Julai ini, setiap hari Sabtu jam 8.30 malam di TVS Saluran 122.
Bagi memastikan kehangatan acara ini dirasai di seluruh negara, stesen radio tempatan, CATS FM turut diumumkan sebagai Rakan Radio Rasmi yang sedia membawa perkembangan terkini terus kepada pendengar.
Dengan gabungan mantap pelbagai platform ini, AIM25 pastinya bakal meletakkan satu tanda aras baharu dalam liputan sejarah muzik tanah air.

















