Setiap kali menjelang Aidilfitri, lebuh raya utama negara akan menyaksikan lonjakan trafik ketara apabila jutaan rakyat memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman.
Tradisi 'balik kampung' bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi satu memori sarat dengan nilai kekeluargaan dan nostalgia.
Namun dalam keghairahan untuk segera sampai ke destinasi, aspek keselamatan serta pematuhan terhadap peraturan jalan raya sering terabai, sedangkan jumlah kenderaan meningkat mendadak menjadikan risiko kemalangan turut bertambah.
Di laluan utama seperti Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, kesesakan trafik ketika musim perayaan menjadikan disiplin pemandu lebih penting berbanding waktu biasa.
Dalam keadaan perjalanan panjang serta aliran trafik padat, sikap bertimbang rasa, kesabaran dan kepatuhan terhadap undang-undang jalan raya menjadi kunci utama bagi memastikan setiap pengguna jalan raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat.
Peraturan jalan raya sebenarnya diwujudkan bagi melindungi semua pengguna jalan raya. Namun saban tahun, kemalangan masih berlaku akibat sikap pemandu memandang ringan undang-undang trafik.
Antara kesalahan sering dilakukan ialah memandu melebihi had laju, menukar lorong secara berbahaya, memotong di lorong kecemasan serta memandu secara agresif ketika jalan sesak.
Lorong kecemasan, misalnya, sering disalahgunakan pemandu ingin memintas kesesakan. Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menghalang laluan kenderaan kecemasan seperti ambulans atau kenderaan bantuan mungkin perlu melalui kawasan berkenaan.
Dalam situasi kecemasan, setiap saat amat berharga dan lorong kecemasan seharusnya kekal bebas daripada kenderaan biasa.
Selain itu, sikap tidak sabar ketika memandu juga boleh mencetuskan situasi berbahaya. Ada pemandu kerap menukar lorong secara tiba-tiba tanpa memberi isyarat, memandu terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan atau memotong secara berbahaya.
Dalam trafik padat musim perayaan, tindakan sebegini boleh menyebabkan kemalangan berantai yang membabitkan banyak kenderaan.
Perlu lebih peka kepada pengguna lain
Pemandu juga perlu lebih peka terhadap pengguna jalan raya lain seperti penunggang motosikal, pemandu lori, bas serta kenderaan keluarga sarat dengan penumpang dan barangan.
Setiap jenis kenderaan mempunyai ciri pemanduan berbeza. Sebagai contoh, kenderaan berat memerlukan jarak membrek lebih panjang dan ruang lebih luas untuk menukar lorong.
Dalam konteks ini, sikap bertimbang rasa amat penting. Memberi laluan kepada kenderaan lain, tidak menekan hon secara berlebihan serta mengelakkan provokasi di jalan raya mampu mengurangkan tekanan kepada semua pengguna.
Pemanduan berhemah bukan sahaja meningkatkan keselamatan, malah membantu melancarkan aliran trafik.
Selain mematuhi had laju, pemandu juga perlu memastikan mereka memandu dalam keadaan fizikal baik. Perjalanan jauh memerlukan tahap tumpuan tinggi.
Keletihan dan mengantuk adalah antara punca utama kemalangan ketika perjalanan jarak jauh, terutama apabila pemandu memaksa diri untuk terus memandu tanpa rehat mencukupi.
Sikap ingin cepat sampai kadangkala menyebabkan pemandu mengabaikan tanda-tanda awal keletihan seperti mata yang berat, hilang fokus atau kerap menguap.
Berhenti memandu jika mengantuk
Dalam keadaan sebegini, langkah paling bijak ialah berhenti seketika untuk berehat. Gunakan kemudahan kawasan rehat dan rawat (R&R) atau hentian sebelah untuk meregangkan badan, mendapatkan minuman atau tidur seketika sebelum meneruskan perjalanan.
Rehat singkat mampu memulihkan tahap tumpuan pemandu dan mengurangkan risiko kemalangan akibat microsleep yang boleh berlaku tanpa disedari.
Pematuhan peraturan jalan raya juga harus disertai dengan sikap tanggungjawab sosial. Setiap pemandu perlu sedar bahawa kesilapan kecil di jalan raya boleh memberi kesan besar kepada orang lain.
Satu keluarga mungkin menunggu kepulangan orang tersayang di kampung dan keselamatan perjalanan adalah perkara tidak boleh dikompromi.
Hakikatnya, keselamatan jalan raya bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan pihak berkuasa seperti polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia bermula dengan sikap dan kesedaran setiap individu berada di belakang stereng.
Sempena musim perayaan ini, setiap pengguna jalan raya perlu mengutamakan keselamatan berbanding keinginan untuk cepat sampai ke destinasi.
Memandu secara berhemah, mematuhi peraturan, berehat apabila letih dan menghormati pengguna lain adalah kunci utama bagi memastikan perjalanan balik kampung berlangsung dengan selamat.
Akhirnya, kegembiraan menyambut Aidilfitri akan lebih bermakna apabila semua orang dapat sampai ke destinasi dengan selamat. Jalan raya bukan medan perlumbaan, tetapi ruang yang dikongsi bersama.
Dengan disiplin dan sikap saling menghormati, perjalanan pulang ke kampung halaman boleh menjadi pengalaman selamat, tenang dan penuh makna.
Penulis adalah Pensyarah Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam
























