KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewujudkan Pusat Kawalan Kecerdasan Buatan (AI) bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur, termasuk membabitkan tempoh masa lampu isyarat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui, berkata inisiatif itu adalah antara perkara yang digariskan di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.
"Bagi mengurangkan kesesakan jalan raya contohnya, kita sudah melaksanakan lampu isyarat AI dan menggunakan pengiraan AI untuk mengenal pasti tempoh perjalanan.
"Ini bukan lagi seperti dulu, berapa minit lampu merah, berapa minit lampu hijau," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) sama ada kerajaan bercadang untuk memastikan laluan pejalan kaki berbumbung akan bersambung kepada semua flat dan pangsapuri dan terus ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) UTC serta Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul Timur.
Sementara itu, menjawab soalan asal P Prabakaran (PH-Batu) mengenai langkah kementerian untuk mengurangkan kesesakan di laluan utama Sentul dari Balai Polis Sentul ke Pasar Sentul (Parlimen Batu), Su Fui, berkata DBKL menyediakan pelan penyuraian trafik yang akan dilaksanakan secara berfasa dan disyaratkan dalam perintah pembangunan bagi plot pembangunan di kawasan berkenaan.
Antaranya, pelebaran Jalan Sentul daripada dua kepada tiga lorong di kawasan Pasar Sentul bagi meningkatkan kapasiti laluan dan melancarkan aliran trafik.
Selain itu, penyediaan petak parkir tambahan di hadapan Lot 202 bagi mengurangkan aktiviti parkir haram di bahu jalan kawasan Pasar Sentul, yang dikenal pasti sebagai antara punca kesesakan trafik.
"DBKL akan mempertingkat tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan yang meletakkan kenderaan secara haram di bahu jalan, terutama di kawasan kemudahan awam, seperti Pasar Sentul dan sekolah yang mengakibatkan kesesakan terutama pada waktu puncak," katanya.
























