BH Online
Ringkasan Berita

TVS perkukuh kedudukan stesen nasional, tampil kandungan pelbagai bahasa

KUALA LUMPUR: TVS kini mengukuhkan kedudukannya sebagai stesen televisyen nasional yang semakin relevan apabila tampil dengan kandungan menyeluruh merangkumi hiburan, berita dan program berimpak tinggi untuk penonton di seluruh Malaysia.

KUALA LUMPUR: TVS kini mengukuhkan kedudukannya sebagai stesen televisyen nasional yang semakin relevan apabila tampil dengan kandungan menyeluruh merangkumi hiburan, berita dan program berimpak tinggi untuk penonton di seluruh Malaysia.

Bersiaran di saluran 122 menerusi Astro, Unifi TV dan MYTV selain distrim secara langsung melalui aplikasi TVS INSPIRE, TVS bukan sahaja memfokuskan kepada hiburan semata-mata, malah menawarkan liputan berita empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Iban dan Mandarin, sekali gus mencerminkan kepelbagaian masyarakat negara ini. 

Sebagai satu-satunya stesen yang menyiarkan berita dalam bahasa Iban, TVS dilihat memainkan peranan penting dalam memastikan penyampaian maklumat yang lebih inklusif dan menyeluruh kepada pelbagai komuniti. 

Pada masa sama, prestasi TVS turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila merekodkan 93.1 juta tayangan televisyen dan 12.1 juta penonton unik bagi suku pertama 2026. Platform digitalnya pula mencatat 403 juta tontonan dengan jumlah pengikut mencecah 3.3 juta. 

Tawar pelbagai kandungan

Selain berita, TVS menawarkan pelbagai kandungan merangkumi hal ehwal semasa, majalah, gaya hidup, dokumentari serta program wanita yang memberi nilai tambah kepada penonton.

Antara program utama termasuk Dialog TVS yang membincangkan isu semasa secara mendalam bersama pemimpin kerajaan dan korporat, selain Decimal Point yang mengetengahkan topik ekonomi, kewangan dan teknologi secara lebih mudah difahami. 

Program lain seperti Inspirasi Dunia Mu, Anggun dan Edisi Khas pula memberi fokus kepada kisah inspiratif, pemberdayaan wanita serta naratif kemanusiaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat. 

Dalam usaha memperkukuh segmen hiburan, TVS turut menyusun pelbagai slot program sepanjang hari termasuk drama premium, rancangan realiti, komedi dan dokumentari yang disusun secara sistematik bagi memenuhi cita rasa penonton pelbagai lapisan. 

Bagi susun atur timebelt separuh akhir 2026, TVS menampilkan barisan drama bersiri premium menerusi slot Dramatika, termasuk Gerak Khas 2.0 yang mula ditayangkan pada 3 Julai ini, setiap Jumaat, jam 8.30 malam.

Drama berkenaan menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Erra Fazira dan Hans Isaac, selain buat pertama kali menggabungkan bakat dari Sarawak dalam produksi berskala nasional. 

Turut mengisi slot sama ialah beberapa judul lain seperti Siti in The City, Hilang dan Jendela Hati, sekali gus memastikan penonton tidak ketandusan kandungan baharu sehingga hujung tahun.

Dengan gabungan kandungan berita, hiburan dan program berinformasi, TVS dilihat terus berkembang sebagai platform penyiaran yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut menyatukan rakyat Malaysia melalui kepelbagaian kandungan yang ditawarkan.

Video Terkini

Berita Berkaitan