RAMAI yang mungkin biasa mendengar nama Betawi, namun tidak semua mengetahui, ia merujuk kepada masyarakat peribumi Jakarta yang kaya dengan warisan budaya, termasuk seni, bahasa, pakaian tradisional dan kulinari.
Namun, apabila menyebut mengenai masakan Betawi, ramai mungkin mengenalinya kerana keunikan rasanya yang terkenal pada gabungan rasa lemak santan, rempah harum serta sentuhan manis seimbang.
Antara hidangan ikonik Betawi adalah seperti tauhu telur dan soto Betawi yang sememangnya memberi kelainan kepada mereka yang inginkan suatu cita rasa berlainan untuk dicuba.

Melihat keunikan itu, Restoran Betawi Indonesian Cuisine tampil menawarkan hidangan klasik Betawi kepada masyarakat tempatan yang tercari-cari cita rasa autentik dan diwarisi daripada pelbagai wilayah di negara itu.
Pengurus Betawi, Siraj Al Munir, berkata setiap hidangan menggambarkan kepelbagaian budaya di kepulauan Nusantara, daripada sajian berempah yang kaya dengan santan hinggalah hidangan berasaskan sambal yang menjadi identiti masakan Indonesia.

"Usaha mengekalkan resipi tradisional menjadi keutamaan supaya pelanggan dapat menikmati pengalaman menjamu selera yang benar-benar mencerminkan cita rasa asli Indonesia.
"Di Betawi, kami mahu memastikan setiap hidangan mengekalkan rasa klasik, selain menjadi medium memperkenalkan kepelbagaian budaya kepada rakyat Malaysia.
"Di restoran ini, kami turut menawarkan hidangan iga bakar betawi iaitu daging rusuk yang dibakar dan disertakan dengan sambal korek sesuai untuk mereka yang inginkan rasa pedas dan manis.

"Selain itu, cumi goreng mbe iaitu sotong goreng disertakan sekali dengan sambal, pucuk pakis kalio dan enam jenis sambal untuk dicuba.
"Paling penting, pelanggan perlu mencuba minuman wedang uwuh iaitu minuman tradisional jawa herba dengan campuran pelbagai rempah ratus yang menyegarkan apabila diminum," katanya.

Lebih menarik lagi, restoran ini turut memperkukuhkan konsepnya apabila turut melaksanakan kerjasama strategik dengan Roemah Kebaya Vielga, yang mengetengahkan keunikan fesyen tradisional negara jiran itu.
Ia turut mendapat perhatian Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo yang menyifatkan kolaborasi itu sebagai antara bentuk ekonomi kreatif paling berkesan dalam mempromosikan identiti dan warisan sesebuah negara.

"Masakan Indonesia mencerminkan kepelbagaian luar biasa kepulauan kami, dari Sabang hingga Merauke dan berfungsi sebagai jambatan semula jadi yang menghubungkan komuniti merentasi sempadan.
"Pada masa depan, kita sedia membuka ruang baharu bagi perkongsian perniagaan dan memperkukuh hubungan antara rakyat Indonesia dan Malaysia.
"Kedutaan Republik Indonesia akan terus menyokong inisiatif yang mempromosikan industri kreatif Indonesia kerana usaha seperti ini melengkapi agenda lebih luas untuk mengeratkan hubungan dua hala dan memperdalam ikatan antara masyarakat kedua-dua negara," katanya yang hadir untuk mencuba hidangan berkenaan.
























