KABUT putih perlahan-lahan menyelimuti puncak Gunung Machinchang ketika cahaya pagi mula menyinsing. Dari kejauhan, menara besi Langkawi SkyCab kelihatan seolah-olah terapung di atas awan.
Tiupan angin dingin sesekali memecah kesunyian, sementara bunyi geseran besi dan derapan kasut keselamatan mula kedengaran di kawasan stesen.
Di kaki gunung, sekumpulan lelaki yang lengkap berpakaian Alat Perlindungan Diri (PPE) berdiri membentuk separuh bulatan, iaitu aktiviti rutin pada sesi taklimat keselamatan. Semestinya, mereka bukan berada di kaki Gunung Machinchang untuk menikmati pemandangan indah atau mahu merakam gambar untuk kenangan.
Mereka ialah pasukan teknikal Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB), insan yang saban tahun mendaki ke puncak menara bagi memastikan salah satu produk pelancongan paling ikonik negara terus beroperasi dengan selamat.
Ketika sesi taklimat, tiada yang berbual kosong, jauh sekali bergurau, malah setiap arahan disampaikan penyelia diberi perhatian penuh. Mereka tahu, sebaik sahaja kaki melangkah ke puncak menara, kesilapan walau sekecil mana sekalipun boleh mengundang padah.
Satu demi satu, peralatan perlindungan diri dipakai dengan teliti. Tali pinggang seluruh badan dipasang kemas, tali penyerap hentakan diperiksa dan topi keselamatan dipastikan kukuh di kepala. Seterusnya, kasut keselamatan dan cangkuk keselamatan diperiksa berulang kali.
Bagi mereka, semua peralatan itu penting, namun cangkuk keselamatan yang dipaut pada struktur besi disifatkan sebagai 'nyawa kedua. Jika salah langkah, tergelincir atau hilang imbangan, cangkuk itulah yang menjadi penghalang terakhir sebelum tubuh terhempas ke bumi.

"Orang gayat memang tidak boleh buat kerja ini," kata Pekerja Teknikal PLSB, Firdaus Busu, 40, sambil tersenyum kecil. Namun di sebalik senyuman itu, tersimpan kisah seorang suami dan bapa kepada tiga cahaya mata yang setiap hari meninggalkan rumah dengan satu harapan, pulang semula dalam keadaan selamat.
Penyelenggaraan tahunan kali ini selama dua minggu, membawanya ke Menara Enam, kira-kira 650 meter dari aras laut. Di situ, beliau bersama rakan-rakan perlu menanggalkan komponen takal roda seberat ratusan kilogram sebelum memasangnya semula pada kedudukan yang tepat.
"Salah langkah, risikonya besar. Tidak boleh buat kesalahan walaupun kecil.
"Tekanan itu sentiasa ada, tapi pengalaman, latihan dan disiplin keselamatan menjadi pelindung utama," katanya.
Firdaus antara pekerja yang memiliki Sijil Keselamatan Bekerja di Tempat Tinggi (WAH) yang dikeluarkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH). Ilmu yang diperoleh daripada kursus itu bukan sekadar syarat pekerjaan, sebaliknya menjadi panduan setiap kali berdepan risiko di tempat tinggi.
Mengulas cabaran yang pernah dihadapi ketika bekerja, beliau berkata, pernah beberapa kali berhadapan situasi angin tiba-tiba bertiup kencang, selain itu, ada ketikanya hujan lebat turun tanpa diduga.
Katanya, paling menggerunkan, apabila kilat dan petir mula memecah langit. Dalam keadaan itu, tiada apa yang mampu dilakukan selain memastikan semua peralatan keselamatan dipasang dengan sempurna dan selebihnya berserah kepada tuhan.

Rakannya, Mohamad Hanif Haris Ghazali, 36, yang sudah lapan tahun berkhidmat dengan PLSB, berkata tugas beliau dan rakan-rakan bukan sekadar membaiki mesin atau menggantikan komponen rosak.
"Sebaliknya, kami memikul tanggungjawab besar memastikan setiap pengunjung dapat menikmati perjalanan menaiki kereta kabel dengan selamat.
"Setiap kali bekerja, saya pastikan aspek keselamatan dipatuhi sepenuhnya. Keselamatan tidak boleh dikompromi," katanya.
Malah, pasukan teknikal PLSB sentiasa bersedia jika berlaku kerosakan mekanikal ketika operasi biasa. Apabila keadaan itu berlaku, operasi kereta kabel akan dihentikan serta-merta dan katanya, mereka perlu digerakkan ke lokasi kerosakan tanpa mengira cuaca dan waktu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Kejuruteraan PLSB, Amran Ayob, 49, mengakui cabaran terbesar pasukannya ialah apabila berlaku kerosakan mekanikal secara tiba-tiba di tempat tinggi. Untuk sampai ke Menara Enam sahaja, katanya pasukannya perlu berjalan kaki selama kira-kira dua jam, dalam keadaan cuaca tidak terjangka.
Hujan atau ribut, setiap pemasangan perlu dilakukan dengan tepat. Kesemua komponen di sepanjang sistem kereta kabel dipasang dengan sensor. Jika berlaku kesilapan, sistem penggera akan berbunyi dan proses pemasangan perlu dilakukan semula. Kerja yang memerlukan ketelitian tinggi itu tidak memberi ruang kepada kecuaian.
Sebab itulah satu ayat sentiasa diulang oleh Amran kepada anak-anak buahnya, 'keselamatan diutamakan. PPE wajib dipakai setiap masa."
Ketika pengunjung menikmati keindahan Langkawi daripada dalam kabin kereta kabel, tidak ramai menyedari di sebalik pemandangan indah itu, ada sekumpulan insan yang mempertaruhkan nyawa di atas awan.

Pelenggaraan tahunan, perkukuh keselamatan
Pertengahan Julai setiap tahun, suasana di Oriental Village, Teluk Burau berubah sama sekali. Tiada lagi deretan pelancong beratur menunggu giliran menaiki gondola atau riuh suara kanak-kanak teruja melihat kabin berwarna-warni bergerak perlahan 'di atas awan'.
Yang kedengaran hanyalah bunyi besi diketuk, deruman jentera dan arahan ringkas kakitangan teknikal yang sibuk melaksanakan tugas. Bagi kebanyakan orang, penutupan selama dua minggu itu mungkin sekadar gangguan sementara kepada rancangan percutian.
Namun, bagi pihak pengurusan Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB), dua minggu itulah tempoh paling penting dalam memastikan salah satu produk pelancongan ikonik negara terus beroperasi dengan selamat.
Di sebuah bilik mesyuarat yang menghadap ke arah Gunung Machinchang, Pemangku Ketua Pegawai Operasi PLSB, Abu Hashim Abd Rahman, meneliti laporan penyelenggaraan tahunan yang dibentangkan satu persatu.
Baginya, kerja-kerja itu bukan sekadar rutin bagi 23 kakitangan teknikal di syarikat itu, sebaliknya amanah besar bagi membina keyakinan khalayak terhadap tahap keselamatan semasa.
"Ia adalah soal amanah dan tanggungjawab terhadap jutaan pengunjung yang datang ke sini setiap tahun," katanya.
Ini kerana, syarikat itu pernah mengalami pengalaman paling mendebarkan apabila seramai 1,126 pengunjung dan kakitangan terkandas di beberapa lokasi di atas awan laluan Langkawi SkyCab pada 18 Februari 2018.
Dalam kejadian itu, seramai 88 penumpang terperangkap di dalam 16 gondola yang tergantung di udara, manakala selebihnya terkandas di stesen pertama dan stesen tertinggi.
Hampir lima jam diperlukan untuk memulihkan sistem dan membawa semua penumpang ke tempat selamat. Sejak detik itu, pihak pengurusan berikrar, insiden sama tidak boleh lagi berulang.
Penyelenggaraan kali ini membabitkan pelbagai komponen kritikal, termasuk penukaran set takal beralur (sheave assemblies) di Menara 6 dan Menara B0 di stesen bumi. Turut dilakukan penggantian kotak gear, motor utama (DC Drive) serta pemeriksaan menyeluruh terhadap sistem elektrik.
Semua kerja dilakukan mengikut prosedur operasi standard dan piawaian keselamatan yang ditetapkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan.
Malah, syarikat pembuat sistem kereta kabel dari Austria, Doppelmayr Garaventa Group, turut menghantar wakil mereka untuk memantau dan memberi nasihat teknikal sepanjang penyelenggaraan dilakukan.

Bagi Abu Hashim, tindakan itu penting kerana komponen seperti kabel dan set takal beralur adalah 'nyawa' kepada keseluruhan sistem.
"Jika satu daripadanya gagal berfungsi, risikonya bukan sahaja kepada operasi, malah membabitkan keselamatan penumpang.
"Sebab itu kita tidak boleh bertolak ansur walau sedikit pun dalam soal penyelenggaraan. Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan," katanya.
Beliau mengakui, menutup operasi selama dua minggu bukan keputusan mudah. Setiap hari penutupan bermakna ribuan pengunjung tidak dapat menikmati pengalaman menaiki kereta kabel itu, sekali gus memberi kesan kepada pendapatan syarikat. Namun, ia lebih baik daripada berdepan kemungkinan lebih besar akibat kegagalan sistem.
Atas sebab itu juga, Julai dipilih sebagai tempoh penyelenggaraan kerana berdasarkan trend, jumlah pengunjung pada bulan berkenaan lebih rendah, sekali gus membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan dengan lebih teratur.
Kereta kabel yang mula dibuka kepada umum pada November 2002 itu lahir daripada cetusan idea bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mahu mewujudkan satu tarikan bertaraf dunia di Langkawi.
Idea yang pada awalnya dianggap terlalu berani itu akhirnya menjadi kenyataan. Hari ini, Langkawi SkyCab dikenali di seluruh dunia sebagai antara sistem kereta kabel paling unik dan tercanggih. Secara teknikalnya, ia adalah sistem kereta gantung tali tunggal (monocable) paling curam di dunia.
Abu Hashim berkata, keseluruhan sistem membabitkan panjang lebih 4,000 meter itu menghubungkan Oriental Village dengan puncak Gunung Machinchang setinggi 708 meter daripada aras laut.
"Perjalanan selama beberapa minit itu membawa pengunjung merentasi hutan hujan berusia jutaan tahun, gaung yang dalam serta pemandangan Laut Andaman yang memukau," katanya.
Katanya, reputasi Langkawi sebagai destinasi pelancongan dunia turut dibina melalui kepercayaan bahawa setiap gondola membawa penumpang ke puncak gunung itu sudah melalui pemeriksaan teliti dan mematuhi piawaian antarabangsa yang ketat.























