SEBELUM ini, kawasan berbatu di Kampung Kura di Sik, Kedah, dianggap tidak mempunyai nilai ekonomi kerana sukar diusahakan sebagai kebun. Namun hari ini, kawasan itu muncul sebagai antara destinasi rekreasi yang semakin mendapat perhatian, hasil keunikan formasi batu gergasi semula jadi serta panorama awan karpet yang dapat disaksikan pada waktu pagi.
Dikenali sebagai Rock Village, lokasi berkenaan dibangunkan hasil semangat dan kegigihan bekas pegawai bomba, Ai Wut a/l Ji Tahib, 41, yang sanggup melaburkan masa, tenaga dan wang bagi merealisasikan impiannya menjadikan kawasan itu sebagai produk pelancongan.
Anak kelahiran Kampung Tok Sek, Kubur Panjang, Pendang itu berkata, idea itu tercetus semasa mengikut rakannya mengusahakan kebun durian di situ pada awal 2022.
Katanya, ketika itu dia tertarik melihat kawasan berbatu yang tidak ditanam durian kerana permukaannya tidak sesuai dibuat teres.
"Saya minta beli bahagian berbatu itu. Luasnya kira-kira 1.2 hektar dan saya nampak potensi tempat ini dijadikan tempat rekreasi sebab ia sangat cantik.
"Selain batu yang unik, saya juga terpikat dengan pemandangan awan karpet yang boleh dilihat dari puncak bukit pada waktu pagi. Dalam fikiran saya, dua keunikan ini mampu menarik orang datang berehat," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ai Wut berkata, urusan pembelian tanah selesai pada April 2022 sebelum dia memulakan kerja membersihkan kawasan itu pada Mei tahun sama.

Katanya, proses berkenaan bukan mudah kerana keseluruhan kawasan dipenuhi semak samun, akar yang membelit batu dan pokok liar sehingga mengambil masa hampir setahun untuk dibersihkan.
"Saya sendiri panjat batu menggunakan peralatan keselamatan dan menebas akar menggunakan parang. Saya mahu batu-batu ini timbul dan dapat dilihat secara jelas.
"Memang kerja pembersihan agak sukar kerana tak semua mampu dicapai dengan jengkaut, selebihnya saya terpaksa buat sendiri bersama beberapa orang pekerja, batu-batu yang ada tidak satu pun dialihkan," katanya.
Bapa kepada tiga orang anak ini berkata, nama Rock Village dipilih kerana identiti utama kawasan itu sememangnya terletak pada lambakan batu gergasi yang menghiasi bukit berkenaan.
Lebih menarik, katanya, terdapat sekurang-kurangnya 22 batu yang menyerupai pelbagai bentuk seperti anak gajah, kepala jerung, kepala ular, sotong dan biji kopi bergantung kepada sudut pandangan pengunjung.
Walaupun kini mempunyai perniagaan sendiri, Ai Wut mengakui Rock Village dibangunkan lebih kepada memenuhi kepuasan peribadi.
"Hari yang saya tidak sibuk, saya akan datang ke sini untuk berehat dan bercucuk tanam. Saya mahu tempat ini kekal tenang dan tidak dipenuhi pembinaan.
"Sehingga kini, Rock Village mempunyai enam unit roof camp dan sebuah chalet dikenali sebagai Cabana yang semuanya berasaskan kayu dan buluh, mungkin saya akan tambah beberapa lagi pada masa depan," katanya.
Beliau turut merancang mewujudkan konsep kebun dengan tanaman sayur-sayuran dan jagung supaya pengunjung dapat memetik hasil tanaman untuk dimasak.
Katanya, jagung akan dijadikan identiti baharu Rock Village melalui pelbagai produk seperti kek, biskut, aiskrim dan latte jagung selain landskap ladang yang menarik untuk bergambar.
"Malah saya berharap penduduk kampung turut menanam jagung dan menjual hasil mereka di sini supaya ekonomi setempat dapat berkembang.
"Selain itu sebuah batu gergasi di kawasan itu juga akan dijadikan pentas semula jadi bagi penganjuran majlis perkahwinan, persembahan muzik dan pelbagai acara.

Menurut Ai Wut, lokasi itu sentiasa menerima pengunjung terutama pada Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum, malah ketika mula tular pernah merekodkan hampir 500 pengunjung sehari.
Katanya, selain pengunjung tempatan, lokasi itu turut menerima pelancong dari Singapura, Hong Kong dan Switzerland,
"Pelancong dari Singapura ramai singgah di sini sebelum mereka teruskan perjalanan ke Thailand,
"Saya cuma caj kadar bayaran RM5 untuk masuk ke sini, dan bagi yang ingin bermalam, mereka boleh sewa penginapan di sini, bagi saya pengalaman yang ada di sini sukar ditemui di tempat lain," katanya.
Selain itu Ai Wut berkata, kawasan itu juga menjadi lokasi pilihan peminat fotografi langit malam kerana menawarkan pengalaman melihat bintang atau stargazing terutama antara Februari hingga awal September.
Bagi mereka yang gemarkan cabaran, boleh juga menikmati pengalaman unik memasuki Wut House yang hanya boleh diakses menggunakan tangga tali atau melalui laluan gua kecil di celah batu.
"Yang ditawarkan di sini bukan hanya ketenangan tapi juga pengalaman yang tidak boleh mereka peroleh di tempat lain.
























