BH Online
Ringkasan Berita

Warisan memikat Jawi Peranakan

ADA sesuatu pada emas Jawi Peranakan yang tidak sekadar memikat mata. Ia halus, ringan pada pandangan tetapi sarat makna, seolah-olah setiap lengkung dan ukiran menyimpan cerita mengenai sebuah komuniti yang pernah hidup di persimpangan budaya, di antara dunia Melayu, India Muslim dan Timur Tengah.
Warisan memikat Jawi Peranakan

Antara koleksi reka bentuk barangan kemas berunsur Peranakan Jawi dipamerkan kepada wartawan ketika sesi temubual di Galeri Habib. - Foto NSTP/Hari Anggara

ADA sesuatu pada emas Jawi Peranakan yang tidak sekadar memikat mata. Ia halus, ringan pada pandangan tetapi sarat makna, seolah-olah setiap lengkung dan ukiran menyimpan cerita mengenai sebuah komuniti yang pernah hidup di persimpangan budaya, di antara dunia Melayu, India Muslim dan Timur Tengah.

Rekaan ini lahir daripada ruang pelabuhan yang sibuk, tempat pertembungan budaya membentuk identiti Jawi Peranakan yang unik di negeri-negeri Selat, khususnya Pulau Pinang. Di situlah lahirnya barang kemas yang bukan sekadar perhiasan, tetapi juga cerminan gaya hidup, status dan ingatan keluarga.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Sadik Habib, berkata barang kemas Jawi Peranakan mempunyai identiti tersendiri yang membezakannya daripada koleksi emas Melayu lain.

"Emas Kelantan lazimnya terkenal dengan rekaan yang lebih sarat, berukiran tebal dan menonjolkan kemahiran pertukangan tradisional Melayu, barang kemas Jawi Peranakan pula mempunyai pendekatan yang lebih halus dan kosmopolitan.

"Kalau diperhatikan, ada unsur yang tidak kita jumpa pada rekaan Melayu biasa atau emas India semata-mata," katanya.

emas2
Antara koleksi reka bentuk barangan kemas berunsur Peranakan Jawi dipamerkan kepada wartawan ketika sesi temubual di Galeri Habib. - Foto NSTP/Hari Anggara

Komuniti berkembang

Meer Sadik berkata, komuniti Jawi Peranakan berkembang di kawasan pelabuhan yang menerima pengaruh pelbagai budaya. Jadi rekaannya turut mencerminkan pertembungan budaya Melayu, India Muslim dan Timur Tengah.

Malah jika diperhatikan, ada unsur yang tidak ditemui pada rekaan Melayu biasa atau emas India semata-mata.

Tambahnya, antara motif barang kemas Jawi Peranakan termasuk bulan sabit, bintang, tangkai padi dan elemen flora yang mempunyai kaitan rapat dengan tradisi Islam, menjadikan koleksi berkenaan berbeza daripada barang kemas Baba Nyonya yang lazimnya menampilkan unsur fauna seperti burung, rama-rama, naga atau serangga sebagai simbol utama.

Selain motif, keistimewaan koleksi ini juga terletak pada teknik pembuatannya. Kebanyakan barang kemas lama dihasilkan sepenuhnya secara buatan tangan oleh tukang emas yang mempunyai kemahiran tinggi.

"Dulu setiap bahagian dibuat satu persatu. Sambungan rantai, ukiran dan tetapan batu semuanya dilakukan secara manual. Hari ini banyak proses dibantu teknologi dan mesin.

HQ120526HA007 (2)
Pengarah Eksekutif Habib Jewels Sdn Bhd, Datin Seri Zarida Noordin (kiri) menerangkan barang kemas yang terdapat di Galeri Habib.- Foto NSTP/Hari Anggara

Bukan sekadar perhiasan tapi cerminan gaya hidup, sejarah

"Sebab itu apabila melihat barang kemas lama, kita bukan hanya melihat emas tetapi juga seni pertukangan yang sangat halus," katanya.

Keistimewaan emas Jawi Peranakan ini juga memotivasikan Meer Sadik dan isterinya,

Pengarah Eksekutif Kumpulan HABIB, Datin Seri Zarida Noordin, mewujudkan Galeri HARTA, bertujuan mengumpulkan koleksi sebegitu.

HQ120526HA007
Antara koleksi reka bentuk barangan kemas berunsur Peranakan Jawi dipamerkan kepada wartawan ketika sesi temubual di Galeri Habib. - Foto NSTP/Hari Anggara

"Barang kemas juga adalah dokumen sejarah, melaluinya kita boleh lihat bagaimana masyarakat hidup, apa yang suka dipakai, apa simbol yang dianggap penting dan bagaimana identiti terbentuk," katanya.

Sementara itu Zarida berkata, sebahagian besar koleksi yang dipamerkan di Galeri HARTA adalah koleksi keluarga, selain diperoleh daripada waris dan pengumpul yang mahu memastikan khazanah lama terus terpelihara.

"Kadang-kadang apabila ibu bapa atau datuk nenek meninggal dunia, generasi muda tidak tahu bagaimana hendak menguruskan koleksi itu. Jadi kami simpan kerana merasakan ia mempunyai nilai sejarah yang besar.

"Jika tidak dipelihara, kebanyakan barang kemas lama ini akan berakhir di kedai emas atau pajak gadai sebelum dileburkan.

"Bila dileburkan, bukan sahaja emas itu hilang bentuk asalnya, malah sejarah dan kisah di sebaliknya juga turut lenyap," katanya.

Antara koleksi yang dipamerkan termasuk kerongsang, rantai, gelang, cincin dan aksesori yang dianggarkan berusia antara 200 hingga 300 tahun. Sebahagian daripadanya dipercayai pernah dimiliki keluarga Jawi Peranakan yang menetap di Pulau Pinang dan negeri-negeri Selat yang lain.

Kata Zarida, kebanyakan koleksi lama tidak boleh dinilai berdasarkan piawaian moden seperti emas 916 atau 999 semata-mata.

Sebaliknya, kandungan emas dalam koleksi lama berbeza-beza bergantung kepada tempoh penghasilan, sumber bahan mentah dan tujuan penggunaannya.

"Pada masa dahulu, tukang emas menghasilkan barang kemas mengikut keperluan pelanggan. Ada yang menggunakan kandungan emas lebih tinggi, ada juga yang dicampur logam lain untuk mendapatkan bentuk tertentu atau meningkatkan ketahanan.

"Jadi nilai koleksi antik ini bukan terletak pada berat emas semata-mata, tetapi pada nilai sejarah, reka bentuk dan proses pembuatannya," katanya.

Kata Zarida, kedudukan emas dalam kalangan Jawi Peranakan bukanlah seperti digambarkan dalam filem.

"Memang ada penghargaan terhadap barang kemas dalam kalangan keluarga Jawi Peranakan. Emas dianggap sebagai aset, lambang kedudukan keluarga dan juga warisan yang boleh diturunkan kepada anak-anak.

"Tetapi tidak bermaksud semua wanita Jawi Peranakan memakai emas secara berlebihan seperti yang dipaparkan dalam filem,"katanya.

Katanya, dalam sesetengah keluarga Jawi Peranakan, barang kemas mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi kerana sering diwariskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya.

Malah bagi komuniti Jawi Peranakan, tradisi pemberian gelang, kerongsang atau rantai kepada anak perempuan sebagai tanda kasih sayang dan jaminan masa depan juga bukan sesuatu yang asing.

Selain membeli barang kemas di kedai, tidak kurang juga yang cenderung menempah rekaan emas berdasarkan ukiran dan cita rasa sendiri, hinggakan ada aksesori yang dipamerkan tidak ditemui di pasaran umum.

"Sebab itu, banyak barang kemas lama yang mempunyai karakter dan cerita yang berbeza.

"Setiap satu ada kisahnya. Ada yang dibuat sempena perkahwinan, ada yang diwariskan dalam keluarga dan ada juga yang ditempah sebagai lambang pencapaian tertentu," katanya.

HQ120526HA009
Model memperagakan satu set perhiasan serta busana tradisional yang lazim digayakan oleh subetnik Peranakan Jawi. - Foto NSTP/Hari Anggara

Rupa paras bukan lagi identiti Jawi Peranakan

Jika menyebut Jawi Peranakan, apa yang mungkin lebih diingati mungkin wajah eksotik 'anak mami'. Namun, komuniti itu sebenarnya tidak boleh diidentifikasi hanya dengan raut wajah, sebaliknya peredaran masa dan perkahwinan campur mengubah rupa paras.

Mungkin tidak ramai yang mengetahui susur galur pensejarahan Jawi Peranakan, malah mungkin ada yang menyangka Jawi Peranakan hanyalah hasil kahwin campur orang Melayu dan India, atau menyamakannya dengan komuniti Arab Peranakan.

Hakikatnya, sejarah Jawi Peranakan jauh lebih panjang daripada itu. Ia bermula daripada hubungan perdagangan yang merentasi Lautan Hindi, membawa bersama pedagang India Muslim ke Pulau Pinang sebelum akhirnya melahirkan sebuah komuniti baharu yang menggabungkan warisan India Muslim dengan budaya Melayu.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya, Dr Nurul Huda Hamzah, berkata dari sudut pembentukan masyarakat, komuniti Jawi Peranakan sebenarnya mempunyai persamaan dengan komuniti peranakan lain di Malaysia.

nurul huda hamzah
Nurul Huda Hamzah

Hasil daripada perkahwinan

Katanya, konsep "peranakan" merujuk kepada kelompok masyarakat yang lahir hasil perkahwinan antara pendatang dengan penduduk tempatan sehingga membentuk identiti budaya yang tersendiri.

"Jika kita melihat kepada komuniti Chetti Melaka misalnya, mereka terbentuk hasil perkahwinan pedagang Hindu dari India dengan wanita tempatan di Melaka. Jawi Peranakan pula melalui proses yang hampir sama, tetapi membabitkan pedagang India Muslim yang berkahwin dengan wanita Melayu di Pulau Pinang," katanya.

Tambahnya, kemunculan Jawi Peranakan berkait rapat dengan dasar British dalam mempromosikan perdagangan ketika itu mendorong, pedagang India Muslim menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi perdagangan utama.

Mereka bukan sekadar singgah menjalankan urusan perniagaan, malah ada yang menetap dalam tempoh panjang kerana menunggu perubahan angin monsun sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi lain.

"Tempoh menetap yang lama membuka ruang kepada interaksi dengan masyarakat tempatan, sekali gus berlaku perkahwinan campur.

"Perkahwinan itu turut mengukuhkan kedudukan pedagang India Muslim dalam masyarakat setempat kerana berkongsi agama yang sama dengan orang Melayu, sekali gus mempercepatkan proses asimilasi.

"Apabila berkongsi pegangan agama yang sama, proses penerimaan menjadi lebih mudah. Mereka menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian, mengamalkan adat Melayu dan akhirnya diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat Melayu," katanya.

Katanya, proses asimilasi yang berlaku begitu berjaya sehingga ramai generasi hari ini tidak lagi dapat membezakan identiti Jawi Peranakan dengan masyarakat Melayu secara umum.

Ramai menyangka seseorang itu boleh dikenal pasti sebagai Jawi Peranakan berdasarkan rupa paras atau warna kulit, namun ia tidak tepat.

"Identiti tidak boleh ditentukan melalui rupa paras semata-mata kerana faktor genetik berubah mengikut peredaran masa. Apa yang lebih penting ialah sejarah keluarga, budaya, bahasa dan amalan yang diwarisi.

"Jawi Peranakan tidak sama dengan Arab Peranakan. Walaupun berkongsi agama dan melalui proses perkahwinan campur dengan masyarakat tempatan, asal-usul kedua-dua komuniti itu berbeza.

"Arab Peranakan warisan daripada pedagang Arab yang berkahwin dengan wanita tempatan, Asal-usul mereka berbeza walaupun terdapat beberapa persamaan dari sudut agama dan proses pembentukan masyarakat," katanya.

Tambahnya, Pulau Pinang pula menjadi pusat perkembangan komuniti itu kerana faktor perdagangan, namun tidak tepat untuk mengatakan Jawi Peranakan hanya wujud di negeri berkenaan.

Video Terkini

Berita Berkaitan