TERSOROK di sebalik kesibukan ibu kota, Herbarium Taman Botani Perdana mungkin tidak begitu dikenali ramai. Namun, arkib yang diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini memainkan peranan penting dalam memelihara rekod biodiversiti negara ketika pembangunan pesat terus mengurangkan kawasan hijau.
Sejak beroperasi pada Mac 2017, herbarium ini mengumpul lebih 5,000 spesimen tumbuhan dari seluruh negara termasuk kawasan pedalaman seperti Long Banga, Marudi di Sarawak. Sehingga kini, usaha pengumpulan spesies tumbuhan masih diteruskan, termasuk koleksi terbaharu dari Bukit Dinding, Wangsa Maju.

Pegawai penyelidik, Syazwani Azeman, berkata setiap spesimen tumbuhan yang disimpan bukan sekadar koleksi saintifik, tetapi menjadi bukti kewujudan sesuatu spesies di lokasi tertentu pada suatu masa.
"Kepentingan herbarium mungkin tidak disedari sekarang, tetapi pada masa hadapan ia menjadi rekod kewujudan tumbuhan itu di sesebuah kawasan.
"Jika spesies itu hilang akibat pembangunan atau perubahan ekosistem, kita masih mempunyai bukti fizikal untuk kajian generasi akan datang," katanya.
Selain menjadi pusat rujukan saintifik, herbarium itu berfungsi sebagai memori biodiversiti yang merekodkan perubahan landskap alam, khususnya di kawasan bandar yang pesat membangun seperti Kuala Lumpur.

Spesimen bertahan ratusan tahun
Syazwani berkata, setiap spesimen melalui proses yang teliti sebelum disimpan secara kekal. Lazimnya, tumbuhan yang mempunyai bunga atau buah dipilih kerana memudahkan proses pengecaman spesies.
Sebaik dibawa dari lapangan, sampel dibersihkan dan ditekan sebelum dikeringkan dalam ketuhar khas pada suhu antara 55 hingga 65 darjah selsius selama empat hingga tujuh hari. Selepas itu, spesimen dibiarkan pada suhu bilik sebelum melalui proses kuarantin dalam peti sejuk beku bagi mengelakkan serangan serangga dan kulat.
Seterusnya, spesimen dilabel dengan maklumat saintifik lengkap seperti lokasi kutipan, tarikh, habitat dan koordinat GPS. Spesimen kemudian ditampal, dijahit dan disusun mengikut sistem klasifikasi tumbuhan dalam storan khas yang menyerupai perpustakaan.

Syazwani berkata, spesimen di herbarium mampu bertahan puluhan hingga ratusan tahun jika diselenggara dengan baik, sekali gus menjadikan pusat itu sumber penting untuk penyelidikan jangka panjang.
Hal ini katanya boleh dilihat pada koleksi di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, yang masih dalam keadaan elok sekalipun sudah berusia ratusan tahun.
"Spesimen asal masih dikekalkan kerana ia penting untuk penyelidikan. Herbarium ini memang untuk jangka masa panjang..
"Di sini, kami sering menjadi rujukan penyelidik dan pelajar yang menjalankan kajian berkaitan tumbuhan serta pemuliharaan biodiversiti bandar," katanya.
Dalam kunjungan baru-baru ini, kakitangan herbarium sedang memproses kira-kira 40 hingga 50 spesimen tumbuhan yang dikumpul dari Bukit Dinding semasa kerja lapangan pada pertengahan Mei.
Menurut Syazwani, usaha itu penting kerana herbarium berkenaan belum mempunyai koleksi rasmi dari kawasan itu.
"Kita mungkin pernah mengumpul spesies yang sama di tempat lain, tetapi rekod dari lokasi berbeza tetap penting kerana setiap kawasan mempunyai nilai dokumentasinya sendiri," katanya.
Kerja lapangan itu turut menemukan beberapa spesies menarik yang masih dalam proses pengecaman, termasuk spesies halia liar berbunga merah. Hasil kajian akan didokumentasikan dan diterbitkan dalam bentuk bahan pendidikan seperti poster bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai biodiversiti kawasan berkenaan.
Seiring perkembangan teknologi, Herbarium Taman Botani Perdana kini sedang melaksanakan proses pendigitalan koleksi dengan kerjasama Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS). Inisiatif yang dijangka bermula Julai ini bertujuan memperluas akses kepada data biodiversiti untuk penyelidik, institusi pendidikan dan orang awam.
Sementara itu, Naib Presiden Friends of Bukit Dinding (FoBD), Inci Anggie Narina Syafruddin, berkata pelbagai kajian menunjukkan Bukit Dinding adalah antara kawasan biodiversiti penting di Kuala Lumpur walaupun sering dianggap hanya hutan sekunder.
Katanya, penilaian biodiversiti asas yang dijalankan pada 2023 merekodkan 175 spesies tumbuhan, 92 spesies rama-rama, 81 spesies burung, 28 spesies reptilia dan amfibia, sembilan spesies pepatung serta lima spesies mamalia.
Penemuan hidupan liar seperti kucing batu, musang, monyet, babi hutan, ular dan biawak turut menunjukkan kawasan itu berfungsi sebagai habitat perlindungan hidupan liar bandar. Kajian itu diperkukuhkan lagi pada 2024 melalui penggunaan kaedah bioakustik dan perangkap kamera.
























