BH Online
Ringkasan Berita

Kesunyian sebelum meninggal sendirian

JASADNYA ditemukan orang ramai di tepi sebuah bangunan di ibu negara. Berstatus gelandangan, lelaki tempatan warga emas ini meninggal dunia bersendirian.
Kesunyian sebelum meninggal sendirian

Kira-kira 30 jenazah tidak dituntut diuruskan SPJM setiap tahun. (Foto BERNAMA)

JASADNYA ditemukan orang ramai di tepi sebuah bangunan di ibu negara. Berstatus gelandangan, lelaki tempatan warga emas ini meninggal dunia bersendirian.

Lebih memilukan, jenazahnya tersimpan di bilik mayat hospital hampir seminggu sementara menunggu pihak berkuasa mengesan dan menghubungi waris. Namun panggilan demi panggilan dilakukan, tidak ada satu pun bersambut.

Akhirnya, jenazah arwah diserahkan kepada Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) untuk dikebumikan.

"Kami dimaklumkan pihak hospital dapat hubungi anak saudara arwah yang tinggal di Melaka, namun malangnya lelaki itu memberitahu yang dia tidak mampu untuk menuntut jenazah itu kerana kesempitan hidup. Dia minta pihak hospital bantu dan di sinilah peranan kami bermula," kongsi pengasas SPJM Muhammad Rafieudin Zainal Rasid.

Menegaskan yang beliau tidak berniat membuka aib sesiapa, Muhammad Rafieudin berkata, kes itu antara kira-kira 30 jenazah tidak dituntut yang diuruskan SPJM saban tahun. Sekalipun sebahagian besarnya membabitkan mereka yang tidak berwaris atau tanpa identiti, bilangan jenazah yang "diserahkan" oleh keluarga juga kian meningkat.

"Hal ini mungkin disebabkan oleh hubungan kekeluargaan yang renggang. Warisnya mungkin ada, tapi sengaja tidak mahu atau tidak mampu datang (untuk menguruskan jenazah terbabit)," jelasnya.

SPJM ambil tanggungjawab

SPJM antara beberapa pertubuhan di negara ini yang mengambil tanggungjawab menguruskan jenazah tidak dituntut membabitkan orang Islam dan bukan Islam.

"Kami lakukan ini atas keperluan fardu kifayah," jelasnya.

Mengimbau penubuhan skuad itu pada 2017, beliau yang sudah lebih 20 tahun terbabit dalam pengurusan jenazah, berkata di peringkat awal beliau bergerak secara solo selepas melihat semakin banyak kes jenazah tidak dituntut di hospital.

"Bila kita lihat keperluan di lapangan makin bertambah, kita mula kumpulkan sukarelawan dan tubuhkan skuad ini pada 2017 bagi membantu meringankan beban pihak berwajib dan kerajaan," katanya sambil menambah jumlah terkini ahli berdaftar SPJM mencecah 2,000 orang di seluruh negara.

Misi utama mereka ialah memastikan setiap jenazah orang Islam diuruskan secara bermaruah dan beretika menurut syarak. Pada masa sama, mereka turut membantu keluarga bukan Islam yang memerlukan melalui penyediaan sokongan logistik seperti van jenazah dan keranda, selain menjadi penghubung bagi memastikan urusan terakhir si mati dapat dilaksanakan dengan lancar.

Beliau berkata SPJM turut membantu golongan tidak berkemampuan menguruskan jenazah tanpa mengenakan sebarang kos terhadap waris.

jenzah
Kes kematian individu tinggal bersendirian tanpa disedari semakin meningkat akibat hubungan kekeluargaan yang longgar. (Foto BERNAMA)

Kes jenazah tidak dituntut babit semua bangsa

Muhammad Rafieudin berkata, mereka akan dihubungi oleh pihak berwajib bagi menguruskan jenazah tidak dituntut selepas semua usaha yang diambil untuk mengesan waris gagal membuahkan hasil.

"Kalau kes biasa, iaitu jenazah dituntut waris, urusan dokumentasi dan lain-lain hanya mengambil masa beberapa jam selepas kematian disahkan dan pengebumian (orang Islam) akan dilakukan pada hari sama. Akan tetapi, untuk jenazah tidak dituntut, keadaannya berbeza.

"Bagi kes jenazah yang mempunyai identiti tetapi tidak dituntut waris, proses biasanya mengambil masa antara 24 hingga 72 jam sementara usaha mengesan ahli keluarga dijalankan oleh pihak hospital, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ada kalanya boleh mengambil masa lebih lama," katanya.

Bagaimanapun, bagi jenazah tidak dikenali termasuk warga asing tanpa dokumen sah, proses menjadi lebih kompleks dan mengambil masa lebih lama dengan ada yang tersimpan di bilik mayat selama berbulan-bulan kalaupun tidak bertahun.

"Banyak perkara yang perlu disahkan sebelum jenazah diserahkan kepada kami, antaranya menentukan agama si mati. Kesemua ini dilakukan oleh pihak berkuasa," jelasnya.

Sejak penubuhannya, SPJM sudah menguruskan lebih 300 jenazah tidak dituntut, membabitkan waris enggan tampil menuntut, individu tanpa waris serta jenazah tidak dikenal pasti.

Makin maju negara, masyarakat makin mundur?

Peningkatan kes individu yang tinggal bersendirian meninggal dunia tanpa disedari dan ditemui selepas beberapa hari atau minggu semakin membimbangkan, antaranya berpunca daripada kelonggaran hubungan kekeluargaan.

bhmimi
Pensyarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mimi Hanida Abdul Mutalib

Pensyarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mimi Hanida Abdul Mutalib, berpandangan dahulu institusi keluarga menjadi teras sokongan emosi dan sosial dengan hubungan yang erat serta saling mengambil tahu.

Namun kini semakin banyak yang hidup bersendirian, terpisah daripada keluarga atas pelbagai faktor termasuk penghijrahan dari desa ke bandar bagi meneruskan kehidupan.

"Dalam keadaan tertentu, ada yang terputus hubungan akibat konflik, tekanan ekonomi atau kegagalan memenuhi harapan keluarga, lalu memilih untuk menyisihkan diri.

"Perubahan itu juga dipengaruhi kemajuan teknologi dan sistem moden yang secara tidak langsung mengambil alih fungsi tradisional keluarga.

"Jika dahulu, seseorang bergantung kepada saudara-mara untuk mendapatkan maklumat, bantuan atau sokongan. Kini, banyak urusan boleh diselesaikan secara individu selagi dia mempunyai sumber kewangan dan akses digital," katanya.

Masyarakat berdikari

Tambahnya, hari ini masyarakat menjadi semakin berdikari, namun pada masa sama jaringan kebergantungan sosial semakin menipis. Apabila sesuatu krisis berlaku, tidak lagi wujud lingkaran terdekat yang segera menyedari ketiadaan mereka.

Malah, isu meninggal dunia bersendirian dan jenazah tidak dituntut ini membabitkan semua golongan, sama ada miskin dan pertengahan malah orang kaya.

"Malaysia mungkin belum berdepan krisis seperti fenomena 'kodokushi' di Jepun dengan ramai rakyatnya tidak berkahwin atau tidak mempunyai anak akibat faktor kos sara hidup kian meruncing, namun peningkatan kes meninggal dunia bersendirian tanpa disedari orang sekeliling wajar dilihat sebagai isyarat awal.

"Dalam sistem masyarakat yang semakin kompleks, pembangunan fizikal dan dasar ekonomi perlu disertai usaha mengukuhkan kembali nilai kebersamaan (masyarakat) kerana, tanpa jaringan sosial yang kukuh seseorang boleh hilang dalam diam dan hanya ditemukan setelah segalanya terlambat," katanya,

Sementara itu, pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia Dr Nurhafizah Mohd Sukor, berkata kematian dalam cara begitu sering berkait rapat dengan pengalaman emosi yang dipendam oleh individu berkenaan sehingga ke akhir hayatnya.

"Ada individu yang menjauhkan diri kerana menyimpan rasa bersalah, murung, gelisah atau tidak mahu menyusahkan orang lain.

" Hubungan keluarga yang renggang serta komunikasi hambar membuatkan mereka memilih untuk memendam rasa sedih secara bersendirian. Lama-kelamaan, pengasingan ini menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi cara hidup," katanya.

Sekalipun ada yang hidup bersendirian kerana mahukan ketenangan dan lingkungan sosial yang kecil, beliau berkata bagi mereka yang berasa terasing atau tidak diperlukan, isolasi sosial sebegini boleh mengganggu kemampuan berfikir secara jelas, melemahkan kawalan emosi dan menurunkan motivasi untuk mengurus diri dan tanggungjawab harian.

Dalam kes ekstrem, keadaan itu membawa kepada apa yang dikenali sebagai 'self-neglect' atau pengabaian terhadap penjagaan diri, kebersihan, pemakanan dan kesihatan.

Individu yang memendam perasaan negatif dalam jangka panjang berisiko mengalami kemurungan dan terus menjauhkan diri daripada orang sekeliling. Perlahan-lahan, pengasingan ini berlaku tanpa disedari sehingga menjejaskan kesejahteraan mereka secara menyeluruh.

"Tanda-tanda awal isolasi serius sering tersembunyi di sebalik kehidupan harian yang kelihatan normal. Secara emosi, mereka mungkin mengelak daripada berkongsi perasaan sebenar, sering memberi jawapan 'Saya okey', atau menjauhkan diri daripada perbualan mendalam walaupun dengan ahli keluarga atau rakan rapat.

"Dari segi sosial, mereka sengaja lambat atau tidak membalas mesej ahli keluarga, menolak jemputan atau menunjukkan kurang minat terhadap persekitaran sosial baharu.

"Secara fizikal pula, mereka banyak menghabiskan masa bersendirian di rumah, mengalami gangguan tidur dan selera makan atau mudah lesu. Kelakuan ini cukup mudah disalah tafsir sebagai normal atau sekadar privasi, tetapi jika berpanjangan boleh menjadi petanda masalah psikologi serius," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan