HUTAN dan gunung sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam kalangan masyarakat Melayu. Selain menjadi sumber kehidupan dan ruang rekreasi, kawasan ini juga sering dikaitkan dengan pelbagai cerita rakyat, legenda dan kepercayaan mistik yang diwarisi turun-temurun.
Justeru, apabila berlaku kes kehilangan di hutan atau gunung, masyarakat sering cuba memahami kejadian berkenaan bukan sahaja melalui faktor fizikal dan logik, malah melalui lensa budaya yang sekian lama membentuk cara mereka melihat alam semula jadi.
Fenomena mengaitkan orang hilang dengan unsur ghaib bukanlah sesuatu yang asing kepada masyarakat Melayu. Kepercayaan terhadap bunian, penunggu hutan dan kampung ghaib sudah lama menjadi sebahagian daripada cerita lisan masyarakat. Namun, hakikatnya kebanyakan kes kehilangan di kawasan hutan mempunyai penjelasan yang lebih dekat dengan realiti seperti kesilapan navigasi, kekurangan persediaan, keletihan, panik dan kebergantungan melampau kepada teknologi.
Dalam keghairahan masyarakat hari ini melakukan aktiviti pendakian dan perkhemahan, gunung dan hutan di seluruh negara menjadi tumpuan utama setiap kali hujung minggu dan cuti panjang. Namun, tanpa persediaan yang cukup selain kemampuan mendengar arahan jurupandu dengan jelas, mereka berisiko tersesat atau gagal menamatkan pendakian. Malah ada kala walaupun berbekalkan gajet lengkap aplikasi, pendaki berisiko tersesat.
Apabila isyarat telekomunikasi lenyap dan bateri telefon pintar mati akibat persekitaran lembap hutan, barulah ramai menyedari betapa rapuhnya teknologi moden. Saat itu, barulah ramai menyedari betapa pentingnya kemahiran asas seperti membaca peta topografi dan menggunakan kompas fizikal.
Perlu persiapan rapi
Bagi Pengendali Aktiviti Pendakian Trekzo Resources, Mohd Razainor Hisham Mohd Saufi yang juga Malim Gunung Perhutanan (MGP), situasi kecemasan seperti sesat atau terputus hubungan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira pengalaman.
Katanya, kunci utama untuk mengendalikan situasi kritikal terletak pada tindakan awal yang pantas, tenang dan sistematik.
"Langkah pertama dan paling utama apabila menyedari diri sudah tersasar daripada laluan sebenar adalah mengamalkan prinsip 'STOP' iaitu sit (duduk), think (fikir), observe (perhati), dan plan (rancang)," katanya.

Tambahnya, sebagai operator yang bertanggungjawab mengurus aktiviti kembara di dalam hutan sama ada mendaki atau berkhemah, pihaknya sentiasa menganjurkan latihan asas berkaitan hutan. Hal ini merangkumi asas kemahiran menyelamat, asas pertolongan cemas, teknik ikatan tali serta membaca peta dan kompas.
"Latihan ini bukan satu paksaan namun secara amnya ia sangat mustahak untuk seseorang yang mahu membabitkan diri dengan persekitaran hutan," katanya.

Tambahnya, latihan itu dijalankan bersama jurulatih bertauliah daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM), membabitkan teori dan praktikal sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan.
Menurut Mohd Razainor Hisham, seseorang yang tersesat tidak seharusnya terus bergerak tanpa arah tujuan kerana tindakan itu hanya menyukarkan usaha mencari dan menyelamat.
"Kita terangkan dalam setiap latihan apa yang perlu dilakukan sekiranya tersesat termasuk wajib memberhentikan langkah serta-merta dan tidak meneruskan perjalanan tanpa arah tujuan, kerana tindakan terus berjalan dalam keadaan panik hanya akan menjauhkan lagi diri daripada radius pencarian asal.
"Trek atau laluan pendakian juga ada kalanya dikacau ganggu oleh binatang liar dan faktor alam sekitar, kita mungkin sangka itu laluan sebenar tetapi tidak apatah lagi laluan yang tidak kerap didaki," katanya.
Beliau berkata, peserta pendakian juga perlu memiliki stamina yang baik serta diberi pendedahan awal mengenai penggunaan alat navigasi seperti peta, kompas dan GPS.

Selain memastikan telefon berada dalam keadaan baik, pendaki disaran membawa power bank, pemetik api, wisel, kit pertolongan cemas peribadi dan lampu kepala sebagai kelengkapan asas. Lebih penting, seseorang perlu mengetahui had kemampuan diri sebelum memulakan pendakian.
Mohd Razainor Hisham berkata, sifat ego terutama keinginan untuk membuktikan kebolehan diri boleh membawa padah apabila seseorang terus mendaki walaupun menyedari keupayaan sebenar mereka tidak mencukupi.
"Malah musuh nombor satu dalam mana-mana situasi cemas di dalam hutan bukanlah haiwan liar atau keadaan cuaca, melainkan perasaan panik yang gagal dikawal," katanya.
Tambahnya, persediaan sebelum melangkah ke kaki gunung bukan sekadar membabitkan kecergasan fizikal tetapi turut merangkumi aspek mental, ilmu logistik dan pengurusan peralatan.
"Dari sudut fizikal, latihan stamina awal seperti berjoging, mendaki bukit kecil (hiking), dan latihan kekuatan otot adalah wajib bagi membina ketahanan tubuh namun aspek mental sebenarnya memegang peranan yang lebih besar, iaitu seorang pendaki perlu tahu had kemampuan diri sendiri dan yang paling penting, tidak membawa sikap ego yang tinggi apabila berada di dalam hutan.
"Pendaki dinasihatkan untuk mengkaji laluan, memahami anggaran masa pendakian, kedudukan punca air, serta mengenal pasti kawasan-kawasan berisiko sepanjang trek," katanya.
Katanya, ramalan cuaca juga perlu disemak sebelum memulakan ekspedisi kerana cuaca di kawasan pergunungan Malaysia boleh berubah secara mendadak dan meningkatkan risiko kemalangan.
Kuasai kemahiran ikhtiar hidup
Sementara itu, pesara tentera, Razali Sani, 73, berpandangan persekitaran hutan tidak boleh dipandang ringan terutama oleh pendaki baharu.
Katanya, sesiapa yang berminat menerokai hutan atau gunung seharusnya menguasai kemahiran ikhtiar hidup serta mempunyai pengetahuan menggunakan kompas dan peta.
"Bagi mereka yang sudah mahir, sama ada peta atau kompas sudah memadai namun bagi mereka yang masih baharu, gabungan kedua-duanya sangat mustahak.

"Kompas bukan sekadar alat untuk mencari arah utara semata-mata. Fungsi paling kritikal bagi seorang pendaki adalah keupayaan menetapkan bearing (sudut darjah arah perjalanan).
"Dalam hutan tropika yang tebal, keadaan sekeliling yang hampir serupa dan jarak penglihatan yang terhad boleh menyebabkan seseorang berjalan dalam bulatan tanpa disedari," katanya yang berkhidmat sebagai jurupandu arah selama 13 bertugas dengan ATM.
Razali berkata, ramai tersalah anggap bahawa peta hutan sama seperti peta jalan raya digital, sedangkan peta yang digunakan dalam aktiviti luar ialah peta topografi.
"Apa yang perlu difahami adalah garisan kontur atau garisan-garisan halus di dalam peta yang menunjukkan bentuk muka bumi. Jika garisan tersebut rapat, bermakna kawasan itu sangat curam.
"Jika renggang, kawasannya adalah landai. Memahami kontur mengelakkan anda daripada terjebak ke laluan mati atau gaung berbahaya," katanya.
Tambahnya, walaupun aplikasi navigasi dalam telefon pintar banyak membantu, teknologi itu mempunyai kelemahan apabila digunakan dalam hutan hujan tropika yang tebal.
"Apabila kita berada di dalam hutan tebal, dedaun dan kanopi pokok yang rapat, ditambah pula dengan struktur geografi seperti lembah, gunung atau gaung, kesemua ini akan bertindak sebagai penghalang fizikal seterus menyebabkan isyarat GPS telefon boleh terputus terus atau menjadi tidak stabil.
"Selain itu, jika menggunakan kompas yang ada di dalam telefon, sensor kompas telefon mudah terganggu berbanding kompas fizikal yang menggunakan jarum magnetik," katanya.
Justeru, Razali menegaskan bahawa peta dan kompas fizikal kekal sebagai alat navigasi paling boleh dipercayai kerana tidak memerlukan bateri, tidak bergantung kepada isyarat telekomunikasi dan boleh berfungsi dalam apa jua keadaan cuaca.
"Jadikan kompas dan peta fizikal sebagai barangan wajib di dalam beg galas ketika melakukan aktiviti pendakian dan luangkan masa sekitar satu atau dua jam untuk mempelajari ilmu navigasi asas ini yang bukan sahaja mampu meningkatkan keyakinan diri di dalam hutan, malah ia mungkin menjadi penyelamat nyawa pada waktu yang tidak diduga," katanya.
























