PAGI di Pulau Tioman sering bermula dengan bunyi generator diesel yang berdengung perlahan, sebelum matahari benar-benar naik, dan bunyi itu sudah menjadi sebahagian ritma hidup di pulau.
Tioman adalah satu daripada 879 buah pulau di Malaysia, dan daripada jumlah itu, hanya 344 pulau berpenghuni. Di pulau-pulau inilah kehidupan kecil berputar jauh daripada grid utama Semenanjung, tetapi masih bergantung kepada satu sumber tenaga yang sama, diesel.
Di sebalik keindahan pasir putih dan air jernih, realiti sebenar lebih sederhana dan rapuh. Kebanyakan pulau masih bergantung sepenuhnya kepada jana kuasa diesel untuk menyalakan lampu, menggerakkan kipas, dan memastikan chalet serta kedai makan terus beroperasi dari pagi hingga malam.
Justeru, bunyi generator itu bukan sekadar latar kehidupan komuniti pulau. Ia menjadi tanda kepada satu sistem tenaga yang mahal, tidak stabil, dan pada masa yang sama menyumbang kepada jejak karbon negara, sesuatu yang sering tersembunyi di sebalik keindahan sebuah pulau pelancongan.
Dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) 2023, pulau-pulau ini muncul sebagai antara cabaran paling rumit dalam usaha Malaysia mengurangkan pelepasan karbon. Soalannya kedengaran mudah, tetapi hakikatnya berat, bagaimana menggantikan diesel di 344 pulau dalam tempoh dua dekad, tanpa menjejaskan kehidupan penduduk dan ekonomi setempat?
Di sinilah Pulau Tioman menjadi semacam makmal hidup. Sebagai penyelidik yang terbabit dalam projek perintis Penukar Tenaga Ombak atau Wave Energy Converter (WEC) di Kampung Juara, saya melihat sendiri bagaimana laut yang selama ini dianggap latar pemandangan sebenarnya menyimpan potensi tenaga yang belum diterokai sepenuhnya. Ombak di perairan tropika kita mungkin tidak sebesar di lautan Atlantik atau Laut Utara, tetapi ia tetap datang tanpa henti, bergulung dan tenang, berulang serta konsisten.

Apa yang menarik bukan hanya gulungan ombaknya, tetapi kajian kami mendapati komuniti kampung juga menunjukkan keterbukaan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Mereka bersedia untuk tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada diesel.
Jika kita menoleh kepada angka, gambaran di Tioman menjadi lebih jelas. Grid pulau ini mempunyai kapasiti sekitar 9.5 megawatt, namun sebahagian besar, iaitu 8.3 megawatt masih bergantung kepada penjanaan diesel. Pada tahun 2023 sahaja, penggunaan diesel mencecah kira-kira 4.5 juta liter, meningkat daripada 3.3 juta liter pada tahun 2019. Dalam tempoh empat tahun, peningkatannya sekitar 36 peratus, selari dengan lonjakan pelancongan yang terus menghidupkan ekonomi pulau.
Di sebalik angka itu, tersembunyi satu realiti yang jarang disentuh dalam perbincangan dasar, kos elektrik di Tioman dianggarkan sekitar RM2.435 setiap kilowatt-jam. Maksudnya, kira-kira lima hingga tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding tarif di Semenanjung bagi kategori pengguna yang sama.
Kos itu juga bukan sekadar angka di atas kertas. Ia meresap ke dalam kehidupan harian, iaitu dalam harga bil elektrik sebuah chalet kecil, kos operasi kedai makan tepi pantai, dan dalam perbelanjaan sebuah rumah kampung yang bergantung kepada bekalan tenaga yang mahal dan tidak stabil. Apabila harga diesel global naik, gegarannya sampai terus ke pulau dan akhirnya, ke poket penduduk.
Di sinilah persoalan tenaga pulau menjadi lebih daripada sekadar isu teknikal. Ia menjadi cerita mengenai kebergantungan, kos tidak seimbang, dan peluang yang masih belum diteroka. Mungkin, di celah bunyi ombak yang berterusan itu, kita sedang mendengar petunjuk kepada masa depan tenaga yang berbeza.
Tioman di ambang era tenaga marin
Untuk berlaku adil, peralihan tenaga di Tioman sudah pun berjalan. Di satu sudut pulau, sungai kecil di Mentawak sudah lama mengalirkan tenaga tanpa henti. Di atas bumbung bangunan dan ruang terbuka, panel-panel solar mula 'memerangkap' sinaran matahari. Di belakang sistem ini, satu kaedah penyimpanan tenaga komuniti membantu memastikan bekalan tidak terputus ketika permintaan meningkat. Sedikit demi sedikit, Tioman sebenarnya sedang menukar cara ia hidup dengan tenaga.

Hari ini, Pulau Tioman sudah mempunyai asas peralihan tenaga yang nyata. Loji mini-hidro Mentawak menyumbang sekitar 500 kilowatt. Dua pemasangan solar di bawah projek Pulau Tioman Solar menambah lagi 675 kilowatt. Sementara itu, Sistem Penyimpanan Tenaga Komuniti (CESS) berkapasiti 700 kilowatt-jam bertindak seperti "penyimpan nafas" apabila beban elektrik meningkat.
Semua ini bergerak dalam satu hala tuju yang lebih besar. Tenaga Nasional Berhad menyasarkan peningkatan tenaga boleh diperbaharui di pulau ini daripada sekitar 10 peratus kepada 72 peratus menjelang 2027, dan seterusnya 100 peratus menjelang 2040. Sasaran ini juga seiring dengan aspirasi Net Zero Pahang 2030.
Namun, walaupun kemajuan ini jelas, satu persoalan masih belum terjawab sepenuhnya: cukupkah solar dan hidro untuk menampung masa depan pulau? Jawapannya, buat masa ini, belum.
Solar hanya bekerja ketika matahari bersinar. Ia berubah mengikut cuaca, dan terhenti pada waktu malam. Hidro pula bergantung kepada aliran air yang terhad oleh saiz sungai dan musim. Kedua-duanya penting, tetapi kedua-duanya juga ada batas, dan di situlah laut menawarkan sesuatu yang berbeza.
Tenaga ombak hadir tanpa mengira waktu. Ia tidak berhenti pada waktu malam, tidak hilang ketika musim hujan, dan tidak bergantung pada satu sumber tunggal. Di perairan tropika seperti Malaysia, ombak mungkin tidak setinggi di lautan besar dunia, tetapi ia tetap konsisten, datang dan pergi.
Untuk pulau kecil seperti Tioman, sifat ini sangat berharga kerana di sini, kestabilan tenaga bukan sekadar soal teknologi, juga kelangsungan hidup harian.
Namun setiap teknologi baharu membawa satu cabaran serupa, penerimaan manusia. Pada 22 Januari lalu, sempena Tioman Surfest 26, satu sesi libat urus diadakan di Santai Tioman Resort. Penyelidik dari Universiti Utara Malaysia, bersama TNB dan TM Octas Energy PLT, bertemu komuniti tempatan dan pelancong untuk memahami pandangan mereka terhadap projek tenaga ombak.

Seramai 107 responden menjawab soal selidik. Hasilnya jelas, lebih 80 peratus melihat projek ini sebagai langkah positif ke arah pulau yang lebih bersih dan lestari. Selain itu, 21 pemegang taruh termasuk Lembaga Pembangunan Tioman, Jabatan Perikanan Negeri Pahang dan Reef Check Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap hala tuju projek ini.
Namun, sokongan itu datang bersama soalan yang sangat praktikal. Nelayan bimbang mengenai laluan bot mereka. Pengusaha chalet ingin tahu sama ada struktur seperti buoy di laut akan menjejaskan pemandangan malam atau keselamatan. Ada juga yang bertanya soalan yang lebih asas; siapa yang akan menjaga sistem ini selepas ia dipasang?
Soalan-soalan ini tidak menunjukkan penolakan. Ia menunjukkan sesuatu yang lebih penting iaitu kesedaran dan tanggungjawab komuniti terhadap laut yang mereka hidup bersama. Bukan mereka menolak perubahan, tetapi tentu saja mahukan perubahan dilakukan dengan jelas, selamat dan berterusan.
Daripada pengalaman di Tioman, tiga perkara penting muncul sebagai panduan untuk masa depan tenaga pulau di Malaysia. Pertama, libat urus komuniti mesti berlaku dari awal. Bukan selepas projek siap, bukan ketika masalah timbul, tetapi sebelum apa-apa dipasang di laut atau di darat.
Kedua, teknologi seperti tenaga ombak, pasang surut dan solar terapung perlu diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem tenaga rasmi pulau. Ia tidak boleh kekal sebagai eksperimen semata-mata jika mahu memberi impak besar.

Ketiga, setiap projek tenaga baharu perlu ada pelan jangka panjang yang jelas termasuk operasi, penyelenggaraan dan pelupusan. Tanpa ini, teknologi berisiko menjadi beban di kemudian hari.
Jika semua berjalan seperti dirancang, Julai ini mungkin menjadi detik kecil yang bermakna. Sebuah buoy di luar Kampung Juara akan mula menghasilkan tenaga ombak pertama Malaysia. Untuk Tioman, ia hanyalah satu titik kecil di laut, tetapi untuk negara, ia adalah permulaan sesuatu yang lebih besar.
Hal ini tentu saja disebabkan, tenaga ombak bukan sekadar alternatif kepada diesel sebaliknya, peluang untuk membina industri baharu yang lahir daripada laut kita sendiri.
Negara seperti United Kingdom, Portugal dan Australia sudah lama bergerak ke hadapan dalam teknologi tenaga marin. Malaysia pula mempunyai kelebihan tersendiri, lautan tropika sepanjang tahun, ratusan pulau yang memerlukan penyelesaian, dan ekosistem penyelidik serta industri yang semakin bersedia.
Akhirnya, ia bukan soal sama ada ombak mampu menyalakan tenaga, tapi mengenai kita, adakah hanya kekal sebagai pengguna atau menjadi penggerak masa hadapan.
Penulis ialah penyelidik utama di Institut Tenaga Mampan, Kolej Kejuruteraan, Universiti Tenaga Nasional, dan mengetuai projek perintis Penukar Tenaga Ombak di Kampung Juara, Pulau Tioman.
























