BH Online
Ringkasan Berita

Phu Quoc, umpama taman kayangan

LIMA hari menghabiskan cuti di Phu Quoc, boleh disimpulkan bahawa pulau peranginan terbesar di Vietnam itu sebenarnya adalah umpama tempat kayangan buat kanak-kanak.
Phu Quoc, umpama taman kayangan

Pengunjung seolah-olah dibawa ke 'dunia asing' apabila dapat melihat sendiri haiwan hidup bebas di habitat mereka.

LIMA hari menghabiskan cuti di Phu Quoc, boleh disimpulkan bahawa pulau peranginan terbesar di Vietnam itu sebenarnya adalah umpama tempat kayangan buat kanak-kanak.

Daripada Hon Thom yang menempatkan Aquatopia Water Park, VinWonders dan Safari, semuanya adalah sempurna untuk kanak-kanak menikmati hari terindah mereka.

Walaupun penulis tidak membawa anak bagi percutian ini kerana ingin 'lari' sejenak daripada kesibukan kerja dan tanggungjawab hakiki, namun setiap kali berkunjung ke tempat menarik yang dibawa ejen pelancongan, hati pasti terdetik 'kalau ada Rara (anak penulis) tentu dia sangat gembira'.

Setiap hari di Phu Quoc, tiada tempat yang dirasakan 'membazir sahaja pergi' kerana semua lokasi mempunyai tarikan masing-masing.

Penulis mengunjungi Hon Thom pada hari kedua menaiki kereta kabel sambil disajikan pemandangan laut yang menenangkan hati.

Sepanjang perjalanan, pemandangan pulau kecil yang bertaburan dapat disaksikan dari udara, sekali gus memberikan pengalaman yang sukar dilupakan.

bhquoc2
Menaiki kereta kabel ke Hon Thom sejauh 7.9km.

Kereta kabel di Phu Quoc memang memegang rekod dunia Guinness World Records sebagai 'Longest Non-Stop Three-Rope Cable Car' dengan laluan sejauh 7.9 kilometer (km) sebelum pengunjung tiba di Hon Thom.

Taman tema skala besar

Hon Thom lebih kurang sama dengan sebuah taman tema yang popular di ibu negara, dengan adanya taman permainan air dan taman tema dengan pelbagai permainan 'outdoor'.

Sempat juga penulis mencuba beberapa permainan mencabar di situ dan menikmati ais kepal mangga iaitu buah yang sangat banyak terdapat di Vietnam.

Hari seterusnya dikhususkan untuk menikmati dua tarikan utama Phu Quoc yang pasti akan kekal terpahat dalam memori si kecil iaitu VinWonders dan Vinpearl Safari.

Penulis pada mulanya agak skeptikal kerana menganggap Vinpearl Safari ini mungkin hanya sesuai untuk kanak-kanak, namun sangkaan itu meleset, apabila 'ibu kepada kanak-kanak' ini juga teruja dapat melihat haiwan liar di hutan termasuk singa dalam jarak dekat.

bhquoc3
Pengunjung seolah-olah dibawa ke 'dunia asing' apabila dapat melihat sendiri haiwan hidup bebas di habitat mereka.

Dengan menaiki trem, pengunjung seolah-olah dibawa ke 'dunia asing' apabila dapat melihat sendiri haiwan hidup bebas di habitat mereka.

Vinpearl Safari Phu Quoc menempatkan pelbagai spesies haiwan dari seluruh dunia dalam habitat yang direka menyerupai persekitaran semula jadi mereka.

Belum hilang keterujaan sepanjang di Safari, kami dibawa pula ke VinWonders yang sering dibandingkan dengan Disneyland kerana konsepnya sebagai taman tema berskala besar yang mempunyai pelbagai zon, permainan dan persembahan seisi keluarga.

Sebagai taman tema terbesar di Vietnam, VinWonders menawarkan pelbagai permainan dan tarikan interaktif yang sesuai bukan sahaja untuk kanak-kanak namun pelawat pelbagai peringkat usia.

Setiap zon mempunyai tema tersendiri, menjadikan pengalaman menjelajah taman itu tidak membosankan termasuk permainan ekstrem yang tidak berani dicuba penulis selepas menyaksikan ramai pengunjung yang menaikinya menjerit ketakutan.

Selain permainan ekstrem dan 'roller coaster', kanak-kanak pasti tidak mahu keluar dari VinWonders kerana ia mempunyai tarikan akuarium gergasi berbentuk penyu yang menjadi ikon taman tema itu.

Kemuncak malam ialah persembahan Colors of Venice yang menggabungkan muzik, pencahayaan dan kesan visual memukau di atas air.

Persembahan cahaya dan persembahan multimedia dari 'istana' VinWonders itu bertemakan dunia fantasi dan dongeng.

Venice kecil ASEAN

Selain syurga buat anak kecil, tidak keterlaluan jika dikatakan Phu Quoc adalah 'Little Venice of ASEAN'.

Sebahagian besar imej 'Venice' di Phu Quoc datang dari kawasan Grand World dan Sunset Town yang dibina dengan seni bina berinspirasikan Itali dan Mediterranean.

Terusan, bangunan berwarna-warni dan persembahan 'Colors of Venice' memang sengaja direka untuk memberi suasana seperti bandar di Itali.

Setiap sudut rugi jika tidak dipotretkan kerana pemandangannya di dalam kamera amat bersifat mesra media sosial.

Pelancong juga boleh memburu senja terindah di Sunset Town. Langit jingga keemasan yang perlahan-lahan menyapa ufuk menjadikan suasana petang di tepi pantai cukup mempesonakan.

Tidak jauh dari situ, terletaknya 'Kiss Bridge', iaitu mercu tanda baharu Phu Quoc yang terkenal dengan reka bentuk unik dan pemandangan laut terbuka.

bhquoc1
Penulis bergambar di hadapan VinWonders yang menempatkan taman tema dan istana ala Disneyland.

Kiss Bridge amat sesuai untuk pasangan suami isteri untuk menyimpan memori kisah cinta mereka di atas dua jambatan yang jaraknya boleh 'disatukan' dengan sebuah ciuman.

Setiap malam di sana, diakhiri dengan bersiar-siar di Vuifest Market yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, cenderamata dan persembahan jalanan dalam suasana santai yang terletak berhampiran dengan hotel.

Pelancong tidak perlu risau akan makanan halal, kerana ia banyak ditawarkan termasuk di Vuifest Market dan hotel tertentu, malah lebih rasa seperti berada di tanah air sendiri, apabila kebanyakan pengusaha restoran tahu berbahasa Melayu.

Bagi membeli-belah yang kebiasaannya menjadi kemuncak percutian untuk setiap wanita, Phu Quoc menawarkan beberapa tempat dengan kadar harga berpatutan bagi pembelian telekung, tudung dan makanan.

Pilihan penulis tentu sahaja di King Kong Market bagi 'memborong' kopi, biskut kelapa, mangga kering dan magnet peti ais, manakala Sarah Hotel pula menyediakan jualan telekung dan tudung selain makanan halal.

Video Terkini

Berita Berkaitan