BH Online
Ringkasan Berita

Buka kafe untuk terapi isteri lawan penyakit kanser

DEMI kasih kepada suri hati yang sudah 15 tahun berjuang melawan kanser payudara, seorang guru sanggup mengeluarkan simpanan bagi membuka sebuah kafe yang dijadikan ruang terapi dan pemulihan untuk insan tersayang.
Buka kafe untuk terapi isteri lawan penyakit kanser

Zaizul bersama isterinya, Hamizah di kafe Sebentar Kopi.

DEMI kasih kepada suri hati yang sudah 15 tahun berjuang melawan kanser payudara, seorang guru sanggup mengeluarkan simpanan bagi membuka sebuah kafe yang dijadikan ruang terapi dan pemulihan untuk insan tersayang.

Guru sekolah rendah, Zaizul Azri, 44, berkata kafe dikenali sebagai 'Sebentar Kopi' itu bukan sekadar memenuhi impian isterinya, Hamizah Baharuddin, 39, malah menjadi medium untuk membantu wanita itu melupakan seketika kesakitan dan cabaran dilaluinya.

Zaizul berkata, isterinya disahkan menghidap kanser payudara pada usia 25 tahun, iaitu setahun selepas mereka berkahwin. Bermula detik itu pelbagai cabaran, kesakitan dan rawatan dilalui Hamizah.

"Sebagai suami, apabila dapat berita itu, saya sangat terkejut, timbul perasaan takut dan sedih. Tetapi kami menganggap ini sebagai ujian dan memilih kekal positif serta saling menyokong antara satu sama lain.

"Isteri saya sudah melalui enam kali sesi kemoterapi dan 46 kali radioterapi yang dilakukan setiap hari di hospital dan doktor menyarankan untuk memutuskan haid lebih awal.

Bagai Iron Lady

"Ovari dan rahim sudah dibuang. Sekarang pun dia masih mengambil ubat dan di bawah pengawasan rapi doktor. Isteri saya walaupun pengidap kanser, dia sebenarnya lagi kuat berbanding saya. Bagi saya, dia macam Iron Lady," katanya ketika ditemui BH, di kafenya, baru-baru ini.

Zaizul berkata, pembukaan kafe Sebentar Kopi bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara kecil-kecilan di tepi jalan berhampiran rumah, sebelum berjaya membuka kafe yang kini sudah beroperasi hampir empat tahun.

Katanya, kafe ini untuk menyokong impian isteri selepas menyedari aktiviti ini boleh menjadi terapi baginya yang sedang berjuang melawan kanser.

"Saya dan isteri sangat suka kopi, terutama isteri yang memang peminat kopi tegar. Dari situ kami putuskan untuk buka kedai kopi.

"Rutin di kafe membolehkan isteri saya berinteraksi dengan ramai orang dan bantu melupakan kesakitan yang ditanggung.

"Saya harap kafe ini menjadi ruang sederhana yang dapat memberi kegembiraan kepada isteri saya dan orang lain serta menjadi tempat untuk mengeratkan hubungan ukhwah pengunjung," katanya.

Sementara itu, Hamizah meluahkan rasa syukur kewujudan kafe ini memberikan peluang untuknya hidup normal seperti orang lain dan mempunyai ruang sendiri untuk berkarya.

Beliau mengakui, fasa rawatan yang dilalui sebenarnya membuatkan badan berasa letih, selain mengalami keguguran rambut dan demam yang kerap.

kafe2

"Kafe Sebentar Kopi bantu saya untuk tidak 'overthinking' atau tertekan, kerana bagi pejuang kanser, fikiran yang tenang sangat penting untuk kesihatan.

"Ujian rawatan yang perlu dilakukan setiap hari memang mencabar, tetapi ia mengajar saya erti ketabahan sebenar.

"Layanlah saya seperti orang biasa supaya saya sendiri tidak rasa yang diri saya ini sedang sakit," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan