BH Online
Ringkasan Berita

'Farmasi alam' beri keajaiban kesihatan

GELARAN nenek bukan lagi sinonim dengan kehidupan yang hanya tertumpu di rumah atau menghabiskan masa melayan cucu.
'Farmasi alam' beri keajaiban kesihatan

Siti Fatimah dan Roslaily bersama rakan ketika melakukanaktiviti pendakian di Bukit Batu Sawa, Jelebu. - Foto NSPT/Abnor Hamizam Abd Manap

GELARAN nenek bukan lagi sinonim dengan kehidupan yang hanya tertumpu di rumah atau menghabiskan masa melayan cucu.

Hakikatnya, semakin ramai wanita membuktikan usia bukanlah penghalang untuk terus aktif, mencabar diri dan menikmati kehidupan.

Bagi mereka, usia meningkat hanyalah sekadar angka manakala semangat serta tekad menjadi ukuran sebenar.

Begitulah juga Siti Fatimah Mohamad, 52, yang menjadikan hutan dan gunung bukan sekadar destinasi rekreasi, sebaliknya 'farmasi alam' membantunya mengatasi kecelaruan dan tekanan darah tinggi yang pernah membelenggu kehidupannya.

Katanya, sebelum ini dia bergantung kepada ubat-ubatan bagi mengawal penyakit berkenaan, namun tidak menyangka aktiviti mendaki yang mula diceburinya sejak dua tahun lalu membantu meningkatkan tahap kesihatannya sehingga gejala dialaminya semakin berkurangan.

"Inilah keajaiban yang berlaku kepada saya apabila mula melangkah kaki ke trek pendakian, seolah-olah udara segar gunung dan ketenangan rimba secara perlahan-lahan memulihkan kesejahteraan diri dan mengembalikan kecergasan serta meningkatkan tahap kesihatan saya.

"Sebelum ini saya banyak melakukan aktiviti zumba dan joging. Kemudian, anak mengesyorkan supaya saya melakukan aktiviti pendakian," katanya yang juga nenek kepada empat cucu.

Siti Fatimah yang menetap di Rawang, Selangor, berkata sebelum ini pelbagai perkara sering menimbulkan rasa takut dan kebimbangan dalam dirinya.

Namun, pengalaman pertama mendaki menjadi titik perubahan apabila sedikit demi sedikit dia mula melihat kehidupan dari sudut yang lebih positif.

Menurutnya, Bukit Penarikan di Bahau adalah bukit pertama dia melakukan aktiviti pendakian, seterusnya disusuli bukit dan gunung yang lebih tinggi di serata Semenanjung.

"Gunung Rajah yang terletak di sempadan antara dua negeri, iaitu Selangor (daerah Hulu Selangor) dan Pahang (daerah Bentong), gunung pertama saya melakukan pendakian selepas banyak kali hanya mendaki bukit.

"Aktiviti mendaki kemudian disusuli dengan gunung lain antaranya Gunung Angsi, Gunung Datuk (Negeri Sembilan) dan Gunung Tok Nenek (Perak).

"Saya bersyukur, menerusi bantuan dan sokongan rakan-rakan terutama daripada kumpulan Pencinta Alam Hikers (PAH) saya berjaya melakukan aktiviti mendaki. Penyakit yang ditanggung sejak beberapa tahun lalu juga semakin baik apabila saya mendampingi flora dan fauna," katanya.

Mendaki sejak 1986

Bagi nenek kepada tujuh cucu, Roslaily Omar, 51, dari Titi, Jelebu berkata dia mula berjinak dengan aktiviti pendakian sejak 1996 sebaik mendirikan rumah tangga dengan suaminya yang juga seorang pendaki.

Katanya, aktiviti pendakian selepas itu itu dikurangkan kerana mahu memberi fokus kepada rumah tangga dan menjaga lima cahaya mata.

"Bagaimanapun, saya mula aktif kembali pada 2006 dan mula mendaki gunung yang mencabar di seluruh negara termasuk Gunung Kinabalu di Sabah.

"Saya juga sudah menamatkan pendakian di tujuh gunung yang dikenali sebagai G7 selain gunung lain di sekitar Semenanjung, malah beberapa gunung di sekitar di Negeri Sembilan hampir semua sudah didaki," katanya.

Roslaily berkata, biarpun baru sahaja menerima cucu yang ketujuh dia tetap mencuri masa untuk melakukan aktiviti pendakian bersama rakan-rakan.

Katanya, aktiviti mendaki menyihatkan, malah ia turut mengajar individu erti ketabahan dan tidak mudah putus asa untuk sampai ke puncak.

Tambahnya, dia juga perlu bijak menyusun jadual pendakian terutama apabila cucu-cucu pulang ke rumah, lazimnya pada cuti panjang dan musim perayaan.

Roslaily berkata, setiap kali mendaki dia perlu mengambil kira semua aspek terutama keselamatan dan kesihatan. Lebih-lebih lagi apabila membabitkan pendakian lebih lama seperti mendaki Gunung Tahan yang lazimnya mengambil masa tujuh hari.

Gelaran nenek tak halang aktiviti pendakian

Sementara itu, usia juga bukan penghalang buat Ketua Kumpulan Pencinta Alam Hikers (PAH), Haryati Sidi, 52, untuk terus menawan bukit dan gunung.

Minat yang dipupuk sejak remaja masih kekal menjadi hobi dan sentiasa bersemangat untuk melakukan ekspedisi pendakian.

Katanya, dia turut menguruskan pendaki lain yang berminat mendaki bukit atau gunung sekali gus turut menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

daki2
Haryati Sidi

"Saya mula mendaki bukit dan gunung sejak dari zaman remaja dan berterusan sehingga hari ini, aktiviti ini juga menjadi sumber rezeki buat saya yang juga ibu tunggal.

"Permintaan untuk melakukan pendakian sentiasa ada, malah saya juga perlu mengurus pendakian membabitkan gunung di luar negara seperti Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia," kata nenek kepada dua cucu.

Biarpun ada yang berseloroh mahu dia berehat di rumah dan bersama cucu, Haryati menegaskan sekiranya tidak ada aktiviti pendakian dia akan menghabiskan masa terluang bersama dua anak dan cucu-cucunya.

Video Terkini

Berita Berkaitan