HAK lawatan anak selepas perceraian antara perkara penting yang diberi perhatian dalam undang-undang Islam bagi memastikan kebajikan dan perkembangan emosi anak terus terpelihara.
Menurut peruntukan undang-undang keluarga Islam di negara ini, ibu atau bapa yang tidak mendapat hak hadanah masih berhak diberikan akses lawatan munasabah terhadap anak, selagi tidak menjejaskan keselamatan dan kebajikan mereka.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata definisi hak lawatan menurut undang-undang Islam ialah haqq al-ziarah sama ada ibu atau bapa menziarah anak atau anak-anak menziarahi ibu atau bapa.
Bagaimanapun, katanya, ia sebenarnya bukanlah hak mutlak untuk ibu bapa, sebaliknya ia adalah hak anak untuk mengekalkan hubungan dengan ibu dan bapa yang tidak memegang hak penjagaan (hadhanah).

"Bagaimanapun, penentuan hak lawatan adalah dengan melihat kepentingan terbaik anak dari segi kebajikan, keselamatan dan kestabilan emosi anak selain mengambil kira keadaan dan kesesuaian ibu atau bapa itu sendiri.
"Faktor lain yang diambil kira oleh hakim antaranya kepentingan, kebajikan, keselamatan persekolahan, pendidikan, kestabilan emosi anak dan lain-lain. Malah pandangan anak yang berusia mumayyiz juga menjadi faktor sampingan.
"Pada masa sama, hakim juga akan menemubual anak di dalam kamar untuk mengetahui kecenderungan mereka tanpa tekanan ibu bapa," katanya.
Bagaimanapun, tidak semua pasangan yang berpisah dapat melaksanakan perintah dengan sebaiknya.
Kegagalan mematuhi perintah hak lawatan anak selepas perceraian boleh membawa implikasi serius, termasuk tindakan penghinaan mahkamah serta pindaan terhadap hak hadanah yang diputuskan.
Katanya, pihak yang dihalang daripada bertemu anak boleh memfailkan Notis Tunjuk Sebab di mahkamah bagi tindakan komital sekiranya wujud pelanggaran perintah lawatan.
"Jika sabit kesalahan, pihak yang ingkar boleh dikenakan denda atau hukuman penjara bergantung kepada alasan yang dikemukakan dan penilaian mahkamah terhadap kewajaran tindakan itu.
"Selain itu, kegagalan berterusan untuk mematuhi perintah lawatan juga boleh dijadikan alasan kukuh bagi meminda hak hadanah kerana penjaga dianggap tidak mampu memupuk hubungan baik antara anak dan ibu atau bapa yang lain," katanya.

Kerjasama dua pihak
Jelas beliau, penguatkuasaan perintah lawatan bagaimanapun, bergantung kepada kerjasama kedua-dua ibu bapa kerana pelaksanaannya tidak dipantau secara langsung oleh mahkamah atau Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
"Sebarang pelanggaran lazimnya hanya diketahui oleh pihak terbabit sebelum dibawa semula ke muka pengadilan.
"Dalam situasi ibu bapa terus gagal bekerjasama sehingga menjejaskan kebajikan anak pula, mahkamah boleh mempertimbangkan supaya penjagaan diberikan kepada pihak lain, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Mahkamah juga mempunyai kuasa mengarahkan lawatan berpantau di tempat awam atau di bawah pengawasan pihak ketiga sekiranya terdapat risiko keselamatan, dakwaan penderaan atau unsur pengaruh negatif terhadap emosi anak," katanya.
Pada masa sama, perubahan perintah hadanah boleh berlaku apabila ada perubahan tempat tinggal sering mencetuskan pertikaian berkaitan hak lawatan dan hadanah anak di mahkamah syariah.
Musa berkata, mahkamah lazimnya akan menyesuaikan semula jadual lawatan sekiranya ibu atau bapa berpindah ke negeri lain, termasuk menukar lawatan mingguan kepada lawatan ketika cuti sekolah panjang serta menetapkan pihak yang perlu menanggung kos perjalanan.
"Namun, perpindahan dilakukan dengan niat menghalang akses lawatan kepada pihak satu lagi boleh menyebabkan hak jagaan dipinda atau dibatalkan, kecuali membabitkan faktor tidak dapat dielakkan seperti pertukaran tempat kerja atau ibu kembali ke tempat asal kelahiran," katanya
Ketepikan ego, utamakan kepentingan zuriat
Bagaimanapun, tidak dinafikan pelaksanaan hak lawatan sering berdepan pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan kepentingan terbaik kanak-kanak.
Antara isu yang kerap timbul ialah tindakan penjaga yang menghalang atau menyukarkan akses bekas pasangan kepada anak dengan pelbagai alasan seperti mendakwa anak enggan berjumpa, tidak membuat persediaan untuk lawatan, atau mengaitkan hak lawatan dengan kegagalan membayar nafkah.
Keadaan ini bukan sahaja mencetuskan konflik berpanjangan antara bekas pasangan, malah berpotensi menjejaskan hubungan anak dengan ibu atau bapanya.
Musa berkata, pemahaman yang jelas mengenai hak lawatan serta tanggungjawab setiap pihak adalah penting bagi memastikan kebajikan dan kepentingan terbaik anak sentiasa terpelihara.
Dalam perkembangan sama, katanya, pada masa kini penggunaan teknologi turut membantu memudahkan hubungan antara anak dan ibu atau bapa.
Beliau berkata, ia berikutan sejak pandemik COVID-19 mahkamah kini mula memasukkan klausa 'Akses Digital' seperti panggilan video dan WhatsApp pada waktu tertentu sebagai tambahan kepada lawatan fizikal.
Musa menegaskan, konflik berpanjangan berkaitan hak lawatan anak selepas perceraian bukan sahaja menjejaskan hubungan kekeluargaan, malah memberi kesan emosi dan perkembangan jangka panjang kepada anak-anak.
Garis panduan standard
Menurutnya, anak perempuan khususnya tetap memerlukan hubungan baik dengan bapa bagi urusan perwalian seperti wali nikah pada masa hadapan manakala anak lelaki perlu menjaga hubungan dengan ibu kerana kedudukan ibu yang tinggi dalam Islam.
"Dalam konsep perundangan Islam, walaupun hak hadanah lazimnya diberikan kepada ibu, bapa masih memegang hak wilayah termasuk tanggungjawab memberi nafkah, pendidikan dan perlindungan terhadap anak.
"Walaupun undang-undang berkaitan hak lawatan hampir seragam di seluruh negara menerusi Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri masing-masing, terdapat sedikit perbezaan dari segi prosedur pentadbiran mahkamah.
"Justeru, satu garis panduan standard diperkenalkan membabitkan jadual lawatan seperti minggu pertama dan ketiga setiap bulan, pembahagian cuti sekolah, hak bermalam serta giliran sambutan perayaan dan kecemasan bagi mengurangkan pertikaian antara ibu bapa.
"Pada masa sama, kaedah mediasi atau sulh dilihat sebagai pendekatan terbaik kerana lebih 80 peratus kes hak lawatan boleh diselesaikan secara rundingan tanpa melalui perbicaraan penuh sekiranya kedua-dua pihak mengetepikan ego dan mengutamakan kepentingan anak-anak," katanya.
Beliau turut menegaskan, bagi pihak yang ingin membawa pertikaian ke mahkamah supaya memberi tumpuan kepada dokumentasi dan bukti kukuh.
Katanya, Mahkamah Syariah banyak bergantung kepada bahan sokongan seperti log panggilan, mesej WhatsApp dan laporan polis sekiranya berlaku pelanggaran hak lawatan atau dakwaan tertentu.
"Dakwaan tanpa bukti bukan saja menyukarkan proses penghakiman, malah berisiko memanjangkan konflik sehingga akhirnya memberi kesan negatif terhadap emosi dan masa depan anak," katanya.
























