BH Online
Ringkasan Berita

Didik kanak-kanak kenali bahaya

KANAK-KANAK ialah golongan yang aktif, ingin tahu dan gemar meneroka perkara baharu.
Didik kanak-kanak kenali bahaya

Foto hiasan

KANAK-KANAK ialah golongan yang aktif, ingin tahu dan gemar meneroka perkara baharu.

Sifat ini penting untuk perkembangan mereka, namun pada masa yang sama boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko jika tidak dibimbing dengan betul.

Oleh itu, mendidik kanak-kanak mengenali bahaya sejak usia kecil amat penting bagi memastikan mereka dapat menjaga keselamatan diri dalam pelbagai situasi.

Salah satu kepentingan mendidik kanak-kanak mengenali bahaya ialah membantu mereka mengelakkan kemalangan.

Kanak-kanak perlu diajar mengenai bahaya yang terdapat di rumah

seperti bermain dengan api, menyentuh suis elektrik, menggunakan peralatan tajam atau mengambil ubat tanpa pengawasan orang dewasa.

Kanak-kanak juga perlu didedahkan kepada aspek keselamatan di luar rumah.

Mereka hendaklah diajar supaya tidak berlari secara melulu di jalan raya, sentiasa menggunakan laluan pejalan kaki serta mematuhi lampu isyarat ketika melintas jalan.

Mereka juga perlu memahami kepentingan memakai topi keledar ketika menunggang basikal atau menggunakan peralatan keselamatan yang sesuai semasa melakukan aktiviti lasak.

Mendidik kanak-kanak mengenali bahaya juga membabitkan keselamatan diri ketika berinteraksi dengan orang lain.

Mereka perlu diajar supaya tidak mudah mengikut orang yang tidak dikenali, menerima pemberian tanpa kebenaran ibu bapa atau berkongsi maklumat peribadi dengan sesiapa sahaja.

Selain itu, kanak-kanak harus berani berkata, "tidak" dan menjauhkan diri daripada situasi yang mencurigakan serta segera mendapatkan bantuan daripada ibu bapa, guru atau orang dewasa yang dipercayai jika berasa tidak selamat.

Dalam era digital, ibu bapa juga perlu memberi pendedahan tentang bahaya penggunaan internet.

Kanak-kanak perlu memahami bahawa tidak semua maklumat di internet boleh dipercayai dan tidak semua individu yang dikenali secara dalam talian mempunyai niat yang baik.

Mereka harus diajar supaya tidak berkongsi maklumat peribadi, gambar atau lokasi ketika dengan orang yang tidak dikenali.

Mendidik kanak-kanak mengenali bahaya ialah satu usaha penting untuk melindungi mereka daripada pelbagai risiko dalam kehidupan seharian.

Pendedahan yang berterusan serta bimbingan daripada ibu bapa, guru dan masyarakat akan membantu kanak-kanak menjadi lebih peka, berani dan bijak membuat keputusan demi keselamatan diri. Dengan didikan yang betul sejak kecil, mereka dapat membesar sebagai individu yang lebih bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan keselamatan dalam setiap keadaan.

Video Terkini

Berita Berkaitan