BH Online
Ringkasan Berita

Hak lawatan selepas cerai perlu utama kesejahteraan emosi anak

PERCERAIAN mungkin menamatkan hubungan antara suami dan isteri, namun ia tidak seharusnya memutuskan ikatan kasih sayang antara ibu bapa dan anak.
Hak lawatan selepas cerai perlu utama kesejahteraan emosi anak

Foto hiasan

PERCERAIAN mungkin menamatkan hubungan antara suami dan isteri, namun ia tidak seharusnya memutuskan ikatan kasih sayang antara ibu bapa dan anak.

Dalam banyak kes, anak menjadi pihak yang paling terkesan apabila konflik antara ibu dan bapa berlanjutan selepas perpisahan, terutama apabila hak lawatan yang ditetapkan mahkamah tidak dipatuhi atau dijadikan medan untuk menyelesaikan pertelingkahan lama.

Hak lawatan bukan sekadar jadual pertemuan yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua pihak, sebaliknya ia berfungsi sebagai mekanisme penting bagi memastikan anak terus menikmati hubungan yang sihat dengan kedua-dua ibu bapa.

Malah, kestabilan hubungan itu memainkan peranan besar dalam menyokong kesejahteraan emosi, perkembangan sosial dan kesihatan psikologi anak.

Penyelaras Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Jabatan Pengajian Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Fatin Aliana Mohd Radzi, berkata hak lawatan yang dilaksanakan secara konsisten dan tenang lazimnya tidak menimbulkan masalah kepada anak.

Sebaliknya, keadaan boleh menjadi rumit apabila jadual lawatan sering berubah atau tidak dipatuhi.

Katanya, kebanyakan kanak-kanak mampu menyesuaikan diri dengan perubahan sekiranya ia dijelaskan dengan baik dan tidak berlaku terlalu kerap kerana mereka bergantung kepada rutin yang stabil dan boleh dijangka.

"Namun, jika jadual tidak dipatuhi secara berulang, anak akan mula merasai kekecewaan. Keadaan menjadi lebih buruk jika penjaga sengaja menghalang lawatan tanpa sebab yang munasabah. Akhirnya, anak boleh kehilangan peluang untuk membina ikatan emosi yang sihat dengan ibu atau bapa.

"Tekanan itu sering dizahirkan melalui perubahan tingkah laku seperti menjadi lebih pendiam, cepat marah, sukar tidur, hilang fokus di sekolah atau kerap mengadu sakit perut dan sakit kepala.

"Ada juga kanak-kanak yang kembali menunjukkan tingkah laku seperti anak yang lebih kecil. Bagi remaja pula, mereka mungkin menjauhkan diri, mudah memberontak atau memendam perasaan," katanya.

drfatin
Dr Fatin Aliana Mohd Radzi

Menurut beliau, antara kesilapan terbesar yang sering berlaku selepas perceraian ialah apabila ibu bapa melihat hubungan selepas perpisahan sebagai satu 'pertandingan' untuk membuktikan siapa yang lebih baik. Sedangkan, perkara yang lebih penting adalah memastikan keperluan emosi anak terus terpelihara.

"Komunikasi selepas perceraian perlu tertumpu kepada keperluan anak, bukannya menjadi ruang untuk mengungkit kesalahan atau kekecewaan terhadap bekas pasangan.

"Konflik orang dewasa yang berpanjangan boleh memberi kesan besar kepada perkembangan emosi, sosial dan akademik anak. Anak yang sering menyaksikan pertengkaran ibu bapa mungkin menjadi terlalu berjaga-jaga, mudah cemas dan melihat hubungan sebagai sesuatu yang tidak selamat.

"Dalam jangka panjang, mereka mungkin menghadapi kesukaran mempercayai orang lain atau mengurus konflik dalam hubungan mereka sendiri," katanya.

Segera dapatkan bantuan

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya tidak menunggu sehingga keadaan menjadi lebih serius sebelum mendapatkan bantuan profesional.

Kaunseling wajar dipertimbangkan apabila anak mula menunjukkan perubahan tingkah laku yang ketara.

"Kaunselor boleh membantu ibu bapa melihat situasi daripada perspektif anak, bukannya melalui lensa kemarahan atau dendam terhadap bekas pasangan. Kadangkala ibu bapa menyayangi anak, tetapi tidak menyedari tindakan mereka sebenarnya menambah tekanan kepada anak.

"Bagi kanak-kanak kecil, pendekatan seperti bermain, melukis, bercerita dan penggunaan kad emosi boleh membantu mereka meluahkan perasaan.

"Bagi anak yang lebih besar pula, kaedah seperti jurnal emosi, latihan pernafasan, emotional coaching dan sesi keluarga boleh digunakan bagi membantu mereka memahami bahawa perasaan sedih, marah atau rindu adalah sesuatu yang normal," katanya.

Mengulas mengenai lawatan yang berkualiti, Dr Fatin Aliana berkata masa bersama anak tidak semestinya dipenuhi aktiviti mahal atau mewah. Sebaliknya, aktiviti harian yang sederhana seperti memasak, membaca buku, bermain, menunaikan solat bersama, menyiapkan kerja sekolah atau sekadar berbual tanpa gangguan telefon bimbit mampu mewujudkan hubungan yang lebih bermakna.

Katanya, jika anak enggan menghadiri lawatan, ibu bapa perlu memahami puncanya terlebih dahulu kerana ia mungkin berpunca daripada ketakutan terhadap konflik yang berulang, rasa bersalah meninggalkan penjaga utama atau pengaruh kata-kata negatif daripada orang dewasa.

"Anak juga perlu diberi kebebasan emosi untuk merindui ibu ketika bersama ayah dan merindui ayah ketika bersama ibu. Itu bukan pengkhianatan, sebaliknya tanda bahawa mereka mempunyai ikatan kasih sayang dengan kedua-dua ibu bapa.

"Pengalaman lawatan yang sihat mengajar anak, walaupun struktur keluarga berubah, kasih sayang masih kekal. Pada masa sama, mereka belajar bahawa konflik boleh diuruskan secara matang dan penuh hormat," katanya.

Jangan jadikan hak penjagaan punca pertikaian

Hakikatnya, isu hak penjagaan dan hak lawatan selepas perceraian tidak seharusnya dilihat sebagai pertikaian antara bekas suami isteri semata-mata, sebaliknya perlu ditangani dengan mengutamakan kesejahteraan emosi anak yang sedang melalui fasa perkembangan penting.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Nursyahidah Khalid, berkata perubahan struktur keluarga daripada keluarga lengkap kepada keluarga berpisah adalah satu bentuk kehilangan yang memberi kesan besar kepada emosi kanak-kanak.

Katanya, walaupun anak mungkin belum memahami sepenuhnya punca perceraian ibu bapa, mereka tetap merasai perubahan besar dalam kehidupan, termasuk rutin harian, hubungan kekeluargaan dan rasa selamat sebelum ini dinikmati.

"Perceraian menyebabkan anak melalui fasa kehilangan apabila rutin berubah daripada hidup bersama kedua-dua ibu bapa kepada dibesarkan oleh ibu atau bapa tunggal. Ia adalah satu proses normalisasi yang perlu dihadapi walaupun mereka tidak memahami sepenuhnya apa yang berlaku," katanya.

Beliau berkata, pada peringkat usia kanak-kanak, perkembangan kognitif masih belum matang menyebabkan mereka lebih mudah terkesan dengan perubahan emosi dan suasana di sekeliling.

"Malah, pengalaman sepanjang tempoh ini akan membentuk cara mereka melihat dunia pada masa depan. Persepsi terhadap ibu bapa juga dipengaruhi suasana emosi dalam keluarga.

"Jika rutin sentiasa berubah atau dipenuhi konflik berpanjangan, anak akan mudah berasa terancam, hilang keyakinan diri dan sukar mempercayai orang di sekeliling," katanya.

Justeru, beliau menegaskan pematuhan terhadap perintah hak lawatan yang diputuskan mahkamah amat penting bagi memastikan anak terus mengekalkan hubungan yang sihat dengan kedua-dua ibu bapa.

Menurutnya, apabila hak lawatan dihormati, anak masih berpeluang meluangkan masa berkualiti bersama ibu dan bapa sekali gus membantu mengurangkan rasa kehilangan serta mewujudkan kestabilan emosi.

"Dengan mengekalkan hubungan harmoni, saling menghormati dan sesekali melakukan aktiviti bersama seperti beriadah atau bercuti, anak akan lebih mudah menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.

"Walaupun ibu bapa tidak lagi tinggal serumah, mereka masih boleh bercakap, makan dan meluangkan masa bersama anak. Keadaan ini membantu merawat emosi anak secara tidak langsung," katanya.

Sebaliknya, kegagalan mematuhi hak lawatan boleh membawa implikasi yang lebih besar, bukan sahaja dari sudut perundangan malah terhadap perkembangan psikologi anak.

Beliau berkata, konflik berpanjangan antara ibu bapa boleh menyebabkan anak mengalami kemurungan, keresahan melampau, hilang keyakinan diri, pengasingan sosial dan kemerosotan prestasi akademik.

Lebih membimbangkan, amalan parental alienation atau usaha meminggirkan salah seorang ibu atau bapa daripada kehidupan anak boleh meninggalkan kesan psikologi yang mendalam.

"Anak akhirnya membesar dengan perasaan benci, dendam dan kesunyian. Mangsa sebenar dalam konflik ini ialah anak kerana masa yang sepatutnya diisi dengan kasih sayang bertukar menjadi tekanan dan kebencian," katanya.

dr nursyahidah
Dr Nursyahidah Khalid

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya mengelakkan kata-kata negatif mengenai bekas pasangan di hadapan anak kerana tindakan itu hanya akan mengelirukan emosi mereka.

"Ibu bapa perlu celik ilmu keibubapaan, mengurus emosi dengan baik serta mengamalkan komunikasi matang demi mencapai persefahaman dalam membesarkan anak. Pada masa sama, kaunselor juga boleh memainkan peranan membantu kedua-dua pihak mencari penyelesaian tanpa perlu melalui konflik berpanjangan di mahkamah," katanya.

"Berikan ruang kepada anak untuk meluahkan perasaan, ikuti perkembangan pembelajaran mereka dan sentiasa sampaikan mesej yang positif tanpa menyalahkan mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata, perceraian bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu atau bapa kerana kedua-duanya kekal menjadi contoh utama dalam membentuk sahsiah anak.

"Ukuran kejayaan sesebuah keluarga bukan hanya pada aspek material, tetapi bagaimana ibu bapa berjaya membesarkan anak yang sihat dari segi mental, emosi dan spiritual. Apabila hak lawatan dipatuhi secara konsisten, anak akan membesar dalam persekitaran yang lebih stabil dan sejahtera," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan