BH Online
Ringkasan Berita

Tinggalkan kerjaya korporat demi impian belayar kelilingi dunia

Oleh Fatin Farissha Hasbullah
Tinggalkan kerjaya korporat demi impian belayar kelilingi dunia

Dunia pelayaran menjadi titik perubahan hidup Hadhinah Fawwazah apabila dia memilih meninggalkan gaya hidup sederhana demi menikmati kehidupan yang lebih lestari di laut.

Oleh Fatin Farissha Hasbullah

"KELUARGA dan rakan berbangga kerana saya membuat keputusan meninggalkan kehidupan normal demi mengejar impian menjadi pelayar sepenuh masa," kata Hadhinah Fawwazah Nasaruddin yang turut dikenali sebagai 'Hannah On Earth' dan memulakan pengembaraan di luar Malaysia sejak 2011.

Anak kelahiran Sabah berusia 39 tahun ini sememangnya meminati sukan air dan cukup mengagumi lautan. Sejak sekian lama, beliau memasang impian untuk memiliki kapal layar sendiri sebelum belayar mengelilingi dunia.

Dibesarkan di Borneo, Sabah, Hadhinah Fawwazah menjadikan aktiviti di pantai dan laut sebagai sebahagian daripada rutin hariannya.

Pengalaman belayar di Flores, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia menggunakan kapal Phinisi milik rakannya membuatkan beliau terus jatuh cinta dengan dunia pelayaran.

kapal1
Hadhinah Fawwazah

"Ketika bekerja di Amerika Syarikat (AS), saya bekerja keras mengumpul wang. Lapan tahun kemudian, impian itu menjadi kenyataan apabila saya berjaya memiliki kapal layar sendiri yang diberi nama Malua, bermaksud 'batu pelindung di dasar lautan' dalam bahasa Samoa" katanya kepada BH.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai kakitangan korporat di AS sebelum menubuhkan syarikat perunding pematuhan (compliance consulting company), sekali gus membolehkannya bekerja dari mana-mana lokasi yang mempunyai capaian internet.

Sehingga kini beliau masih menguruskan syarikatnya secara sepenuh masa dan bersyukur kerana pelanggan memahami serta yakin kemampuannya memberikan perkhidmatan terbaik walaupun berada di luar negara.

"Saya masih bekerja sepenuhnya, cuma bukan lagi dari pejabat seperti kebanyakan orang.

"Selagi ada internet dan komputer riba, saya boleh bekerja, sama ada dari marina atau di atas kapal layar ketika berada di tengah lautan. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya.

Beli kapal layar RM30,000

Menurutnya, kira-kira RM30,000 dibelanjakan untuk pembelian kapal layar dan kos berkaitan bagi aktiviti pelayaran yang sering dilakukan bersama suaminya.

"Malua sebelum ini ditempatkan di Pittwater di utara Sydney dan bekas pemiliknya seorang pelayar berpengalaman. Jadi, saya belajar daripadanya dan berjaya menguasai kemahiran asas pelayaran dalam tempoh tiga bulan.

"Berada di Pittwater juga memberi peluang kepada saya menimba lebih banyak pengalaman kerana kawasan ini menjadi 'sarang' ribuan pelayar di Sydney," katanya.

kapal3
Setiap pelayaran pasti ada perkara baharu yang perlu dibaiki atau dipelajari Hadhina Fawwazah.

Malua ialah kapal layar jenis Folkboat Marieholm 26 yang berstatus layak belayar di lautan (seaworthy), berusia 45 tahun serta berukuran lapan meter dengan menggunakan enjin diesel.

Kapal layar itu juga dilengkapi dua panel solar fleksibel bagi membekalkan tenaga kepada pelbagai peralatan elektronik termasuk Emergency Position Indicating Radio Beacon (EPIRB), penghantar isyarat AIS (transponder), radio serta lampu navigasi baharu.

Baginya, dunia pelayaran bukan sekadar hobi, sebaliknya titik perubahan hidup apabila memilih meninggalkan gaya hidup sederhana demi menikmati kehidupan yang lebih lestari di laut.

Berkenaan cabaran, beliau akui bahawa pernah berdepan detik mencemaskan apabila enjin kapal tiba-tiba mati ketika keluar dari pelabuhan sebelum layar sempat dinaikkan. Ketika itu kapal berada di tengah-tengah laluan perairan yang sibuk.

Katanya, situasi itu sentiasa bermain di fikiran setiap kali memulakan pelayaran, malah perasaan cemas tetap ada walaupun pelbagai latihan kecemasan sudah dilalui.

Bagaimanapun, beliau percaya setiap cabaran mampu diatasi apabila pelayar ada keyakinan terhadap diri sendiri serta kemampuan kapalnya.

Ketika berada di beberapa kawasan selatan Amerika Syarikat, beliau turut berdepan dengan pelbagai persepsi sebagai seorang wanita Muslim.

"Layanan mereka berubah apabila saya perkenalkan diri. Ada juga syak wasangka dan soalan diajukan lebih menyerupai siasatan berbanding perbualan biasa.

"Itu kali pertama saya benar-benar merasai pengalaman racial profiling. Ia bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang menetap di sana seperti saya," katanya.

'Setiap pelayaran umpama menghadiri kelas'

Rutin harian Hadhinah Fawwazah, ketika belayar sebahagian besar masanya dihabiskan di atas dek bagi mengemudi kapal, selain berjaga pada waktu malam ketika melalui perairan antarabangsa.

Beliau juga banyak menghabiskan masa di marina dan menggunakan sampan kecil untuk berulang-alik ke daratan bagi mendapatkan bekalan makanan, keperluan asas serta minyak kapal.

"Setiap pelayaran umpama menghadiri kelas di sekolah. Setiap hari pasti ada perkara baharu yang perlu dibaiki atau dipelajari," katanya.

Minat beliau terhadap dunia pelayaran sebenarnya berakar daripada keluarganya yang mempunyai hubungan rapat dengan dunia marin.

Bapanya ialah Sea Scout Master di Johor serta penyelam bertauliah, manakala adik perempuannya juga seorang penyelam profesional.

"Orang paling dekat di hati saya apabila bercakap mengenai laut ialah adik perempuan saya. Dia seorang certified diver, jadi kami berkongsi jiwa yang sama, cuma melalui cara berbeza. Saya di atas permukaan air, dia di bawahnya.

"Jadi, minat terhadap laut ini bukan datang secara tiba-tiba. Keluarga kami memang tidak dapat dipisahkan dari lautan," katanya.

Hadhinah Fawwazah berkata, sejak dahulu ayahnya teringin untuk melihat anaknya memiliki kapal layar sendiri suatu hari nanti.

Kini, beliau berbangga kerana cita-cita bapa dan impiannya untuk memiliki kapal layar sendiri sudah menjadi kenyataan.

Video Terkini

Berita Berkaitan