BH Online
Ringkasan Berita

Pasangan terapkan pendidikan agama dalam kehidupan 12 anak

DALAM era keluarga yang semakin kecil, memiliki ramai adik-beradik mungkin bukan lagi sesuatu yang biasa.
Pasangan terapkan pendidikan agama dalam kehidupan 12 anak

Mohd Ariffin (duduk tengah) bersama 12 anaknya.

DALAM era keluarga yang semakin kecil, memiliki ramai adik-beradik mungkin bukan lagi sesuatu yang biasa.

Faktor kos sara hidup, komitmen kerjaya dan perubahan gaya hidup menyebabkan ramai pasangan hari ini memilih mempunyai bilangan anak lebih sedikit.

Namun, bagi mereka yang dibesarkan dalam keluarga besar, pengalaman itu sering meninggalkan kenangan dan nilai kehidupan yang sukar dicari ganti.

Bagi Mohd Ariffin Abdul Majid, 75, dan arwah isterinya, Azizah Romli, mereka tidak pernah merancang untuk memiliki keluarga yang besar.

Namun, pasangan itu dikurniakan 12 anak yang kini masing-masing mempunyai keluarga dan kehidupan sendiri.

Walaupun membesarkan 12 anak bukan tugas mudah, Mohd Ariffin percaya setiap anak yang hadir membawa rezeki tersendiri.

Lebih membanggakan, hubungan akrab yang terjalin antara adik-beradik sehingga hari ini dianggap sebagai hasil didikan dan nilai kekeluargaan yang diterapkan sejak mereka masih kecil.

Mendirikan rumah tangga pada Januari 1979, Mohd Ariffin dan arwah isterinya memilih untuk menerima setiap kehadiran anak sebagai rezeki daripada Allah SWT.

Ketika itu kempen perancangan keluarga sudah mula diperkenalkan, namun mereka tidak pernah menetapkan jumlah anak yang ingin dimiliki.

"Kami hanya menerima rezeki yang Allah SWT berikan," katanya.

Ketika mempunyai tiga anak pada 1984, Mohd Ariffin membuat keputusan besar apabila berhenti kerja di sebuah kilang swasta di Pulau Pinang dan pulang ke Kedah untuk mengusahakan perniagaan produk secara sepenuh masa.

Keputusan itu dibuat demi memberikan lebih tumpuan kepada keluarga dan membina masa depan yang lebih baik untuk anak.

Hasil usaha yang dilakukan bersama arwah isterinya, mereka berjaya membesarkan semua 12 anak tanpa perlu bergantung kepada pinjaman pendidikan.

Menurut Mohd Ariffin, perkara paling penting dalam membesarkan anak-anak bukanlah kemewahan, sebaliknya memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang baik.

Walaupun sepanjang kehidupan berkeluarga mereka terpaksa berpindah sebanyak 12 kali dan tidak memiliki rumah sendiri, beliau sentiasa memastikan kawasan yang didiami sesuai untuk perkembangan anak-anak.

"Saya tidak pernah berkompromi soal persekitaran yang baik untuk pembesaran anak-anak. Sepanjang berpindah-randah, saya sentiasa mencari kawasan yang kondusif supaya anak dapat membesar dalam suasana positif," katanya.

Buang televisyen

Beliau turut membuat satu keputusan yang mungkin dianggap luar biasa pada masa itu apabila mengeluarkan televisyen dari rumah selepas anak sulungnya tamat Darjah Enam.

"Saya tidak mahu mereka terlalu leka dengan televisyen. Apabila tiada televisyen, mereka lebih banyak berinteraksi sesama sendiri, menjadi lebih kreatif dan hubungan kekeluargaan juga lebih rapat," katanya.

Selain itu, Mohd Ariffin dan arwah isterinya turut menitikberatkan pendidikan agama dalam kehidupan anak-anak.

"Saya mahu anak mendapat pendidikan agama yang kuat kerana saya sendiri tidak mempunyai ilmu agama yang mendalam. Sebab itu semua anak saya melalui aliran pendidikan agama," katanya.

Bagi beliau, melalui pendidikan agama ia membantu membentuk sahsiah anak-anak, malah menjadi asas kepada hubungan kekeluargaan yang harmoni dan saling menghormati.

Anak sulung keluarga itu, Nur Faezah Mohd Ariffin, 47, berkata membesar dalam keluarga yang besar menjadikannya matang lebih awal berbanding rakan sebaya.

Seawal usia 12 tahun, beliau sudah membantu menjaga adik-adik ketika ibu bapanya sibuk menguruskan perniagaan keluarga.

"Kalau orang lain seronok melihat ayah menunggu di depan sekolah, saya pula akan fikir, kena balik cepat, banyak kerja menunggu di rumah," katanya.

Beliau mengakui, setiap kali mengetahui ibunya mengandung lagi, perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah pertambahan tanggungjawab yang perlu dipikul.

"Setiap kali mengetahui mama mengandung lagi, saya akan susah hati. Bukan sebab tak sayang adik, tetapi menyedari tanggungjawab akan bertambah untuk membantu mama dan abah.

"Namun, saya percaya Allah tidak bagi apa yang kita mahu, tetapi Allah bagi apa yang kita perlu," katanya.

Kini, Nur Faezah yang mengusahakan perkhidmatan penjagaan ibu dan bayi melihat pengalaman membesar dalam keluarga besar sebagai satu kelebihan yang banyak membentuk dirinya.

Beliau mengakui, pernah menjadi individu yang tegas dan sering memarahi adik-adiknya ketika kecil, namun hubungan yang terjalin hari ini jauh melangkaui hubungan adik-beradik biasa.

12 beradik muafakat jaga bapa

Sementara itu, Siti Nurzakiah, 44, yang tinggal bersama Mohd Ariffin berkata membesar dalam keluarga yang mempunyai 12 adik-beradik mengajar mereka erti tanggungjawab, toleransi dan saling membantu antara satu sama lain sejak kecil.

Peniaga produk dan pencipta kandungan media sosial itu berkata, hubungan erat yang dibina sejak zaman kanak-kanak menjadi sumber kekuatan apabila berdepan pelbagai fasa kehidupan, termasuk selepas kematian ibu mereka, Azizah Romli, pada 2021.

"Saya bersyukur kerana sempat berbakti kepada mama sebelum beliau meninggal dunia. Selepas mama tiada, saya terus tinggal bersama abah sehingga hari ini," katanya.

Menurut ibu tunggal itu, menjaga bapanya, bukanlah satu beban kerana beliau sentiasa mendapat sokongan daripada adik-beradik lain.

famil2
Mohd Ariffin bersama arwah isterinya, Azizah (kiri) dan tiga daripada enam anak perempuannya.

Katanya, pengalaman melihat ibunya menjaga keluarga selama bertahun-tahun banyak membantu beliau memahami keperluan bapanya ketika ini.

"Abah tidak cerewet. Jadi dari segi penjagaan, ia sebenarnya tidak terlalu rumit. Apa yang saya lakukan hari ini banyak berdasarkan apa yang saya lihat mama lakukan ketika beliau masih hidup.

"Cabaran yang sebenar datang daripada diri sendiri. Kalau saya tidak sihat, ketika itulah saya rasa susah kerana tidak dapat memberikan yang terbaik untuk abah," katanya.

Tambah beliau, kelebihan mempunyai ramai adik-beradik ialah tanggungjawab menjaga ibu bapa dapat dipikul bersama tanpa membebankan mana-mana pihak.

"Kami tidak akan membiarkan abah bersendirian. Itu memang prinsip kami adik-beradik," katanya.

Salah seorang anak lelaki keluarga berkenaan, Mohd Abdul Shukor, berkata ibu bapa mereka tidak pernah membezakan tanggungjawab antara anak lelaki dan perempuan.

Sebaliknya, semua anak dididik supaya membantu antara satu sama lain serta memainkan peranan masing-masing dalam keluarga.

"Dulu kami ada jadual tugas di rumah. Saya biasanya ditugaskan membuang sampah dan mencuci longkang. Pada hujung minggu pula kami akan membersihkan rumah bersama-sama," katanya.

Menurutnya, arwah ibunya sentiasa menekankan kepentingan bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan menghargai usaha orang lain.

"Mama selalu berpesan, selepas makan sekurang-kurangnya basuh pinggan sendiri. Orang lain sudah bersusah payah memasak untuk kita, jadi jangan pula kita tinggalkan semuanya kepada orang lain," katanya.

Kini, walaupun masing-masing sudah mempunyai keluarga dan komitmen sendiri, hubungan antara 12 beradik itu masih kekal erat.

"Walaupun sudah berkeluarga, kami tetap adik-beradik yang akan sentiasa ada antara satu sama lain," katanya.

Nilai saling membantu, hormat-menghormati dan kasih sayang yang diterapkan sejak kecil menjadi warisan paling berharga yang ditinggalkan oleh kedua-dua ibu bapa mereka.

Video Terkini

Berita Berkaitan