BH Online
Ringkasan Berita

Industri hadiah kreatif ruang jana pendapatan

DALAM keadaan ekonomi yang semakin mencabar, kemahiran kreatif tidak lagi dilihat sekadar hobi, sebaliknya berpotensi menjadi sumber pendapatan serta membuka peluang keusahawanan baharu, khususnya dalam kalangan wanita.
Industri hadiah kreatif ruang jana pendapatan

Bengkel Creative Gifting platform memperkasa masyarakat melalui pembangunan kemahiran, kreativiti dan inovasi.

DALAM keadaan ekonomi yang semakin mencabar, kemahiran kreatif tidak lagi dilihat sekadar hobi, sebaliknya berpotensi menjadi sumber pendapatan serta membuka peluang keusahawanan baharu, khususnya dalam kalangan wanita.

Menyedari potensi besar industri kreatif, bengkel Creative Gifting dianjurkan sebagai platform memperkasa masyarakat melalui pembangunan kemahiran, kreativiti dan inovasi.

Program digerakkan pensyarah Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama IIUM Academy itu memberi peluang kepada peserta mempelajari seni menghasilkan hadiah kreatif yang mempunyai nilai estetika dan komersial.

Ketua program, Dr Julaila Abdul Rahman, berkata industri hadiah kreatif mempunyai prospek yang cerah kerana permintaannya sentiasa wujud dalam pelbagai segmen pasaran termasuk hadiah peribadi, majlis keraian, acara korporat dan perniagaan kecil.

"Bidang ini boleh dimulakan dengan modal rendah, namun berpotensi memberikan pulangan baik sekiranya peserta menguasai teknik dan kemahiran yang betul.

"Produk dihasilkan bukan sahaja menarik dari segi visual, malah mempunyai nilai tambah yang dihargai pelanggan," katanya.

Beliau berkata, kemahiran seperti itu amat sesuai diterokai wanita yang ingin menjana pendapatan sampingan dari rumah atau mengembangkan perniagaan kecil berasaskan kreativiti.

Program ini adalah siri kedua selepas kejayaan pelaksanaan bengkel pertama pada Disember tahun lalu.

Jika siri pertama memberi tumpuan kepada penghasilan asas kotak hadiah dan bakul buah, siri kali ini memperkenalkan modul bakul hadiah berasaskan snek yang lebih kompleks serta memerlukan tahap ketelitian lebih tinggi.

Sambutan menggalakkan terhadap siri pertama mendorong penganjur meneruskan program dengan pendekatan yang lebih intensif.

Siri kedua dihadkan hanya 10 peserta, berbanding sebelum ini seramai 30 orang. Ia memastikan proses pembelajaran lebih fokus dan berkesan.

Peserta didedahkan kepada pelbagai elemen reka bentuk termasuk teknik pemilihan bahan, penggunaan warna dan kaedah menghasilkan persembahan hadiah yang lebih profesional.

Selain latihan praktikal, mereka turut dibimbing memahami prinsip reka bentuk, penyusunan produk serta strategi pemasaran yang boleh diterjemahkan kepada peluang perniagaan.

Bengkel itu dikendalikan Julaila bersama tiga lagi pensyarah iaitu Dr Mazlina Mansor, Dr Sharifah Mazlina Syed Khuzzan dan Dr Sharifah Tahirah Datuk Syed Kamarulzaman.

Yang turut berkongsi pengalaman ialah fasilitator industri dan usahawan, Junania Junid yang memberikan perspektif sebenar mengenai keperluan pasaran.

Hasil latihan praktikal menunjukkan, setiap peserta berjaya menghasilkan bakul hadiah dengan identiti dan kreativiti tersendiri. Lebih penting, mereka memahami keseluruhan proses pembangunan produk bermula daripada pencetusan idea sehingga penghasilan akhir yang mempunyai nilai pasaran.

Program seperti ini membuktikan kerjasama antara akademia dan masyarakat mampu melahirkan komuniti yang lebih berkemahiran, berdaya saing serta berpotensi menjana pendapatan melalui industri kreatif yang terus berkembang.

Video Terkini

Berita Berkaitan