TRAGEDI wanita ditikam sebanyak 61 kali bukan sekadar statistik jenayah yang ngeri, tetapi ia adalah satu tamparan hebat kepada nilai kemanusiaan kita.
Angka '61' itu menceritakan, amarah yang tidak terkawal, kebencian mendalam dan paling menyedihkan, kegagalan sistem sokongan sosial dalam melindungi golongan rentan.
Di sebalik setiap tikaman itu, ada mesej yang jelas iaitu perlu menilai semula bagaimana lelaki menggunakan kekuatannya dan bagaimana wanita bertindak sesama mereka.
Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fairuz Nazri Abd Rahman, berkata secara biologi, lelaki dikurniakan dengan struktur fizikal yang lebih kuat tetapi ia sering disalahertikan sebagai alat untuk mendominasi.
Katanya, dalam psikologi masyarakat yang toksik, kekuatan fizikal dianggap sebagai 'lesen' untuk menunjukkan kuasa.
"Apabila seorang lelaki menggunakan tangannya untuk menyakiti, dia sebenarnya sedang mendedahkan kelemahan jiwanya yang paling besar.
"Kekuatan fizikal lelaki seharusnya menjadi perisai kerana sejarah dan fitrah manusia menetapkan lelaki sebagai pelindung.
"Seorang lelaki sejati adalah mereka yang menggunakan kekuatannya untuk memastikan wanita di bawah jagaannya sama ada isteri, anak, ibu atau rakan sekerja berasa selamat," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, apabila kekuatan itu bertukar menjadi punca ketakutan, maka konsep 'kejantanan' itu sudah gagal sepenuhnya.
Oleh itu, katanya, penting untuk mendidik anak lelaki dari rumah, 'menjadi kuat' bermaksud, mempunyai kawalan diri yang tinggi.
"Kekuatan yang tidak diimbangi dengan emosi yang matang adalah senjata berbahaya.

"Jadi masyarakat harus berhenti mengagungkan lelaki yang bersikap agresif dan mula menghargai lelaki yang mampu melindungi wanita dengan kasih sayang dan rasa hormat," katanya.
Dr Fairuz Nazri berkata, satu aspek yang sering terlepas pandang dalam pencegahan jenayah terhadap wanita adalah peranan sesama wanita itu sendiri.
Katanya, sering kali sebelum tragedi ngeri berlaku, sudah ada tanda-tanda awal seperti lebam di lengan, tangisan di tengah malam atau perubahan tingkah laku yang mendadak.
Namun, katanya, masih ramai yang memilih untuk membisu kerana kadangkala, tanpa sedar, wanita lain menjadi punca mangsa terus terperangkap dalam kitaran keganasan.
"Kata-kata seperti, 'Sabarlah, itu ujian rumah tangga' atau 'Jangan dedahkan aib suami' ini sebenarnya adalah racun yang membunuh secara perlahan.
"Apabila seorang wanita menjustifikasikan keganasan yang dilakukan oleh seorang lelaki terhadap wanita lain, dia sebenarnya sedang memberi 'lampu hijau' kepada pemangsa untuk terus bertindak zalim.
"Wanita seharusnya menjadi penyokong tegar sesama sendiri (sisterhood) dengan berusaha membantu melindungi wanita lain," katanya.
Beliau berkata, wanita boleh membantu dengan cara mendengar tanpa menghakimi, memberi keberanian dengan membantu mencari jalan keluar melalui saluran undang-undang atau perlindungan sosial serta berhenti menyalahkan mangsa.
Campur tangan awal
Mengulas mengenai langkah pencegahan, Dr Fairuz Nazri berkata, usaha membendung keganasan terhadap wanita memerlukan pendekatan menyeluruh membabitkan keluarga, sekolah, komuniti dan pihak berkuasa.
Katanya, antara langkah yang dicadangkan termasuk pendidikan awal mengenai persetujuan dan rasa hormat antara jantina, memperkukuh kepekaan komuniti terhadap tanda-tanda penderaan serta memastikan setiap laporan ancaman diambil serius oleh pihak berkuasa.
"Campur tangan awal boleh menyelamatkan nyawa. Kita tidak boleh lagi mengamalkan sikap tidak mahu masuk campur apabila melihat tanda-tanda keganasan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat supaya tidak menunggu sehingga tragedi menimpa orang terdekat sebelum mengambil serius isu keganasan terhadap wanita.
Mereka yang memerlukan bantuan atau sokongan emosi boleh menghubungi talian HEAL 15555, Talian Kasih 15999, Befrienders Malaysia atau mendapatkan bantuan di Pusat Khidmat Krisis Bersepadu (OSCC) di hospital kerajaan.
























