BH Online
Ringkasan Berita

Anugerah pembakar semangat Nurzhafarina

Oleh Tuty Haryanti Ahmad
Anugerah pembakar semangat Nurzhafarina

Dr Nurzhafarina Othman.

Oleh Tuty Haryanti Ahmad

KEPRIHATINAN terhadap keselamatan kanak-kanak yang tinggal berhampiran habitat gajah liar di Kinabatangan, Sabah menjadi titik tolak kepada kejayaan Dr Nurzhafarina Othman merangkul Outstanding Malaysian Nature Conservationist Award 2025.

Usaha beliau dalam bidang konservasi bukan sahaja memberi impak besar kepada komuniti setempat, malah turut membuka ruang lebih luas untuk memperkasa pendidikan berkaitan gajah di Sabah.

Anugerah berprestij itu turut mengiktiraf sumbangan beliau sebagai Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam memelihara keseimbangan antara manusia dan hidupan liar.

Nurzhafarina yang juga Pengarah Seratu Aatai, sebuah pertubuhan pemuliharaan biodiversiti di Sabah berkata, beliau bersyukur kerana penghargaan diterima akan membantu memperkukuhkan lagi aktiviti konservasi gajah yang sedang dijalankan bersama komuniti setempat.

"Anugerah ini akan terus membantu kami menjalankan aktiviti konservasi gajah khususnya, program pendidikan dan kesedaran di sekolah Humana di ladang kelapa sawit terpilih di Kinabatangan.

"Sekolah Humana ini adalah pusat bimbingan pendidikan dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Humana Child Aid Society Sabah yang ditubuhkan untuk memberi pendidikan tadika dan sekolah rendah kepada anak pekerja ladang sawit, terutama mereka yang tidak mempunyai akses kepada sekolah kerajaan di Sabah," katanya kepada BH.

Jelas beliau, projek berkenaan memberi fokus kepada pendidikan awal mengenai perilaku gajah dan langkah keselamatan kepada kanak-kanak yang tinggal di kawasan berisiko tinggi bertembung dengan haiwan itu.

Katanya, ramai kanak-kanak di kawasan berkenaan sering berkongsi habitat sama dengan gajah liar, namun masih kurang pengetahuan mengenai cara bertindak dengan selamat apabila berdepan situasi sedemikian.

"Kami berharap program ini dapat memberikan kemahiran, pengetahuan dan keyakinan kepada kanak-kanak untuk memahami perilaku gajah, sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

gajah6
Nurzhafarina terus komited mencurahkan bakti dalam bidang konservasi.

Beliau berkata, idea melaksanakan program itu tercetus daripada pengalaman sendiri ketika menjalankan kajian lapangan di Negeri di Bawah Bayu itu.

"Anak-anak ini sangat teruja apabila ternampak gajah, tetapi mereka tidak tahu cara selamat berhadapan situasi itu.

"Jadi dari situ saya sedar, pentingnya pendidikan konservasi dimulakan sejak kecil," katanya.

Melalui anugerah diterima, Nurzhafarina berkata, pihaknya kini merancang untuk memperluaskan program ke lebih banyak sekolah Humana di Sabah.

Pendekatan lebih praktikal

Selain sesi pendidikan lapangan, beliau juga bercadang menghasilkan buku aktiviti interaktif berkaitan perilaku gajah dan langkah keselamatan dalam bentuk yang mudah difahami serta menarik minat kanak-kanak.

"Kami mahu pendekatan yang lebih dekat dengan mereka supaya mesej keselamatan dan kepentingan konservasi lebih mudah diterima," katanya.

Pada edisi kedua Anugerah Biji Alam, selain Nurzhafarina seorang lagi tokoh muda dalam bidang pemuliharaan, Nur Munira Azman turut menerima pengiktirafan tertinggi Outstanding Malaysian Nature Conservationist Award 2025.

Usaha mereka itu sekali gus membawa harapan baharu terhadap usaha melindungi keajaiban biodiversiti negara.

Anugerah Biji Alam bukan sekadar sebuah pengiktirafan, tetapi ia adalah platform yang menyemai harapan dan menyokong konservasionis pertengahan kerjaya supaya cekal terus berjuang.

Keluarga penyokong utama kerja konservasi

Sementara itu, dalam kesibukan sebagai pensyarah, penyelidik dan aktivis konservasi, Nurzhafarina tidak menafikan cabaran membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga bukan sesuatu yang mudah.

Beliau yang menetap di Kota Kinabalu bersama suami, Fauzie Sarjono, 45, serta dua anak, Nur Fatin Aqeela, 16, dan Muhammad Luqman Hamka, 11, berkata sistem sokongan keluarga memainkan peranan besar dalam kehidupannya.

gajah8
Nurzhafarina beris pendidikan awal perilaku gajah dan langkah keselamatan kepada kanak-kanak yang tinggal di kawasan berisiko tinggi bertembung dengan haiwan liar di Sabah.

"Sistem sokongan sangat penting, terutama suami dan keluarga. Selain itu, perlu juga banyak berdoa dan sentiasa perbetulkan niat.

"Saya juga akan memastikan pengurusan masa yang betul dan penting untuk menitikberatkan penjagaan kesihatan," katanya.

Sebagai wanita, akuinya bidang konservasi amat mencabar dari segi fizikal dan emosi, namun katanya, dalam apa jua bidang, terdapat cabarannya yang tersendiri.

Justeru, beliau menasihati kepada golongan wanita supaya tidak takut mengejar impian jika ada minat yang mendalam dalam sesuatu bidang.

"Saya berada pada tahap ini apabila mengambil nasihat tokoh pemuliharaan alam sekitar, Allahyarham Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahamood, iaitu Just Do It," katanya.

Mengulas mengenai isu tiga gajah Malaysia dipindahkan ke zoo di Jepun baru-baru ini, beliau berpandangan masyarakat perlu memahami setiap keputusan berkaitan pemindahan haiwan liar membabitkan pertimbangan yang kompleks.

"Kadang-kadang ia membabitkan kekangan kapasiti, kecederaan atau konflik manusia-gajah yang menyebabkan haiwan terbabit perlu dibawa ke dalam kurungan," katanya.

Namun, katanya, penyelesaian jangka panjang tidak seharusnya hanya tertumpu kepada tindakan terhadap kes individu semata-mata.

"Berdasarkan pengalaman saya di Sabah, pendekatan lebih berkesan ialah memperkukuh sistem pengurusan secara menyeluruh termasuk meningkatkan standard fasiliti, kapasiti penjaga serta pelan pengurusan jangka yang lebih menyeluruh," katanya.

"Pada masa sama, punca utama seperti fragmentasi habitat dan perubahan guna tanah juga perlu ditangani kerana inilah faktor yang terus mendorong konflik dan akhirnya membawa gajah ke dalam kurungan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan