KEPUTUSAN meninggalkan kerjaya selepas mendirikan rumah tangga demi memberi sepenuh perhatian kepada keluarga bukanlah satu langkah mudah buat seorang wanita.
Dalam dunia moden yang sering mengukur kejayaan melalui pencapaian profesional dan kestabilan kewangan, memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa sering dianggap sebagai satu pengorbanan besar.
Peralihan daripada wanita bekerjaya kepada suri rumah bukan sekadar perubahan rutin harian, malah membabitkan cabaran emosi dan mental yang tidak kurang hebatnya.
Kehilangan pendapatan tetap, ruang sosial di tempat kerja serta perasaan seolah-olah 'tertinggal' berbanding rakan yang terus membina kerjaya antara perkara yang sering bermain di fikiran.
Namun, di sebalik segala cabaran itu, ramai wanita sebenarnya menemui satu dimensi baharu dalam kehidupan.
Masa yang lebih dekat bersama keluarga dan peluang membesarkan aanak sendiri membuka ruang untuk mereka mengenali potensi diri dari sudut berbeza.
Tidak sedikit yang akhirnya berjaya membina kekuatan baharu, sama ada dalam bidang keusahawanan, pendidikan anak mahupun pembangunan diri.
Hakikatnya, menjadi suri rumah sepenuh masa bukan bererti seorang wanita itu berhenti mengejar kejayaan, sebaliknya mereka sedang memilih bentuk kejayaan yang berbeza, mungkin tidak dinilai dengan gaji atau pangkat, tetapi cukup besar nilainya dalam membina sebuah keluarga.
Namun, mujur seiring perkembangan teknologi dan ekonomi digital, semakin ramai wanita mula mencari alternatif untuk menjana pendapatan dari rumah.
Kerja bebas berasas kemahiran
Peluang seperti perniagaan dalam talian, pemasaran produk, penghasilan makanan, serta kerja bebas berasaskan kemahiran menjadi pilihan kebanyakan wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa.
Bekas penata gaya di sebuah stesen penyiaran, Suhyla Ashari, 31, berkata keputusan berhenti kerja diambil selepas hamil anak pertama pada 2023 yang mana beliau mahu memberi tumpuan pada fasa keibuan dan keluarga.
Wanita yang kini menetap di Port Dickson, Negeri Sembilan itu berkata, beliau memilih untuk menjaga sendiri anaknya kerana ingin sentiasa berada di sisi cahaya matanya.
"Saya juga mahu mendidik dan membesarkannya dengan tangan sendiri kerana saya percaya ibu adalah 'madrasah' pertama di rumah yang memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah anak.
"Walaupun, berhenti kerja 'makan gaji' untuk keluarga, minat dan kemahiran dalam bidang fesyen tidak saya sia-siakan yang mana saya mengusahakan bisnes sendiri sebagai pereka fesyen dan mengambil tempahan menjahit dari rumah.
"Saya sudah biasa berdikari dan punyai sumber kewangan sendiri malah ketika bekerja dahulu, saya juga mengambil tempahan menjahit secara sambilan, justeru gelaran suri rumah tidak menjadi penghalang untuk saya aktif melakukan apa yang saya minat, sekali gus menjana pendapatan sambil melihat anak membesar di depan mata," kata pemilik Suhyla Bespoke Fashion itu.
Suhyla berkata, sebelum berhenti kerja beliau sedar risiko 'bekerja sendiri' apatah lagi dahulu beliau memperoleh pendapatan dari dua pekerjaan.
Bagaimanapun, beliau tidak menyesal dengan keputusannya berhenti kerja untuk fokus pada keluarga.
"Dari segi pendapatan memang tidak dapat dibandingkan dengan yang sebelum ini dan setiap pekerjaan ada cabarannya, sama ada kita 'makan gaji' atau bekerja sendiri.
"Cabaran paling ketara mestilah bab masa dan konsistensi dalam menguruskan anak, rumah, dengan bisnes menjahit. Kadang-kadang tengah buat kerja, anak mahukan perhatian, jadi memang kena pandai bahagi masa betul-betul," katanya.
Rozita Razak, 33, dari Putrajaya pula memilih berhenti kerja sebagai wakil jualan perubatan selepas lebih lima tahun kerana ingin memberi tumpuan pada anak perempuannya yang mempunyai masalah jantung berlubang.
Katanya, anak tunggalnya yang berusia lima tahun itu memerlukan perhatian rapi dan penjagaan berterusan justeru, sangat berisiko jika dihantar ke rumah pengasuh atau taska.
"Saya bimbang sekiranya berlaku keadaan kecemasan seperti anak tiba-tiba menjadi 'biru' atau mengalami komplikasi lain. Tambahan pula, anaknya kerap tidak sihat dan jika demam, boleh menyebabkan pernafasan menjadi laju sehingga memerlukan rawatan di hospital serta bantuan oksigen.
"Saya sudah terbiasa berdikari sejak tamat pengajian. Jadi, walaupun sudah berhenti kerja, saya mendaftar menjadi ejen serta menjual produk sabun pakaian bagi meneruskan sumber pendapatan," katanya.
Dalam kesibukan menguruskan anak dan perniagaan sampingan, Rozita menemukan nilai sebenar yang sukar digantikan iaitu kebebasan masa. Baginya, 'time wealth' memberi ruang untuk mengatur kehidupan harian mengikut keperluan sendiri dan yang paling penting, beliau dapat membesarkan dan mendidik anaknya sendiri sambil memastikan si kecil sentiasa berada di depan mata.
Pilih berniaga dari rumah demi anak
Sementara itu, bagi Nurul Anisah Shahrulzaman, 37, dari Sepang, Selangor, meninggalkan kerjaya tetap bukan keputusan yang mudah.
Namun, keluarga menjadi keutamaan sehingga beliau nekad berhenti kerja beberapa tahun lalu.
Bekas penyelia penghantaran di sebuah syarikat perusahaan runcit itu kini memilih jalan baharu sebagai usahawan makanan dengan mengusahakan perniagaan yong tau fu dari rumah.

Keputusan itu dibuat agar beliau dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada empat anaknya, terutama apabila mereka kerap tidak sihat.
Dengan berniaga dari rumah, beliau dapat mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu dan juga peniaga.
"Keinginan untuk bekerja sendiri adalah kerana anak yang kerap demam dan saya mahu memberi perhatian sepenuhnya kepada empat anak. Bagi saya, masa bersama keluarga adalah keutamaan dan dengan berniaga dari rumah, saya dapat mengimbangi kedua-dua tanggungjawab sebagai ibu dan usahawan.
"Sebenarnya, dunia perniagaan bukanlah sesuatu yang asing buat bagi saya yang mana sejak 2019, saya sudah mula berniaga produk kosmetik sebelum beralih kepada perniagaan makanan pada 2020 hingga kini.
"Berniaga memang banyak cabaran, ada hari tempahan banyak dan menguntungkan, ada hari kurang tempahan. Kita perlu berusaha lebih jika mahu hasil yang lebih. Memang berbeza apabila kita bekerja tetap," kata pemilik Jauza Yong Tau Fu.
Beliau berkata, rutinnya lebih fleksibel apabila beliau menguruskan rumah tangga sambil menjalankan perniagaan dari rumah. Operasi yong tau foo dikendalikan hampir setiap hari melalui platform penghantaran seperti Grab, Foodpanda, Shopee dan Misi, manakala hari Sabtu dijadikan sebagai hari rehat.
Katanya, walaupun jadualnya padat, beliau bersyukur kerana dapat melakukan apa yang diminati sambil tetap berada dekat dengan keluarga.
























