BH Online
Ringkasan Berita

Fesyen dalam iklim panas, keperluan mengatasi trend

Oleh Saadiah Ismail
Fesyen dalam iklim panas, keperluan mengatasi trend

Setiap pilihan pakaian memberi kesan kepada keselesaan dan keyakinan diri. -Foto hiasan

Oleh Saadiah Ismail

FESYEN dilihat sebagai simbol gaya, status dan identiti diri, tetapi dalam konteks cuaca panas tropika seperti di Malaysia, fesyen tidak sekadar estetika sebaliknya, soal keselesaan, kesihatan dan kesejahteraan diri.

Ketika ini negara berdepan fenomena El Nino dan perubahan iklim global, menjadikan suhu harian terasa lebih ekstrem daripada biasa. Malangnya, masih ramai yang memilih untuk mengikut trend tanpa mengambil kira kesesuaian dengan iklim setempat.

Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak, Muhammad Khalik Mustafa, berkata dalam cuaca panas, fabrik memainkan peranan penting yang berfungsi seperti sistem pengudaraan kepada tubuh manusia.

Katanya, fabrik seperti kapas adalah pilihan terbaik kerana sifatnya yang menyerap peluh dan membenarkan pengaliran udara, manakala linen pula terkenal dengan teksturnya yang ringan dan memberi rasa sejuk secara semula jadi.

fesyen1
Fabrik kapas pilihan terbaik ketika cuaca panas kerana sifatnya yang menyerap peluh dan membenarkan pengaliran udara. - Foto hiasan

"Selain itu, rayon atau viscose juga menjadi pilihan kerana sifatnya yang lembut, 'dan tidak memerangkap haba.

"Sebaliknya, fabrik sintetik seperti poliester dan nilon sering menjadi "musuh dalam diam". Walaupun kelihatan cantik dan kemas di mata, fabrik ini sebenarnya memerangkap haba dan peluh, menjadikan pemakai cepat rasa panas dan tidak selesa.

"Satin yang tebal pula, walaupun tampak mewah, boleh menjadi sangat tidak praktikal dalam cuaca panas.

"Realitinya, ramai yang memilih pakaian berdasarkan rupa di penyangkut baju atau mannequin, tetapi gagal mempertimbangkan bagaimana ia berfungsi apabila dipakai di bawah matahari terik," katanya.

Warna dan potongan: Strategi Bijak untuk Iklim Tropika

Muhammad Khalik berkata, selain fabrik, warna dan potongan pakaian juga memainkan peranan besar dalam menentukan tahap keselesaan.

Katanya, warna cerah seperti putih, beige dan pastel membantu memantulkan haba, menjadikan badan terasa lebih sejuk, sebaliknya, warna gelap seperti hitam dan biru gelap menyerap haba, menjadikan pemakai lebih cepat berasa panas.

"Dari segi potongan pula, pakaian yang longgar memberi ruang kepada pengaliran udara, sekali gus mengurangkan rasa bahang.

"Inilah sebabnya pakaian saiz besar semakin popular, bukan sekadar trend, tetapi juga praktikal.

"Dalam konteks ini, konsep "less is more" menjadi sangat relevan. Kurangkan lapisan yang tidak perlu dan pilih potongan membenarkan tubuh "bernafas"," katanya.

fesyen2
Antara jenis fabrik sesuai digayakan ketika musim panas.

Katanya, pakaian seperti kaftan moden, jubah ringan dan blouse longgar menjadi pilihan kerana sifatnya yang tidak melekat pada badan.

"Seluar potongan kaki besar juga semakin popular kerana memberikan keselesaan maksimum tanpa mengorbankan gaya.

"Bagi wanita berhijab, pemilihan material tudung juga memainkan peranan penting seperti sifon ringan atau voile lebih sesuai kerana tidak terlalu panas dan mudah dibentuk," katanya.

Antara gaya dan tanggungjawab

Dalam dunia yang semakin panas akibat perubahan iklim, fesyen juga perlu berevolusi.

Pemilihan pakaian bukan lagi sekadar soal gaya, tetapi juga tanggungjawab terhadap diri dan persekitaran.

Muhammad Khalik berkata, pengguna kini perlu lebih bijak dalam membuat pilihan kerana fesyen yang baik adalah fesyen yang mengambil kira konteks antaranya termasuk cuaca, budaya dan keperluan harian.

fesyen4
Pilihan palet warna sesuai untuk tempat beriklim panas.

"Akhirnya, fesyen bukan mengenai siapa paling mengikut trend, tetapi siapa paling memahami diri dan persekitarannya.

"Dalam cuaca Malaysia yang semakin panas, kita tidak lagi boleh bergaya secara sambil lewa. Setiap pilihan pakaian memberi kesan kepada keselesaan dan keyakinan diri kerana fesyen yang benar-benar baik bukan hanya kelihatan cantik tetapi juga dirasai selesa," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan