KUALA LUMPUR: Seni sulaman Peranakan adalah manifestasi visual yang menggabungkan elemen estetika Cina dengan pengaruh tempatan (Melayu) dan Barat. Ia bukan sekadar hiasan, sebaliknya setiap perincian membawa maksud yang mendalam dalam kehidupan masyarakat Baba Nyonya.
Huraian mengenai seni sulaman Peranakan itu baru-baru ini dikupas dalam program Bicara@Muzium; Sulaman Peranakan, Bunga,Warna dan Simbolik Budaya, anjuran Muzium Tekstil Negara yang menampilkan Presiden Persatuan Persaudaraan Kesenian dan Kebudayaan Peranakan Melaka (SEDARA), Cedric Tan dan Pengasas Kenny Loh Couture, Dr Kenny Loh dengan Kurator Muzium Tekstil Negara, Fadhliatun Azmi sebagai moderator.

Loh berkata, kebaya nyonya adalah busana ikonik Peranakan yang bukan saja digayakan di Malaysia tetapi juga dalam kalangan komuniti itu di Singapura, Indonesia dan Thailand, malah ia turut dipakai oleh kaum lain.
"Kebaya Nyonya wujud hasil gabungan pengaruh Melayu, Cina dan Barat selain dikenali dengan pemilihan kain yang nipis dan sulaman yang halus.
"Motif bunga ialah elemen paling penting dalam sulaman Peranakan. Coraknya dipengaruhi gabungan budaya Cina, Melayu dan Eropah yang mencerminkan identiti unik masyarakat Peranakan.
"Ada juga pengaruh budaya India, Thailand dan Myanmar tetapi agak terhad, khususnya di Pulau Pinang," katanya.
Bunga peony
Loh berkata, motif bunga yang sering digunakan dalam sulaman adalah peony yang melambangkan kemakmuran, keharmonian, kehormatan dan kecantikan. Ada juga motif bunga lain misalnya teratai atau krisan selain bunga tropika yang mencerminkan hubungan dengan Nusantara.
Katanya penggunaan motif flora ini biasanya digabungkan dengan unsur-unsur alam seperti daun, sulur dan serangga untuk mencipta komposisi yang harmoni.
"Sulaman kebaya terkenal dengan penggunaan warna terang dan kontras yang bukan sahaja bersifat estetika tetapi juga membawa makna budaya.
"Misalnya, warna merah membawa kegembiraan, tuah dan perayaan, manakala pemilihan warna kuning atau emas pula bermaksud kemuliaan dan status.
" Begitu juga dengan hijau yang bermaksud kesuburan dan kehidupan, manakala biru bermaksud ketenangan dan keanggunan. Jika diperhatikan penggunaan warna hijau dan biru banyak digunakan selepas negara mencapai kemerdekaan," katanya.
Tambahnya, gabungan warna ini menjadikan kebaya bukan sekadar pakaian tetapi satu bentuk luahan budaya dan identiti pemakainya. Justeru, kehalusan teknik sulaman kebaya nyonya sangat penting kerana setiap satunya bukan sahaja menghias pakaian tetapi juga menunjukkan tahap kemahiran pembuatnya.

Justeru tidak hairan jika harga sehelai kebaya Nyonya ada yang boleh mencecah sehingga ribuan ringgit dan perbezaan ini adalah disebabkan faktor kehalusan teknik sulaman.
Sementara itu Tan berkata, baju kebaya panjang adalah pakaian yang agak terkenal sehingga awal abad ke-20 dan menyerupai kebaya labuh orang Melayu. Ia dicirikan dengan potongan panjang melepasi lutut, lengan sampai pergelangan tangan, dipakai dalam keadaan longgar dan dipadankan dengan kain batik atau kain songket dan disemat tiga biji kerongsang.
Transformasi kebaya
Namun, berlaku transformasi daripada baju kebaya panjang kepada kebaya pendek berlaku sejak seabad lalu.
"Estetika kebaya pendek sedikit berbeza iaitu panjangnya hanya sampai ke separuh pinggul, lapik depan potongan serong atau lurus, lengan sampai pergelangan tangan, ia juga mengikut susuk badan walaupun masih longgar dan digayakan dengan kerongsang berantai dicucuk menegak.
"Inspirasi sulaman pula banyak diambil daripada budaya masyarakat Tionghua misalnya sulaman yang dihasilkan dari Tanah Besar China,"katanya.
Hari ini kata Tan, teknik sulaman kebaya sudah dipertingkatkan hasil kemajuan teknik sulaman kebaya Nyonya, namun masih menggunakan tema flora dan fauna sebagai asas motif sulaman. Bagaimanapun, ada bagi tujuan menarik minat pemakaian daripada golongan kanak-kanak, ada juga sulaman kebaya dibuat berdasarkan watak-watak daripada Disney seperti Mickey Mouse atau Snow White.
Tan berkata, ada juga baju kebaya yang dibuat khusus untuk upacara berkabung. Jadi, pemilihan warna kain selalunya tidak terang, berwarna-warni atau terlalu menonjol.
Malah katanya, penggunaan warna kebaya juga membolehkan masyarakat mengetahui tahun berkabung pemakainya dengan tempoh berkabung kebiasaan selama tiga tahun.
























