BH Online
Ringkasan Berita

Kasut utama keselesaan ibarat 'surat cinta' untuk pelanggan

RATA-RATA wanita bekerjaya di negara ini mengharungi rutin harian yang padat, termasuk berjalan kaki ke tempat kerja dan berkejaran ke stesen pengangkutan awam.
Kasut utama keselesaan ibarat 'surat cinta' untuk pelanggan

Memberikan keselesaan kepada si pemakai menjadi keutamaan rekaan kasut dihasilkan Farah.- Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

RATA-RATA wanita bekerjaya di negara ini mengharungi rutin harian yang padat, termasuk berjalan kaki ke tempat kerja dan berkejaran ke stesen pengangkutan awam.

Dalam kesibukan itu, pemilihan kasut yang selesa bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan, khususnya bagi mereka yang memiliki kaki lebar, berisi atau mengalami masalah bunion.

Keperluan ini membuka ruang kepada usahawan tempatan, Nur Farah Izzati Che Lamin, 32, untuk tampil dengan penyelesaian tersendiri menerusi jenama kasut rata miliknya, FARAMORE.

PJ140426FH033.jpg
Antara koleksi kasut wanita yang dihasilkan Farah. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah 0

Pengalaman peribadi berdepan kesukaran mendapatkan kasut yang benar-benar selesa menjadi titik tolak kepadanya membangunkan jenama berkenaan.

Sebagai pengguna setia kasut rata, Nur Farah mengakui sering berdepan masalah seperti kaki melecet, sakit tumit serta kualiti kasut yang tidak tahan lama. Malah, kasut yang dibeli terpaksa diganti hampir setiap bulan kerana cepat rosak.

"Pada awalnya, saya sendiri sukar mencari kasut yang benar-benar selesa. Kebanyakan kasut yang dibeli tidak memenuhi jangkaan, walaupun harganya tidak murah," katanya.

farah
Nur Farah Izzati Che Lamin

Menurutnya, kekurangan pilihan kasut rata berkualiti di pasaran tempatan ketika itu menyebabkan beliau banyak membeli kasut di pusat komersial. Namun, kualitinya sering mengecewakan.

Dorongan untuk menghasilkan kasut sendiri datang daripada ibunya yang mencadangkan agar Nur Farah mereka kasut mengikut cita rasa dan keperluannya.

Bermula dari situ, lahirlah FARAMORE, hasil gabungan nama Farah dan perkataan Perancis Amor yang bermaksud cinta dan kini mempunyai premis di Cyberjaya malah, mula menembusi pasaran antarabangsa.

Walaupun Farah bukan datang daripada latar belakang fesyen atau reka bentuk formal, minat terhadap seni sentiasa hidup dalam dirinya dan setiap kasut yang dihasilkan ibarat "surat cinta" kepada pelanggan.

PJ140426FH027.jpg

"Setiap rekaan datang daripada hati. Ia bukan sekadar produk fesyen, tetapi tanda penghargaan dan kasih sayang saya kepada pelanggan," katanya.

Inspirasi rekaannya banyak dipengaruhi oleh golongan wanita bekerjaya yang memerlukan kasut selesa tanpa mengabaikan gaya dan etika pemakaian korporat. Pendekatan ini menjadikan jenama berkenaan relevan dalam memenuhi keperluan semasa.

Modal kecil, sokongan suami

Bermula dengan modal kecil hasil simpanan sendiri dan sokongan suami, Farah memulakan perniagaan dengan satu rekaan dan tiga pilihan warna. Kini, jenama itu berkembang kepada lima rekaan utama dengan identiti tersendiri.

Keunikan kasut jenama itu terletak pada proses pembuatannya, di mana 90 peratus dihasilkan secara buatan tangan. Setiap rekaan bermula dengan lakaran sendiri, diikuti pemilihan bahan, warna dan aksesori yang teliti.

Tempoh penghasilan sepasang kasut mengambil masa antara empat hingga lapan bulan. Proses ini merangkumi fasa lakaran selama dua hingga tiga bulan, pemilihan bahan dan pembangunan prototaip untuk ujian keselesaan.

"Prototaip perlu diuji dengan berjalan terlebih dahulu sebelum sebarang penambahbaikan dilakukan," katanya.

Dari segi rekaan, ia menggunakan potongan tertentu seperti Almond Toe atau A-Shape bagi membantu pengguna yang mempunyai masalah bunion.

Selain itu, potongan ala Afrika digunakan untuk kaki berisi bagi memastikan keselesaan tanpa rasa sempit.

Kualiti produk turut dijaga rapi dengan kerjasama tukang kasut berpengalaman antara 15 hingga 20 tahun. Teknik buatan tangan dipilih kerana mampu menghasilkan struktur kasut yang lebih kukuh dan tahan lama.

Farah berkelulusan bidang pemasaran perniagaan dalam industri ini bukan tanpa cabaran. Sebelum ini, beliau pernah mengusahakan jenama Lania yang terpaksa ditutup akibat isu plagiat rekaan secara meluas, terutama selepas perkembangan platform media sosial.

Selain itu, pengalaman berurusan dengan kilang luar negara yang membocorkan rekaannya turut memberi kesan mendalam.

Kini, beliau lebih selesa menggunakan pembekal tempatan bagi menjamin kualiti dan keselamatan reka bentuk.

Cabaran lain termasuk kuantiti pesanan minimum (MOQ) yang tinggi serta kapasiti pengeluaran kilang yang terhad. Buat masa ini, jenama itu menawarkan saiz 36 hingga 42, selaras dengan permintaan majoriti wanita tempatan.

Walaupun berdepan pelbagai rintangan, Farah tetap optimis dan terus bangkit membina semula jenamanya. Fokus kini diberikan kepada kualiti produk, pembungkusan serta pengalaman pelanggan.

Dalam merancang masa depan, Farah menyasarkan pasaran serantau seperti Singapura dan Brunei sebagai langkah awal sebelum berkembang lebih jauh.

"Impian saya adalah untuk melihat jenama tempatan diiktiraf setanding jenama antarabangsa. Sokongan masyarakat amat penting untuk merealisasikan hasrat ini," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan