DALAM dunia industri minyak dan gas yang sinonim dengan dominasi lelaki, seorang wanita Malaysia, Wan Nor Khairiyah Wan Montil berjaya membuktikan keupayaan luar biasa apabila berjaya menembusi bidang teknikal berisiko tinggi yang jarang diceburi.
Kerap bertugas di luar negara termasuk di Asia Barat dan Afrika, beliau yang menjadi pengurus projek profesional kini meneruskan tanggungjawabnya di Libya bagi mengurus projek sisa minyak, bahan kimia serta material radioaktif dalam operasi minyak dan gas.
Katanya, bidang yang dikenali sebagai Pengurusan Sisa Minyak dan Sisa Berbahaya Industri Minyak serta Gas Global itu bukan saja kompleks, malah kritikal kepada kelestarian alam sekitar dan keselamatan manusia.
"Minyak, lumpur berminyak dan bahan buangan daripada aktiviti penggerudian boleh mencemarkan tanah serta sumber air bawah tanah jika tidak dirawat dengan betul.

"Selain itu, ada juga kandungan bahan radioaktif yang memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan," katanya kepada BH ketika ditemu bual secara dalam talian.
Wan Nor Khairiyah berkata, tugasnya bukan sekadar melupuskan sisa, sebaliknya membabitkan proses rawatan, pemisahan dan pemulihan bahan seperti minyak, air dan pasir supaya boleh digunakan semula.
"Ia bukan saja mengurangkan pencemaran, tetapi memberi nilai ekonomi kepada operator minyak kerana bahan dirawat boleh dikitar semula," katanya.
Minat lahir daripada persoalan
Perjalanan Wan Nor Khairiyah dalam bidang ini bermula daripada rasa ingin tahu ketika awal kerjayanya dalam industri minyak dan gas sekitar awal 2000-an.
Katanya, ketika itu, bidang terbabit masih belum diberi perhatian meluas, namun kesedaran global mula meningkat sekitar 2010 apabila kesan pencemaran semakin ketara.
"Ketika mula bekerja, saya tertanya-tanya, ke mana perginya sisa seperti sludge, pasir berminyak dan air tercemar ini.
"Dari situ timbul minat untuk memahami dan mencari penyelesaian, terutama dari sudut impak kepada alam sekitar," katanya.
Sejak itu, beliau membina kepakaran secara mendalam termasuk mengurus sisa bercampur bahan radioaktif, selain mengembangkan penyelesaian rawatan di beberapa negara termasuk Oman dan Sudan Selatan.

Dikelilingi lelaki, bukan penghalang
Sebagai wanita dalam bidang didominasi lelaki, Wan Nor Khairiyah sering menjadi satu-satunya wanita di tapak operasi, namun beliau tidak melihat situasi itu sebagai kekangan.
"Paling penting adalah cara kita bekerja dan menjalin kerjasama, bukan mengarah. Bila kita hormati orang lain, mereka juga menghormati kita," katanya.
Menariknya, Wan Nor Khairiyah berkata, wanita turut dilihat mempunyai kelebihan tersendiri dalam bidang teknikal berisiko tinggi seperti bidang pengurusan sisa ini.
"Sebagai wanita, kita lebih teliti dan sistematik. Kerja ini memerlukan ujian berulang kali, pematuhan prosedur dan kesabaran tinggi.
"Saya akan rekod setiap langkah dari A hingga Z, jadi hasilnya lebih konsisten dan mudah diulang semula," katanya.
Namun, beliau mengakui, mencari wanita yang benar-benar komited dalam bidang berisiko tinggi seperti ini bukan mudah kerana ia menuntut pengorbanan besar, khususnya dari segi kehidupan peribadi.
"Bidang ini perlukan komitmen tinggi untuk terus bertahan. Sebagai wanita, kita juga perlu fikir soal keluarga dan kehidupan peribadi, banyak perkara terpaksa dikorbankan untuk mencapai kejayaan," katanya.
Korban besar, keluarga tetap keutamaan
Di sebalik kejayaan di pentas global, Wan Nor Khairiyah tidak menafikan pengorbanan besar perlu dilakukan, khususnya sebagai ibu tunggal sebelum ini.
Beliau berkata, cabaran itu bukan saja membabitkan kerjaya, malah turut menguji ketahanan emosi apabila berjauhan dengan keluarga dalam tempoh lama.
Katanya, beliau membesarkan tiga anak bersendirian selepas berpisah dengan suami sejak 2012, sambil bekerja di luar negara.
"Saya urus sendiri kehidupan anak di luar negara tanpa bergantung kepada sesiapa.
"Orang nampak kita bekerja di luar negara, tetapi tidak tahu kos sebenar, termasuk pendidikan anak di sekolah antarabangsa yang mencecah puluhan ribu ringgit setahun," katanya.
Beliau terpaksa menangguhkan hasrat melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana ketika anak masih kecil demi memberi tumpuan kepada kerjaya dan keluarga.
"Namun, saya terus tingkatkan diri melalui pensijilan profesional dan kini melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD)," katanya.
Wan Nor Khairiyah mengakui tugasannya itu menyebabkan banyak detik sebagai ibu terpaksa dilepaskan, termasuk tidak dapat menghadiri pertemuan guru dengan ibu bapa ketika anak masih kecil.
Bagaimanapun, katanya, segala cabaran dan ujian dilalui membentuk dirinya menjadi lebih kuat, selain menjadi prinsip hidup untuk sentiasa melakukan yang terbaik.

Lebih dihargai di luar negara
Wan Nor Khairiyah berkata, walaupun berasal dari Malaysia, tetapi kepakarannya lebih dihargai di luar negara yang dinilai berdasarkan hasil kerja.
"Saya kini bekerjasama terus dengan pihak kerajaan di sini, dalam usaha merangka dasar dan strategi pengurusan sisa berbahaya termasuk pembangunan kategori sisa, kaedah rawatan serta kerangka perundangan.
"Namun, di Malaysia, masih ada persepsi yang meragui kemampuan wanita dalam bidang ini," katanya.
Pelapis tempatan masih terhad
Mengulas perkembangan bidang itu di Malaysia, beliau berkata, kepakaran dalam pengurusan sisa berbahaya lapangan minyak masih terhad dan memerlukan lebih ramai tenaga pakar.
"Saya mula melatih tenaga tempatan di Afrika, tetapi untuk wanita, memang sukar kerana bidang ini memerlukan komitmen dan pengorbanan tinggi," katanya.
Wan Nor Khairiyah berkata, beliau berharap lebih ramai wanita berani menceburi bidang teknikal berisiko tinggi dan menjadi pelapis dalam sektor itu.
Katanya, kejayaan dalam bidang didominasi lelaki itu memerlukan dua perkara utama iaitu ilmu dan minat.
"Kalau ada ilmu dan minat, teruskan. Jangan takut masuk bidang yang sukar dan jatuh bangun itu perkara biasa untuk terus berjaya," katanya.

















