KUALA LUMPUR: Selepas kembali menemui rentak terbaik di Terbuka Kanada bulan lalu, pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia kini mengintai peluang meneruskan kebangkitan apabila memulakan cabaran di Terbuka Taiwan, esok.
Juara Seluruh England 2021 itu dijangka tidak berdepan masalah melepasi halangan pertama apabila membuka kempen menentang pemain Taiwan, Wang Po-Wei, namun ujian sebenar dijangka menantinya seawal pusingan kedua.
Sekiranya melepasi halangan pertama, Zii Jia berkemungkinan berdepan sama ada pemain Jepun, Kodai Naraoka atau bintang Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, dengan kemenangan ke atas mana-mana pemain itu dilihat mampu menjadi petanda positif terhadap kebangkitannya selepas bergelut dengan kecederaan dan prestasi tidak menentu sejak tahun lalu.
Pemain berusia 28 tahun itu kembali menunjukkan sinar apabila mara ke separuh akhir Terbuka Kanada, empat minggu lalu, yang juga pencapaian terbaiknya sejak memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.
Turut membawa cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki ialah Justin Hoh yang bakal berdepan wakil Indonesia, Zaki Ubaidullah manakala Eogene Ewe dijadual menentang pemain India, Saneeth Dayanand.
Tumpuan dalam acara beregu campuran pula terarah kepada pasangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jimmy Wong-Cheng Su Yin yang hadir ke Taipei dengan keyakinan tinggi selepas mencipta kejutan mara ke separuh akhir Terbuka Jepun.
Bagaimanapun, Jimmy-Su Yin yang kini menghuni ranking ke-75 dunia berdepan tugas sukar apabila diundi menentang pasangan Jepun yang juga pilihan, Yuta Watanabe-Maya Taguchi pada pusingan pertama nanti.
























