BH Online
Ringkasan Berita

Herry ikut strategi emas Rexy

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi sanggup mengambil risiko dengan mempertaruhkan gandingan baharu Aaron Chia-Tee Kai Wun di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas yakin kombinasi itu mampu menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara badminton sejak 2006.
Herry ikut strategi emas Rexy

Herry Iman Pierngadi (tengah) sanggup mengambil risiko dengan mempertaruhkan gandingan baharu Aaron Chia-Tee Kai Wun di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi sanggup mengambil risiko dengan mempertaruhkan gandingan baharu Aaron Chia-Tee Kai Wun di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas yakin kombinasi itu mampu menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia dalam acara badminton sejak 2006.

Keputusan itu menyaksikan Herry mengetepikan gandingan mantap Aaron bersama Soh Wooi Yik yang pernah muncul juara dunia pada 2022 serta memenangi gangsa Sukan Asia Hangzhou 2023.

Menurutnya, pemilihan Aaron-Kai Wun bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya hasil perbincangan bersama pihak pengurusan, barisan jurulatih dan pemain sendiri sebelum senarai akhir dimuktamadkan.

"Keputusan untuk tidak memilih Wooi Yik bukan dibuat oleh saya seorang. Ia diputuskan selepas perbincangan bersama pihak pengurusan dan jurulatih.

"Kami juga mendapatkan maklum balas daripada pemain sendiri bagi memastikan mereka selesa dengan keputusan itu kerana kami percaya inilah pilihan terbaik," katanya.

Keputusan Herry itu mengingatkan kepada strategi yang pernah dilakukan pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky, ketika mempertaruhkan gandingan baharu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di Sukan Asia Doha 2006.

Pertaruhan itu nyata membuahkan hasil apabila Kien Keat-Boon Heong muncul juara sebelum mencipta nama sebagai pasangan nombor satu dunia.

Namun, cabaran Aaron-Kai Wun kali ini dianggap lebih sukar kerana mereka belum benar-benar diuji sebagai pasangan di pentas antarabangsa.

Satu-satunya aksi mereka bersama setakat ini adalah ketika membantu Malaysia menentang Jepun pada saingan Piala Thomas di Horsens, Denmark April lalu, apabila menewaskan Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi, meskipun skuad negara tewas 3-2.

Video Terkini

Berita Berkaitan