BH Online
Ringkasan Berita

June Wei raja sebenar Piala Lin Dan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Cheam June Wei kini boleh dianggap sebagai raja sebenar Piala Lin Dan selepas muncul pemain pertama memenangi gelaran perseorangan lelaki buat kali keempat pada siri kejohanan itu di Chenzhou, China, semalam.
June Wei raja sebenar Piala Lin Dan

Cheam June Wei bersama trofi Piala Lin Dan yang dimenanginya di Chenzhou, China, semalam. – Foto @kumpoo_official

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Cheam June Wei kini boleh dianggap sebagai raja sebenar Piala Lin Dan selepas muncul pemain pertama memenangi gelaran perseorangan lelaki buat kali keempat pada siri kejohanan itu di Chenzhou, China, semalam.

Pemain yang menghuni ranking ke-70 dunia itu sekali lagi membuktikan peningkatan prestasinya apabila menewaskan bekas pemain nombor 11 dunia dari China, Zhao Jun Peng 15-13, 9-15, 15-13 pada aksi final untuk menjulang kejuaraan Piala Lin Dan sekali lagi.

Kejayaan itu lebih manis apabila June Wei bangkit daripada ketinggalan 8-13 pada set penentuan sebelum mengutip tujuh mata berturut-turut bagi memastikan gelaran keempat dalam kejohanan yang diasaskan legenda perseorangan lelaki China, Lin Dan.

"Detik ini sangat berbaloi dengan segala kerja keras. #lindancup," tulis June Wei menerusi Instagram selepas menjuarai kejohanan itu.

Kemenangan itu turut menghadiahkannya wang tunai 200,000 yuan (RM120,800).

Sebelum ini, June Wei muncul juara Piala Lin Dan di Shenzhen pada 2023, Macau (2024) dan Jincheng tahun lalu.

Empat gelaran itu sahaja sudah menyaksikannya mengumpul wang kemenangan keseluruhan berjumlah 1.1 juta yuan (RM664,000).

Bagaimanapun, June Wei masih bergelut dalam Jelajah Dunia apabila pencapaian terbaiknya musim ini hanyalah muncul naib juara Terbuka Azerbaijan dan Cabaran Antarabangsa Phuket.

Pemain negara itu dijangka terus memburu hadiah lumayan apabila menyertai baki siri Piala Lin Dan di Nanjing (14-16 Ogos), Jinan (4-6 Oktober) dan Wuhan (13 Oktober-2 November) tahun ini. – NST Online

Video Terkini

Berita Berkaitan