KUALA LUMPUR: Skuad badminton remaja negara menamatkan kempen dengan bergaya selepas meraih tiga daripada lima gelaran pada Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2026 di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Malaysia terlebih dahulu memastikan gelaran beregu campuran menjadi milik negara apabila aksi final menemukan dua pasangan tuan rumah.
Gandingan pilihan kedua, Irfan Shazmir-Nur Aina Maisarah Hatta, mencipta kejutan apabila menewaskan pasangan pilihan utama, Ahmad Redzuan-Teh Si Yan, 21-12, 21-18 dalam tempoh 31 minit.
Dominasi tuan rumah diteruskan dalam acara beregu lelaki menerusi satu lagi aksi final sesama sendiri apabila Ahmad Redzuan-Isyraf Hafizin menewaskan Damien Ling-Irfan, 21-18, 21-10 dalam masa 39 minit.
Pemain perseorangan lelaki negara, Tiew Wei Jie, melengkapkan kejayaan Malaysia apabila menghadiahkan gelaran ketiga selepas mencipta kejutan menewaskan pilihan kedua dari Thailand, Punnatat Prempunpong, 21-16, 21-11 dalam tempoh 47 minit.
"Untuk kejohanan ini saya ambil pendekatan selangkah demi selangkah. Tetapi apabila berjaya mara ke final, memang sasaran saya adalah untuk menang.
"Sebelum perlawanan ini saya juga sudah mengkaji corak permainan lawan," kata Wei Jie selepas perlawanan.
Hasrat Malaysia untuk muncul juara dalam beregu wanita tidak kesampaian apabila gandingan Rachel Tan-Xin Yin Teh, tewas kepada gandingan Thailand, Chantharat Marndakul-Pearploy Suttiwarayanon, 15-21, 12-21 dalam pertarungan selama 47 minit.
Dalam pada itu, acara perseorangan wanita menyaksikan pemain Thailand Kungkaew Kakanik berjaya menjadi juara selepas menumpaskan Chin Yun Cheng dari Taiwan, 21-19, 21-15 dalam tempoh 43 minit.
























