KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan sekurang-kurangnya satu gelaran dalam acara beregu campuran Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2026 selepas dua gandingan negara mara ke pentas final di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Gandingan Irfan Shazmir-Nur Aina Maisarah Hatta meneruskan aksi cemerlang apabila hanya memerlukan 24 minit untuk menewaskan pasangan Indonesia, Faza Iwadh Kurnia Ramdhan-Rachel Machalul Cahya Ayu 21-7, 21-13 sekali gus mengesahkan tempat ke final.
Mereka akan membuat perhitungan sesama sendiri dengan pasangan negara, Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal Ahmad-Teh Si Yan yang turut melangkah ke final selepas menewaskan Isyraf Hafizin-Lee Joinne 21-6, 18-21, 21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Shazmir mengakui tidak menyangka mampu melangkah sejauh ini, namun bertekad memanfaatkan segala pengalaman yang dikumpul sepanjang kejohanan bagi memburu kejuaraan.
"Kami memang tidak menjangkakan dapat mara ke final. Apa yang kami pelajari sepanjang kejohanan ini akan kami gunakan ketika menentang lawan esok dan kami berharap dapat muncul juara," katanya.
Dalam acara perseorangan lelaki, Tiew Wei Jie turut memastikan wakil negara mempunyai peluang memburu satu lagi gelaran apabila menewaskan rakan senegara, Lee Louis 21-14, 21-12 dalam tempoh 44 minit untuk mara ke final.
























