BH Online
Ringkasan Berita

Pearly-Thinaah akui masih banyak perlu dibaiki

KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki selepas perjalanan mereka di Terbuka China berakhir di suku akhir.
Pearly-Thinaah akui masih banyak perlu dibaiki

Pearly Tan-M Thinaah mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki selepas perjalanan mereka di Terbuka China berakhir di suku akhir. Foto: Fail NSTP

KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki selepas perjalanan mereka di Terbuka China berakhir di suku akhir.

Pasangan ranking kelima dunia itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan bertaraf Super 1000 berkenaan selepas tewas 16-21, 16-21 kepada pilihan keempat dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dalam tempoh 46 minit, sekali gus menutup cabaran terakhir Malaysia di kejohanan itu.

Thinaah berkata, kekalahan itu memberi gambaran jelas bahawa mereka masih mempunyai beberapa kelemahan yang perlu dipertingkatkan, terutama selepas kembali beraksi bersama di gelanggang.

"Saya rasa secara keseluruhannya memang masih banyak perkara yang perlu kami usahakan lagi. Sudah agak lama juga untuk kami berdua kembali beraksi bersama dan saya fikir itu antara faktor yang perlu kami atasi.

"Pasangan Jepun bermain dengan sangat baik dan berjaya memberikan tekanan kepada kami. Terutamanya ketika kami cuba mengejar mata, pada saat-saat penting mereka benar-benar menekan kami dan itulah yang menyebabkan jurang mata menjadi lebih besar di penghujung perlawanan," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Bagaimanapun, Thinaah menyifatkan aspek paling penting adalah mereka berjaya mengharungi kejohanan itu tanpa mengalami sebarang kecederaan yang boleh menjejaskan persiapan menghadapi kejohanan berikutnya.

"Kami masih mempunyai satu lagi kejohanan minggu depan, jadi fokus kami sekarang adalah untuk membuat persiapan sebaik mungkin dan tampil dengan persembahan yang lebih baik," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan