KUALA LUMPUR: Pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky percaya pengalaman beraksi bersama juara dunia, Chen Tang Jie di Terbuka China menjadi bekalan berharga buat pemain muda, Clarissa San untuk terus berkembang di pentas antarabangsa.
Meskipun gandingan baharu itu terkandas di pusingan kedua selepas tewas 11-21, 21-14, 21-19 kepada pasangan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, Rexy menyifatkan persembahan dipamerkan Clarissa cukup memberangsangkan.
Menurutnya, pemain muda itu berjaya menyesuaikan diri dengan baik walaupun baru digandingkan bersama Tang Jie susulan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) yang dialami pasangan tetapnya, Toh Ee Wei.
"Memang mereka tewas, tetapi terdapat banyak perkara positif yang boleh diambil daripada persembahan mereka," katanya.
Aksi meyakinkan dipamerkan Clarissa memberi petanda positif dalam usaha memastikan Tang Jie terus kekal kompetitif sepanjang ketiadaan Ee Wei.
Gandingan Tang Jie-Clarissa dijadual beraksi di Terbuka Taiwan bertaraf Super 300 dari 28 Julai hingga 2 Ogos, sebelum beraksi di Korea Masters dari 4 hingga 9 Ogos.
























