BH Online
Ringkasan Berita

Pearly-Thinaah selamatkan maruah Malaysia

KUALA LUMPUR: Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah muncul penyelamat maruah Malaysia apabila menjadi satu-satunya wakil negara berjaya melangkah ke suku akhir Terbuka China, hari ini.
Pearly-Thinaah selamatkan maruah Malaysia

Pearly Tan-M Thinaah mara ke suku akhir Terbuka China. Foto: Fail NSTP

KUALA LUMPUR: Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah muncul penyelamat maruah Malaysia apabila menjadi satu-satunya wakil negara berjaya melangkah ke suku akhir Terbuka China, hari ini.

Pasangan nombor lima dunia itu hanya mengambil masa 30 minit untuk menyingkirkan gandingan Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-12 pada aksi pusingan kedua di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.

Pearly-Thinaah berdepan tentangan sengit pada set pertama apabila lawan memberikan tekanan sehingga penghujung permainan, namun pengalaman membantu mereka kekal tenang sebelum mengunci kemenangan 21-19.

Momentum itu diteruskan pada set kedua apabila pasangan negara tampil lebih agresif untuk mengawal permainan sekali gus melakar kemenangan 21-12 bagi menempah slot ke kelompok lapan terbaik.

Bagaimanapun, cabaran getir menanti juara Masters Indonesia itu apabila dijadualkan berdepan pasangan nombor tiga dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

Kemenangan Pearly-Thinaah mengubat kekecewaan Malaysia selepas enam lagi wakil negara yang beraksi pada pusingan kedua terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu.

Antara yang terkandas ialah beregu lelaki profesional, Nur Mohd Azryn Ayub-Tan Wee Kiong yang tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 13-21, 19-21.

Sebelum itu, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao turut tersingkir selepas tewas kepada wakil China, Weng Hong Yang dalam pertarungan tiga set.

Turut mengakhiri cabaran ialah dua beregu lelaki, Man Wei Chong-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta dua beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Clarissa San.

Video Terkini

Berita Berkaitan