KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Kong Wei Xiang meneruskan kemaraan dalam Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2026 apabila melangkah ke suku akhir selepas menewaskan rakan senegara, Jin Khoo di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Wei Xiang yang turun sebagai antara sandaran utama negara memastikan kemaraan ke kelompok lapan terbaik selepas mencatat kemenangan 21-15, 21-17 dalam tempoh 43 minit.
Pemain muda negara itu berkata, ketenangan serta kepercayaan terhadap corak permainan sendiri menjadi kunci kejayaannya mengharungi aksi pusingan ketiga.
"Semua pemain mahu menang dan bersaing dengan yang terbaik, tetapi saya hanya percaya kepada gaya permainan sendiri serta mengekalkan pemikiran positif," katanya.
Aksi itu turut berdepan gangguan seketika akibat masalah bekalan elektrik, namun Wei Xiang tidak hilang fokus sebelum mengesahkan kemenangan untuk mara ke suku akhir.
Mengulas sasaran pada kejohanan berkenaan, Wei Xiang berharap Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia kali ini menjadi medan untuknya meraih gelaran sulung.
"Saya masih belum memenangi sebarang gelaran, jadi saya harap kejohanan ini boleh menjadi titik perubahan buat saya," katanya.
Dalam aksi lain, beregu wanita negara, Rachel Tan-Teh Xin Ying turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan rakan senegara, Nurin Hazirah Haizal-Ong Xin Ru 21-11, 21-19.
Sementara itu, beregu campuran negara, M Iqbal Yusuf-Leong Hwee Ling turut mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan rakan senegara 21-14, 21-11, manakala Lee Mun mara dalam acara perseorangan wanita selepas mengatasi wakil Filipina, Imari Dawn Jimenez 21-17, 21-19.
























