KUALA LUMPUR: Keputusan memisahkan beregu lelaki nombor tiga dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, September depan diakui sebagai satu keputusan besar oleh barisan kejurulatihan beregu kebangsaan.
Bercakap kepada BH Sukan, Pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, keputusan menggandingkan Aaron bersama Tee Kai Wun dibuat selepas perbincangan mendalam bersama Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dan ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi.
Menurutnya, barisan kejurulatihan perlu membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira keadaan semasa pemain serta kombinasi paling sesuai bagi membantu Malaysia memburu pingat di temasya berkenaan.
"Memang satu keputusan besar untuk memisahkan Aaron-Wooi Yik bagi Sukan Asia.
"Kita memilih dan memutuskan untuk Aaron-Kai Wun dalam mesyuarat pasukan bersama Datuk Seri (Lee Chong Wei), Datuk Kenny, saya dan Herry," katanya.
Untuk rekod, ini adalah kali pertama Aaron-Wooi Yik yang juga bekas juara dunia dipisahkan bagi menghadapi temasya sukan sejak mereka digandingkan pada 2017.
Sepanjang bergandingan, pasangan itu mencipta beberapa kejayaan besar termasuk meraih dua pingat gangsa Sukan Olimpik pada edisi Tokyo 2020 dan Paris 2024, selain gangsa Sukan Asia 2022, gangsa Sukan Komanwel 2022 serta emas Sukan SEA 2019 dan perak Sukan SEA 2025.
Sebelum ini, BAM mengumumkan Wooi Yik tidak disenaraikan dalam skuad badminton negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya, manakala Aaron digandingkan bersama Kai Wun.
Gandingan asal Kai Wun, Man Wei Chong turut tidak berada dalam senarai akhir skuad selepas faktor kecergasan pemain itu masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.
Dalam masa sama, Rexy menjelaskan prestasi semasa Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut menjadi antara faktor pasangan profesional itu dikekalkan sebagai satu lagi sandaran negara dalam acara beregu lelaki.
Katanya, keputusan yang dipamerkan pasangan itu kebelakangan ini memberi keyakinan kepada barisan kejurulatihan untuk mempertaruhkan mereka di Sukan Asia.
"Keputusan Sze Fei-Izzuddin (dalam kejohanan tahun ini) lebih meyakinkan dan mereka akan disokong gandingan Aaron-Kai Wun," katanya.
Sze Fei-Izzuddin menjadi beregu lelaki negara paling menyerlah musim ini apabila sudah merekodkan dua gelaran juara iaitu di Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia selain naib juara Masters Malaysia.
Badminton pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 akan membuka tirai menerusi acara berpasukan dari 20 hingga 24 September sebelum acara individu berlangsung dari 25 hingga 29 September.
























