BH Online
Ringkasan Berita

Bekas suami kikis RM169 juta

LONDON: Bekas pemain tenis terkenal, Arantxa Sanchez Vicario menyalahkan bekas suaminya selepas kehilangan kekayaan bernilai £31 juta (RM169 juta).
Bekas suami kikis RM169 juta

Arantxa bersara daripada tenis pada 2002.

LONDON: Bekas pemain tenis terkenal, Arantxa Sanchez Vicario menyalahkan bekas suaminya selepas kehilangan kekayaan bernilai £31 juta (RM169 juta).

Juara empat kali Grand Slam perseorangan itu yang kini berusia 54 tahun, berkahwin dengan usahawan Josep Santacana dari 2008 hingga 2019 dan dikurniakan dua anak, lelaki dan perempuan.

Ketika muncul dalam rancangan televisyen Sepanyol, Universo Callejo, Sanchez Vicario berkata mengenai bekas suaminya:

"Saya mempercayainya kerana dia adalah bapa kepada anak-anak saya. Saya jatuh cinta tanpa berfikir panjang, tetapi dia sebenarnya bukan individu seperti saya sangkakan."

Arantxa dan Santacana dibicarakan pada 2023 selepas didakwa menyembunyikan aset bagi mengelak membayar hutang kepada Bank of Luxembourg.

Bekas pemain tenis itu dijatuhi hukuman penjara dua tahun yang ditangguhkan serta diarahkan membayar semula hutang berjumlah £5.5 juta (RM30 juta).

Ketika ditanya mengenai kehilangan pendapatan sepanjang kariernya yang dianggarkan bernilai £31 juta, Arantxa berkata:

"Benar, itu jumlah yang muncul dalam laporan media. Saya hanya fokus bermain tenis dan tidak pernah menguruskan hal kewangan sendiri kerana saya tidak tahu bagaimana untuk melakukannya.

"Saya mempercayai suami saya dan wang £31 juta itu hilang. Saya ditinggalkan untuk menanggung keseluruhan beban."

Mengenai sebab tidak dipenjarakan, beliau berkata: "Saya tidak masuk penjara kerana saya membayar 50 peratus daripada pendapatan saya kepada bank.

"Saya memenuhi tanggungjawab itu walaupun jauh di sudut hati, saya adalah mangsa."

Beliau turut menceritakan kesan emosi yang dialaminya.

"Ia satu kejutan besar. Saya terpaksa menjalani terapi kerana tidak percaya perkara itu berlaku. Ia seperti terjaga daripada mimpi dan berkata, 'Ini tidak mungkin berlaku kepada saya.'"

Arantxa memenangi tiga gelaran perseorangan Terbuka Perancis, dengan kejuaraan pertama diraihnya ketika baru berusia 17 tahun.

Pemain kelahiran Sepanyol itu turut menjuarai Terbuka Amerika Syarikat pada 1994 selain mara ke beberapa final Terbuka Australia dan Wimbledon.

Beliau mencapai ranking nombor satu dunia pada 1995 dan mewakili Sepanyol dalam lima edisi Sukan Olimpik.

Bintang kelahiran Barcelona itu bersara daripada tenis pada 2002 dan kemudian namanya diabadikan sebagai nama gelanggang di kejohanan Madrid Masters.

Arantxa turut mencuba bidang kejurulatihan apabila membimbing bekas pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki, pada 2015. - AGENSI

Video Terkini

Berita Berkaitan