KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah berjaya mengelak daripada tersingkir di pusingan pertama buat kali kedua berturut-turut apabila melangkah ke pusingan kedua Terbuka China, hari ini.
Pasangan nombor lima dunia itu tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan gandingan Jepun yang menghuni ranking ke-29 dunia, Ririna Hiramoto-Kokona Ishikawa 21-16, 21-12 pada aksi di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.
Kemenangan itu memastikan naib juara dunia berkenaan tidak mengulangi nasib sama seperti Terbuka Jepun minggu lalu apabila tersingkir di pusingan pertama selepas tewas kepada gandingan Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun menerusi pertarungan tiga set 21-9, 17-21, 17-21.
Bagi Pearly, kejayaan membuka kempen Terbuka China dengan kemenangan memberi suntikan keyakinan selepas melalui tempoh pemulihan kecederaan, namun sedar masih banyak ruang perlu diperbaiki.
Katanya, dia masih berusaha mencari rentak terbaik selepas kembali beraksi, namun berterima kasih kepada Thinaah yang sentiasa membantu menampung permainannya di gelanggang.
"Masih banyak yang perlu diperbaiki. Saya masih mencari rentak di gelanggang dan sudah tentu terima kasih kepada Thinaah kerana sentiasa membantu saya.
"Saya tahu ada pasangan di sebelah saya, jadi saya boleh bermain dengan lebih bebas. Saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini, tetapi langkah demi langkah saya masih mencari rentak dan harap kami boleh bermain lebih baik dalam setiap perlawanan," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, Thinaah berkata kemenangan ke atas pasangan Jepun itu diraih hasil keupayaan mereka mengekalkan strategi serta kualiti pukulan sepanjang perlawanan.
"Pasangan Jepun juga bermain dengan baik, tetapi kami lebih fokus untuk mengekalkan strategi dan kualiti pukulan. Saya rasa itu yang membantu kami dalam perlawanan hari ini," katanya.
Terbuka China kali ini membuka peluang buat Pearly-Thinaah memburu gelaran sulung kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 selain mengintai kejuaraan kedua musim ini selepas muncul juara Masters Indonesia, Januari lalu.
Mereka dijadualkan menentang pemenang antara pasangan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara atau gandingan Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr bagi merebut tiket ke suku akhir.
























