KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara yang bakal membawa cabaran Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 diingatkan supaya tidak mengulangi persembahan hambar seperti yang berlaku pada Sukan SEA Thailand, Disember lalu.
Bercakap kepada BH Sukan, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, beliau tidak mahu pemain hadir ke temasya berkenaan sekadar memenuhi tanggungjawab, sebaliknya perlu membawa semangat juang tinggi apabila menggalas cabaran negara.
Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, kekalahan boleh diterima sekiranya pemain sudah memberikan aksi terbaik, namun persembahan tanpa keazaman dan disiplin adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.
"Kalau kalah, kita boleh terima. Tetapi kita kena lihat kalah itu bagaimana. Kalau pemain pergi sana dan sudah berikan maksimum, kita boleh terima.
"Tetapi kalau pergi sana main-main, tidak mahu berjuang atau sekadar suka-suka, itu kita memang tidak boleh terima," katanya.
Chong Wei berkata, beliau mengambil pengajaran daripada prestasi skuad badminton negara pada Sukan SEA lalu yang disifatkan tidak mencapai tahap diharapkan, terutama dari segi keinginan untuk bersaing.
Pada temasya berkenaan, BAM menyenaraikan barisan pemain terkuat negara dengan sasaran memenangi empat pingat emas.
Bagaimanapun, skuad negara hanya berjaya membawa pulang satu emas menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, selain dua perak menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan acara berpasukan serta enam gangsa.
Katanya, isu ganjaran atau hadiah kemenangan tidak seharusnya menjadi ukuran utama apabila seseorang pemain membawa nama negara di pentas antarabangsa.
"Memang saya tahu sekarang dalam badminton, hadiah wang kemenangan semakin tinggi. Tetapi untuk Sukan SEA, Sukan Asia atau Olimpik, kita kena fikir semula tanggungjawab apabila memakai Jalur Gemilang.
"Ini bukan untuk diri sendiri. Ini untuk negara. Siapa yang beri pemain satu platform, fasiliti dan tempat latihan sehingga mereka berada di tahap sekarang? Itu yang pemain perlu fikirkan," katanya.
Chong Wei berkata, walaupun temasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia tidak menawarkan ganjaran lumayan seperti kejohanan profesional, perkara paling penting adalah kesungguhan dan disiplin ketika mewakili Malaysia.
"Saya tahu wang memang penting dan mungkin perkara itu boleh dikaji semula oleh pihak berkaitan, tetapi bagi saya sebagai atlet, tanggungjawab apabila mewakili negara tetap paling utama," katanya.
Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama barisan jurulatih bagi memastikan standard lebih tinggi diterapkan menjelang Sukan Asia.
Katanya, Sukan Asia yang berlangsung setiap empat tahun adalah pentas besar yang memerlukan pemain terbaik dihantar dengan persediaan serta mentaliti tepat.
"Saya mahu pemain terbaik pergi ke Sukan Asia. Bukan pergi sekadar mahu pergi, tetapi pergi untuk menang pingat," katanya.
Dalam pada itu, Chong Wei berkata sasaran Malaysia di Sukan Asia tetap memburu pingat emas walaupun menyedari cabaran yang menanti bukan mudah.
Katanya, perkara utama adalah memastikan pemain memberikan segala-galanya di gelanggang dan menunjukkan mereka sudah berusaha pada tahap maksimum.
"Semua orang mahu menang emas, tetapi itu luar biasa. Tetapi pergi sana hanya untuk dapat pingat gangsa atau perak sahaja pun bukan sasaran kita.
"Yang penting, kalau kalah, rakyat boleh nampak pemain sudah beri maksimum," katanya.
























