BH Online
Ringkasan Berita

Terlalu ghairah mahu menang punca Jimmy-Su Yin kandas

KUALA LUMPUR: Keghairahan untuk menamatkan perlawanan lebih awal menjadi antara punca beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin terlepas peluang beraksi di pentas final Terbuka Jepun apabila tewas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, hari ini.
Terlalu ghairah mahu menang punca Jimmy-Su Yin kandas

Jimmy dan Su Yin pamer tentangan sengit sebelum tewas di tangan beregu Taiwan.

KUALA LUMPUR: Keghairahan untuk menamatkan perlawanan lebih awal menjadi antara punca beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin terlepas peluang beraksi di pentas final Terbuka Jepun apabila tewas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, hari ini.

Menurut Jimmy, mereka berada dalam landasan terbaik untuk melakar kemenangan apabila mendahului set kedua namun gagal memanfaatkan kelebihan itu selepas terlalu tergesa-gesa untuk menoktahkan perlawanan dan itu membuka ruang buat lawan bangkit mendapatkan mata penting.

Katanya, pengalaman yang dimilik oleh Chun Man-Ying Suet juga menjadi pemisah antara kedua-dua pasangan terutama ketika berada dalam set penentuan.

"Pada set kedua, kami mendahului kira-kira tiga mata. Selepas itu kami agak terlalu ghairah untuk menamatkan perlawanan. Ini kali pertama kami berada dalam situasi seperti ini, jadi kami perlu belajar daripadanya.

"Pengalaman memang memberikan perbezaan yang besar apabila berdepan situasi tertekan. Mereka tahu bagaimana untuk mengendalikan saat-saat genting kerana mempunyai pengalaman. Kami pula masih baharu, jadi kami sedikit tergesa-gesa," katanya kepada BWF selepas tamat perlawanan.

Mengulas kesilapan yang dilakukan ketika penghujung set kedua, Jimmy berkata ia tidak menjejaskan tumpuannya kerana dia hanya memberi fokus kepada setiap mata.

"Saya hanya fokus kepada satu mata demi satu mata. Saya fikir, 'baiklah, sudah melakukan kesilapan, lupakan sahaja. Kami masih mendahului.' Tetapi pada ketika itulah keyakinan mereka semakin meningkat," katanya.

Sementara itu, Su Yin mengakui gandingan Hong Kong itu yang kedua-duanya pemain kidal turut menyukarkan mereka untuk mencari rentak permainan.

Terdahulu, impian Jimmy-Su Yin untuk melangkah ke final tidak kesampaian apabila tewas 21-17, 18-21, 15-21 kepada Tang Chun Man-Tse Ying Suet dalam aksi separuh akhir yang berlangsung selama 69 minit.

Untuk rekod, pasangan ranking ke-118 dunia itu berjaya mengejutkan beberapa gandingan yang berada dalam kelompok tertinggi dunia seperti Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara dari Jepun (11) di pusingan pertama, beregu Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue pada pusingan kedua (7) dan di suku akhir, menewaskan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje (3).

Video Terkini

Berita Berkaitan