KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menempah slot ke separuh akhir Terbuka Jepun di Tokyo selepas menewaskan pasangan Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi-Presley Smith, hari ini.
Beregu nombor enam dunia itu dipaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan 21-18, 15-21, 21-13 dalam tempoh 50 minit pada aksi suku akhir.
Kemenangan itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin melebarkan rekod kemenangan ke atas beregu ke-26 dunia itu kepada 4-0.
Sze Fei mengakui perlawanan berlangsung sukar apabila lawan mempamerkan aksi berkualiti dan memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan.
"Mereka berjaya menghadirkan tentangan sengit terutama dalam set pertama dan kedua.
"Malah mereka sentiasa menghambat kami, tetapi mujur kami berjaya mengatasi cabaran itu dengan kemenangan," katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, Izzuddin berkata, tumpuan penuh terhadap permainan menjadi faktor utama membantu mereka mengatasi cabaran pasangan AS itu.
Cabaran lebih getir menanti mereka di separuh akhir apabila dijadual bertemu beregu No. 1 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Juara dunia itu mara dengan bergaya selepas menewaskan gandingan muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai 21-13, 21-10 dalam tempoh 33 minit untuk menamatkan cabaran pasangan Malaysia itu.
Rekod pertemuan antara Sze Fei-Izzuddin dan Won Ho-Seo Seung ketika ini terikat 2-2, namun kelebihan moral memihak kepada beregu negara selepas mereka menewaskan pasangan Korea Selatan itu pada separuh akhir Terbuka Indonesia, bulan lalu.
























