KUALA LUMPUR: Kejayaan pasangan dari sekolah agama muncul juara beregu lelaki bawah 15 tahun pada Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026 menarik perhatian bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong.
Boon Heong meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian gandingan Putra Assolihin-Dani Syafi dari Maahad Integrasi Madad yang mewakili Majlis Sukan Sekolah (MSS) Kedah selepas mereka menjuarai acara beregu lelaki B-15 di Arena Sukan Kasturi, Jitra.
Menurutnya, kejayaan pasangan itu membuktikan tanggapan bahawa pelajar sekolah agama hanya tertumpu kepada akademik dan pendidikan agama sehingga tidak mampu bersaing dalam sukan adalah tidak tepat.
"Ada orang fikir pelajar sekolah agama hanya fokus belajar dan agama, jadi mereka tak mampu bersaing dalam sukan.
Tetapi hari ini, dua anak muda ini membuktikan sesuatu. Usaha tidak mengenal latar belakang, impian tidak mengenal jenis sekolah dan kejuaraan bukan milik golongan tertentu sahaja," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau berkata, apa yang dicapai Putra Assolihin dan Dani Syafi bukan sekadar kejayaan memenangi gelaran MSSM, sebaliknya menjadi bukti bahawa pelajar sekolah agama juga mampu mengukir nama dalam arena sukan negara.
Boon Heong mengakui mungkin ramai tidak memberi perhatian kepada pasangan muda itu sebelum ini, namun mereka berjaya membuktikan kemampuan hasil disiplin tinggi, semangat juang dan sikap tidak mudah mengalah.
"Saya nampak bukan sekadar juara. Saya nampak harapan masa depan badminton Malaysia.
"Ramai anak muda sebenarnya ada bakat, cuma mereka perlukan peluang dan seseorang yang percaya kepada mereka," katanya.
Atas faktor itu, Boon Heong berhasrat mencari kedua-dua pemain berkenaan bagi menyampaikan penghargaan serta hadiah sebagai tanda sokongan dan motivasi kepada mereka untuk terus berkembang dalam sukan badminton.
Beliau turut mengajak orang ramai membantu mengesan pasangan terbabit supaya usaha menghargai pencapaian mereka dapat direalisasikan.
Dalam perlawanan akhir beregu lelaki B-15 MSSM 2026, Putra Assolihin-Dani Syafi menewaskan wakil Kuala Lumpur, Muhammad Noor Hanafi-Teoh Liang Hong, 21-19, 19-21, 21-12.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila perjuangan mereka digerakkan dengan hasrat membuktikan pelajar tahfiz juga mampu berdiri sama tinggi dengan pemain dari sekolah harian dan sekolah berasrama penuh yang sering mendominasi saingan badminton peringkat sekolah.
























